Kunta
Kinte Original: Catatan Kopitiam A. Kadir Jasin
Berita Publising Sdn Bhd
Pengenalan oleh Johan Jaaffar
Penulis yang menggunakan nama Kunta Kinte dalam
kolekti ini ialah Datuk A. Kadir Jasin, seorang tokoh wartawan terbilang.
Kadir seorang periwayat, perakam dan pencatat
setia peristiwa dan sejarah bangsa dan negaranya. Negara ini tidak pernah
kurang peristiwa, tidak pernah gersang personaliti dan Kadir tidak pernah
hilang upaya untuk melakar segalanya dalam tulisannya – yang selalunya
kritikal, pedas tapi tidak pernah kurang bernas dan berkesan.
Kadir menjadi sebahagian institusi kewartawanan
negara yang penuh gemilang dengan tokoh besar dan dan hebat, yang sebahagiannya
menjadi wira yang tidak tertonjol, tetapi menyumbang pada tradisi fikir dan
kritis yang luar biasa. Kadir merupakan pewaris pada tradisi itu. Sejak pertama
kali mencebur diri dalam dunia akhbar, Kadir mungkin telah membuat keputusan,
bahawa itulah dunia yang bakal diceburinya. Dan beliau tidak pernah menoleh ke
belakang.
Kadir sendiri pernah memimpin akhbar yang
berpengaruh dan menjadi salah seorang pencorak lanskap media pada zamannya.
Karier beliau bermula di agensi berita Bernama dan pernah berkhidmat dalam
pelbagai kapsiti di Berita Harian,
Business Times, New Straits Times, Sunday Tines,
Malay Mail dan jawatan terakhir beliau ialah Ketua Pengarang New Straits Times.
Selama lebih empat dekad, Kadir menjadi
sebahagian daripada keluarga besar wartawanan negara – yang memberikan kita
nama-nama saperti Yusof Ishak, Dahari Ali, Salim Kajai, Ishak Haji Muhamad, A.
Samad Ismail, Said Zahari, Melan Abullah, Zainuddin Maidin, dan ramai lagi.
Sebahagian dari mereka melalui zaman getir, keluar masuk penjara dan menjadi
tahanan ISA, malah dalam kes Said Zahari ditahan selama lebih 17 tahun.
Ada di Antara nama-nama ini yang tinggi dijulang,
banyak pula yang tenggelam dalam lipatan sejarah negara. Sumbangan mereka
sekadar nota kaki sejarah orang yang menang (the victors) dalam
percaturan politik yang besar.
Kadir juga melalui cabaran yang bukan sedikit,
dijulang bila diperlukan, dipinggirkan bagai sepah apabila manisnya habis. Ada
kalanya beliau berada di persada tertinggi, ada kalanya diabaikan. Ada masanya
Kadir menjuarai alam semesta kewartawanan dan dunia niaga, ada masanya, beliau
hanya titik kecil dalam kerangka percaturan yang lebih besar. Beliau pernah
“membeli” syarikat media bersama tiga sahabat yang lain, tetapi “Empat Budak
Melayu” yang mencipta sejarah dalam dunia media dan korporat itu ternyata tidak
bertahan lama. Kadir adalah pemain besar yang berkuasa kecil dalam percaturan
rumit dan unik itu.
Tetapi Kadir ialah Kadir, hati dan jiwanya
wartawan, tubuhnya berdarah wartawan. Sekali wartawan, selamanya wartawan. Maka
itu dunia korporat bukan idamannya. Lebih relalah dia menulis, menyunting dan
membimbing dari terserat ke dunia tamak yang diukur dari sekadar ringgit dan
sen. Kadir tetap Kadir si wartawan sekalipun tertonjol sebagai sebagai salah
seorang pemilik media perkasa. Dan Kadir bukan sendirian dalam tradisi orang
media menjadi ahli perniagaan.
Yusof Ishak bekerja keras mencari modal memulakan
akhbar Utusan Melayu pada tahun 1939
dan Melan Abdullah pernah mencuba untuk menerajui bahtera urusniaga syarikat Utusan
Melayu pada tahun-tahun 80-an. Nazri
Abdullah bukan sahaja menerajui Kumpulan
Berita Harian tetapi tokoh terpenting “Empat
Budak Melayu” yang memiliki syarikat raksaksa yang menguasai media, perbankan, pengeluar
janakuasa bebas dan hartanah.
Yusof memulakan Utusan Melayu dengan hanya RM8,000 ketika itu – syarikat yang
sepnuhnya dimodali, dipimpin dan didokong oleh orang Melayu – dengan air mata
dan semangat. Utusan Melayu menjadi suara keramat orang Melayu dan akhbar Utusan Melayu menjadi senama dengan
perjuangan mereka. Yusof kemudiannya menjadi Presiden Republik Singapura yang
pertama.
Said Zahari pula baru memulakan langkah memimpin Utusan Melayu
pada tahun 1961 apabila UMNO mengambilalih akhbar lantang dan bebas itu. Mogok
Utusan Melayu dilancarkan kerana kaum wartawan menentang pengambilaklihan itu,
walaupun ia berakhir selama 90 hari tetapi menandakan satu era dan titik tolak baru
dunia kewartawanan negara. Salah seorang jurubicara mogok itu, penyair dan
wartawan (kemudiannya Sasterawan Negara) Usman Awang merakamkan dilemma wartawan
ketika itu melalui puisinya “Duri dan Api” .
Salah satu bait dalam puisi itu menjadi
sebahagian daripada baris-baris yang paling mengesankan dalam sejarah puisi
tempatan:
“Kawan-kawan
yang dikasehi,
Di
belakang duri, di depan api
Kita
tidak bisa undur lagi.”
Demikianlah dunia kewartawanan tanah air yang
tidak pernah kontang intrig dan dramanya. Sejak Jawi Peranakan muncul sebagai suratkhabar Melayu yang pertama di
Pulau Pinang pada tahun 1876, dunia kewartawanan sentiasa menggelegak dengan
kehebatan pengamalnya. Malah tradisi kritis orang Melayu banyak dicorakkan oleh
tradisi persuratkhabaran yang sentiasa mencabar dan dicabar.
Debat “Kaum Muda
- Kaum Tua” pada tahun-tahun 20-an dalam persuratkhabaran Melayu
mencorakkan minda Melayu pada masa itu.
Pemikiran jumud, lapuk dan tradisional pimpinan agama dicabar oleh
golongan muda yang mendapat inspirasi dari gerakan gerakan reformis Islam di
Mesir. Nama-nama seperti Syed Sheikh Ahmad Al-Hadi, Syed Mohd Tahir Jalaluddin
dan Haji Abbas Taha menggunakan bukan sahaja akhbar berpengaruh seperti Al Imam tetapi dalam kes, Syed Sheikh Ahmad
Al Hadi menggunakan sastera untuk mengajukan pendiriannya. Hikayat Faridah Hanum (terbit 1925) karya beliau bukan sahaja
merupakan novel Melayu yang pertama tetapi juga menjadi titik tolak penting
dalam memberikan harga diri pada kedudukan kaum wanita.
Sepanjang masa, akhbar dan majalah Melayu
memainkan peranan penting dalam menggesa pada perubahan, mengajak pada
perjuangan dan membangkitkan semangat nasionalisme. Peranan yang dimainkan oleh
Majalah Guru, Idaran Zaman, Lembaga,
Lembaga Malaya, Warta Malaya dan
Majlis amat penting bagi menumbuhkan kesedaran atau consciousness di kalangan orang Melayu. Inilah akar dan teras
perjuangan menuntut kemerdekaan dan tuntutan agar suara dan hak Melayu didengar.
Bukan rahsia lagi bahawa perjuangan menentang
Malayan Union tidak mungkin tercapai tanpa dokongan kaum wartawan dan sokongan persuratkhabaran
Melayu. Wartawan memainkan peranan penting dalam hampir setiap ledakan dan
gerakan peristiwa yang mencorakkan negara ini – dari peristiwa Natrah,
Kemerdekaan, Peristiwa 13 Mei, serta sekian banyak krisis politik, sosial dan ekonomi
negara.
Semuanya
Bermula Di Sini…
Di tengah geruh negara yang baru dikejutkan oleh
Peristiwa 13 Mei itulah Kadir melangkah masuk ke dalam dunia kewartawanan. Itu
era sukar yang dicorakkan oleh prasangka, keraguan dan ketidakyakinan. Kadir
lahir dari tradisi sekolah yang menjunjung keanekaragaman dan kelainan –
sekolah yang dibiayai oleh mubaligh Kristian. Mungkin sikap keterbukaan beliau
dicorakkan oleh latar belakang pendidikan Inggeris yang mengamalkan toleransi
luar biasa terhadap kelainan. Maka itulah sebenarnya yang membentuk peribadi,
minda, pandang dunia (worldview) dan sikap beliau.
Berbekalkan pendirian sedemikian, Kadir menjadi
calon yang terbaik untuk menjadi wartawan dalam negara yang penduduknya
pelbagai kaum dan agama. Beliau tidak pernah menafikan ke-Melayuan-nya namum menjunjung ke-Malaysiaan-nya. Selama
menjadi wartawan dan kemudiannya memimpin akhbar, dia berpegang pada prinsip bahawa negara ini
harus menghargai kelainan dan perbezaaan asalnya matlamatnya ialah perpaduan
dan keamanan.
Kadir bermula sebagai wartawan pada era akhbar
ialah segala-galanya dalam cekrawala media. Beliau menyaksikan dan merakamkan
hampir semua peristiwa penting dari tahun 70-an hingga kini – dari krisis
politik, perlembagaan,penyingkiran seorang timbalan perdana menteri, hinggalah
krisis ekonomi yang getir. Beliau melihat transformasi yang mengubah senario
media. Beliau menyaksikan bagaimana media arus perdana mulai mendapat saingan dalam
pelbagai gelanggang baru – dari blog hingga kewartawanan rakyat (citizen journalism). Kesannya pada
industri kahbar juga luar biasa –
menjejaskan bukan sahaja edaran akhbar tetapi pendapatan iklan dan pengaruhnya.
Malah industri akhbar berada pada kedudukan genting apabila banyak akhbar
berpengaruh di dunia mulai gulung tikar. Apa yang disebutkan sebagai “stress” dalam dunia persuratkhabaran
ini bukan igauan di siang hari lagi.
Kadir juga menyedari berkurangnya keberkesanan
media arus perdana apabila beliau adalah di antara orang pertama yang
mewujudkan blog sendiri. Dunia blogging merupakan fenomena baru apabila beliau
bermula. Malah pimpinan politik pada mulanya menganggap blogging satu lagi
keghairahan semasa yang tidak bertahan lama. Kadir menggunakan blognya secara
berkesan apabila beliau tidak punya saluran untuk menulis. Kritikan terbuka
beliau terhadap seorang Perdana Menteri dan segala juak-juak di sekelilingnya
menjadi sebahagian lagenda dunia kewartawanan. Kerajaan BN mengakui bahawa
media alternatif termasuk blog banyak mencorakkan sikap rakyat terhadap mereka
malah bertanggungjawab terhadap kekalahan beberapa negeri dalam Pilihanraya 2008.
Kadir juga sedar bahawa ketaksuban pada angka dan
jumlah edaran tidak banyak gunanya untuk masa depan. Konsumerisme melulu akan
hanya merosakkan. Menyajikan sekadar apa yang dimahukan oleh pembaca boleh
menjual akhbar tetapi kesan jangka panjangnya tidak menguntungkan bangsa dan
negara. Begitu juga obsesi media pada frasa yang digunapakai oleh pengkritik
media, “sex, lies and democracy” akan
lebih banyak merosakkan. Laporan pasang siap dan mi segera akan menjejaskan
kredibilti media sendiri. Integriti masih kualiti yang dituntut.
Kadir ialah Kadir di mana sahaja, sama ada di
blog (“The Scribe”) atau sewaktu menulis dalam kolumnya, “Other Thots”, yang
amat besar pengikutnya (di New Straits
Times) dan kemudian di majalah Malaysian Business) atau dalam halaman “Kunta
Kinte” di akhbar Berita Harian.
Kita semua tahu dari mana nama Kunta Kinte itu
diperolehi. Ia datang dari watak utama novel terkenal Alex Haley, Roots: The Saga of an American Family (terbit
1976) yang kemudiannya menjadi asas siri TV yang begitu besar jumlah
penontonnya. Dalam novel separuh
autobiografi itu Kunta Kinte lahir pada tahun 1750 di sebuah desa bernama
Juffure, Gambia di Barat Afrika. Beliau berusia 15 tahun apabila ditangkap dan
dibawa ke Amerika Syarikat sebagai hamba, dan dibeli oleh seorang tuan tanah
bernama Waller di Virginia. Dia diberikan nama baru, “Toby.”
Seperti Haley yang menghabiskan banyak masa
mengesan akarnya, Kadir menggunakan lambang Kunta Kinte sebagai usaha mencari
kebenaran dan mengejar idealisme dunia kewartawanannya. Mungkin secara
kebetulan bahawa bangsa Kunta Kinte tidak banyak berubah sekalipun salah
seorang dari keturunan kulit hitam kini menjadi Presiden negara yang terkuat
dan terkaya di dunia.
Bangsa Kunta Kinte, si penulis buku ini juga
telah melalui entah sekian banyak dasar, program, bantuan, pemayungan,
pembelaan, tetapi entah mengapa nasib mereka tidak juga jauh berubah.
Sememangnya bangsa Kunta Kinte telah melalui
revolusi berfikir dan evolusi sosial luar biasa tetapi bangsa majoriti ini
masih mengeluh di negara sendiri, masih jauh dari berdiri sama tinggi dengan
kaum lain dalam bidang ekonomi dan masih berasa kecil dan terpinggir dari arus
kejayaan dan kekayaan negara mereka.
Entah mengapa bangsa Kunte Kinte di sebalik
memiliki kuasa politik dan merupakan bangsa majoriti masih tidak boleh
melepaskan diri dari kekakangan bantuan dan belas ehsan. Malah tidak banyak
bangsa majoriti di negaranya sendiri yang berasa lebih gelisah dan resah dari
bangsa Kunte Kinte di negara ini. Inilah ironi bangsa Kunte Kinte.
Kunta Kinte si penulis mengabdikan dirinya untuk
menulis tentang keraguan, keresahan, kekacauan dan kerisaun bangsanya dalam
kolum ini. Bukanlah beliau penganut ahli falsafah Jerman bernama Arthur
Schopenhauer (1788 – 1860) yang dilabelkan prophet
of doom, jauh sekali. Cuma Kunta Kinte merakamkan “dilema” Melayu di
negaranya sendiri, istilah yang dipopularkan oleh Dr Mahathir Mohamad dalam
analisisnya mengenai sikap dan minda Melayu dalam The Malay Dilemma. Sebaliknya Kunta Kinte melanjutkan perbincangan
mengenai dilema Melayu dengan menggunakan pendekatan kewartawanan.
Koleksi terbaru Kunta Kinte ini memuatkan
sebahagian dari pencarian ini – baik
sebagai seorang patriot yang mencari kebaikan, kejernihan dan keluhuran bagi
negaranya atau sebagai seorang idealis yang mahu melihat bangsa, agama dan
negaranya bergerak ke hadapan dengan penuh keyakinan. Koleksi ini mengandungi
tulisan beliau dalam Berita Harian
dari 14 Ogos 2009 hingga Disember 2011.
Memang waktu dua tahun tidak lama dalam sejarah
mana-mana bangsa dan negara, tetapi di Malaysia tidak pernah ada waktu yang
membosankan dalam politik juga di
gelanggang sosial, agama, ekonomi dan situasi luar negara. Maka itu, koleksi
Kunta Kinte ini cukup untuk memperlihatkan sebahagian detik sejarah bangsa dan
negara.
Kunta
Kinte Senama Dengan Kejujuran…
Kunta Kinte menulis tentang banyak hal, menyentuh
hampir semua isu di bawah matahari – dari soal rasuah, kelaku pimpinan politik,
musibah perkauman, sikap bukan Melayu, haloba korporat, pemborosan, kejumudan
agama, soal toleransi hinggalah bias dan prasangka Barat dan pendirian Obama.
Tidak ada siapa yang terlepas dari pemerhatian dan pengawasan beliau.
Dengan menggunakan frasa paling disukainya, “maaf
cakaplah…” Kunta Kinte menggunakan kolumnya untuk membuat teguran dan kritikan,
atau menasihat dan memberikan pilihan
bagi tujuan pembaikan. Kunta Kinte tidak perlu menggunakan bahasa standard,
sebaliknya memanfaatkan lingo perbualan hari-hari bagi menyampaikan mesejnya
yang keras, tegas dan waras. “Cara menteri cakap macamlah kita cap duit” merupakan
tamparan jelas pada yang terkena. Dengan ungkapan “tabik spring” beliau
menghargai pandangan orang lain, termasuk Profesor Khoo Kay Kim yang berani
mempertikaikan pencapaian sebenar sekolah jenis kebangsaaan Cina (SJKC). Beliau
juga secara berjenaka mencipta istilah PELES (pendatang yang lesap) bagi
menunjukkan betapa bolosnya rangkaian kawalan hingga banyak pendatang yang
lesap dari radar dan rekod.
Beliau juga mengingatkan pembaca bahawa orang
Melayu ada etika dan agama, kalau tidak, nescaya ramai lagi yang kaya raya
dalam rencana berjudul, “Kalau Berniaga Judi, Melayu Pun Boleh Maju.” Banyak
daripada tajuk tulisan beliau cukup provokatif bagi menarik perhatian,
antaranya “Tambah Ramai Pemandu Pelesit dan Pemandu Tidur”, “Hutang Cepat, Bayar Liat”, “Di Mana-Mana
Melayu Tak Hilang”, “Musibah Ada Otak Tapi Tak Pakai”, “Mutu Khidmat Awam Makin
Merosot”, “China Tembak Pesalah Rasuah di Kepala”, “Kalau Nak Tiru, Tiru yang
Berguna”, “Yang Kaya Lagi Besar Subsidi’, “Peniaga Melayu Perlu Pengeras”,
“Shahrizat Jangan Cakap Saja”, “Umat Islam Malas Membaca dan Berfikir” dan “Apa
Beza Obama, Osama.”
Kunta Kinte mengingat kita pada ruangan pojok
yang dipelopori oleh A. Rahim Kajai, Bapa Wartawan Melayu di Utusan Melayu pada
awak penerbitannya. Pojok mendapat populariti luar biasa di kalangan orang Melayu
kerana caranya yang bersahaja, santai, penuh santun tetapi menegur dengan
keras. Pojok (yang secara literal bermakna sudut, ruang atau bucu) menurut Kamus Dewan merupakan “ruangan dalam
akhbar atau majalah yang memuatkan kata-kata lucu tetapi pedas serta
menyindir.”
Mungkin ia ada kaitannya dengan hati budi orang
Melayu yang lebih selesa membuat teguran cara berhemah, sikap yang dirakamkan
dengan tepat oleh Usman Awang dalam puisinya
“Melayu’:
“Melayu
itu orang yang bijaksana
Nakalnya
bersulam jenaka
Budi
bahasanya tidak terkira
Kurang
ajarnya tetap santun
Jika
menipu pun masih bersopan
Bila
mengampu bijak beralas tangan.”
Ini ada kaitannya tradisi adab orang Melayu yang
bermula sejak sastera lisan lagi. Malah penulis istana (pujangga) yang
menhasilkan karya besar seperti Sejarah
Melayu, Hikayat Melayu dan Bugis, Hikayat Raja-raja Pasai dan lain-lain
menggunakan kekuatan bahasa dan berselindungan di balik sindiran bagi menegur
raja-raja mereka. Kerakusan nafsu seorang Sultan Melaka digambarkan melalui
episod meminang Puteri Gunung Ledang, yang mana sultan sanggup menunaikan
kesemua syarat puteri jelita itu (membina jambatan emas dan perak dari Melaka
ke Gunung Ledang, mencarikan tujuh dulang hati nyamuk dan hati kuman dan air
mata tujuh tempayan dan sebagainya) tetapi enggan menumpahkan semangkuk darah
anaknya.
Kunta Kinte memberikan dimensi baru pada dunia
kepojokan Melayu – dengan membawakan elemen jurnalisme dan fakta semasa secara
berkesan.
Seperti juga “Other Thots” Kadir menulis secara
jujur dan berani. Kadir mendapat ramai kawan dan sama banyak musuh. Dia
dihormati, tetapi juga dibenci dan ditakuti. Bagi yang berprasangka Kadir
wartawan yang “menyukarkan”, bagi yang lain beliau menjadi sebahagian conscience negara ini. Kadir akan
menulis tenatang apa sahaja – mengikut selera dan sesedap rasanya.
Apabila beliau menulis pertama kali sebagai Kunta
Kinte pada tahun-tahun 90-an di Berita
Harian, tidak ramai yang meragui bahawa tulisan itu akan menjadi mendapat ikutan
ramai di samping menimbulkan kemarahan dan keresahan yang bukan sedikit.
Menulis,
Dulu, Kini dan Mungkin Selamanya….
Kadir manulis sejak sekian lama, dan sehingga
kini masih belum tumpul penanya. Dan Kadir masih menulis, tanpa penat lelah,
dengan ltizam yang tidak pernah luntur dan keyakinan yang tidak boleh digugat.
Generasi Kadir semakin berkurang. Kontemporarinya
banyak yang sudah berada dalam kedudukan penting di pelbagai syarikat dan agensi atau meninggalkan sama sekali dunia
kewartawanan. Beliau merupakan the last
of the Mohicans dalam konteks ini – yang masih percaya pada peranan
kewartawanan dan romansa journalism (the
romance of journalism).
Tidak pernah rasanya kredibiliti kewartawanan
dipertikaikan sedemikian hebat seperti pada masa ini. Tuntutan bagi organisasi
media menjadi lebih telus, lebih kredibel dan lebih bertanggungjawab semakin
lantang. Banyak yang menyalahkan wartawan sendiri kerana membenarkan media
hilang kredibiliti. Banyak yang mempersoalkan persekongkolan di antara elit politik
dengan wartawan sebagai punca hilangnya wibawa itu. Banyak juga yang menanyakan apakah wartawan
masih lagi menjadi sebahagian daripada warga kritikal dalam melahirkan
masyarakat sivil yang kita mahukan.
Apa yang berlaku pada empayar media Rupert Murdoch
membetik banyak penilaian semula dan soul
searching di kalangan pengamal media. Tindakan tidak beretika segelintir
wartawan memberikan nama buruk pada dunia kewartawanan sekuruhnya. Hasil
menghalalkan cara tidak lagi praktikal hari ini. Dinamisme masyarakat yang
berubah merupakan cabaran pada pemilik dan pengamal media, juga para wartawan
dan penulis kolum. Kekuatan dan pengaruh media memang tidak boleh dipertikaikan,
malah media dianggap the fifth estate
tetapi pada akhirnya penanggungjawapan dan akauntabiliti mengatasi
segala-galanya.
Nampaknya Kadir Jasin a.k.a Kunta Kinte masih
percaya pada etika kewartawanan yang sebenar. Beliau juga masih percara bahawa
wartawan, penulis dan kolumnis masih perlu menjadi suara dan conscience rakyat. Beliau mungkin masih
meyakini bahawa media yang bertanggungjawan, bebas tetapi beretika menjadi
teras masyarakat berilmu dan bermaklumat hari ini.
Pengajaran
Dari Mudhalvan…
Saya selalu menggunakan analogi filem Tamil
berjudul Mudhalvan sebagai gambaran
dunia kewartawan dan hubungannya dengan elit politik. Dalam filem yang
dibintangi oleh Arjun itu, watak Pugazhendhi (Pugazh) ialah seorang wartawan
idealis yang mahu merubah dunia. Beliau dicabar oleh Ketua Menteri Tamil Nadu
(lakonan Raghuvaran) untuk mengambilalih negeri itu selama sehari. Pugazh
menyahut cabaran itu. Dalam sehari, beliau melaksanakan perubahan luar biasa –
menangani isu rasuah dan salahguna kuasa serta memberikan keadilan dan
memperbaiki kehidupan rakyat. Rakyat menyokong Puzagh dan Ketua Menteri hilang
kuasa.
Moral ceritanya, wartawan tidak sahaja harus
pandai mengkritik. Inilah manifestasi hubungan suka benci di antara pimpinan elit politik
dengan wartawan selama ini. Masing-masing punya keraguan dan kecurigaan antara
satu sama lain.
Kunta Kinte tidak berhasrat untuk menjadi Pugazh dalam Mudhlavan. Tetapi apa yang
dibangkitkannya selama ini dalam “Other Thots”, “Kunta Kinte” atau “The Scribe”
tidak jauh bezanya dengan yang dibangkitkan oleh Pugazh dalam filem itu.
Seperti Pugazh, Kunta Kinte seorang idealis, seperti Puzagh, Kunta Kinte mahu
melihat perubahan.
Kadir telah melalui empat dekad yang penuh peristiwa
– juga pelbagai cabaran yang harus dilalui oleh wartawan dan editor. Kadir
menyedari kekangan yang dihadapinya dalam menjalankan tugasnya, juga prasangka
pelbagai pihak. Tetapi Kadir tidak pernah menjadikan akta dan peruntukan
undang-undang halangan untuk menyatakan pendiriannya.
Kadir bagaimanapun digerakkan oleh satu keyakinan
– bahawa kebaikan dan masa depan tidak harus dikorbankan semata-mata untuk
menjadi bebas dan kritikal. Beliau melihat tanggungjawab dan akauntabiliti juga
pra-syarat yang sama pentingnya. Kebebasan yang mengundang anarki dan kehancuran
tidak ada maknanya. Beliau percaya
bahawa pembaikan dari dalam bagi memperbaiki sistem sedia ada lebih baik dari merosakkan segala-galanya.
Dalam salah sebuah tulisannya dalam koleksi ini
beliau mengingatkan “macam manapun kita bergaduh dan berpecah belah kerana
politik, Kunta Kinte doakan janganlah sampai jahanamkan negara dan agama.”
Itulah pendirian beliau. Itulah misi dan amanat beliau.
Saya percaya tulisan Kadir dalam kolum “Kunta
Kinte” ini membawa pengertian yang tersendiri pada pembaca. Sekurang-kurangnya
ia mengajak pembaca berfikir. Sekurang-kurangnya ia mengembalikan tradisi
berfikir di kalangan pembacanya. Melalui kolum ini juga saya berharap Kunta
Kinte akan membantu mencorakkan dan merangsang pemikiran rakyat.
Atas dasar itu sahaja pun, buku ini sepatutnya
menjadi bacaan wajib bagi semua rakyat Malaysia pelbagai kaum.
-
Tamat
Nice writing Datuk. glad I've got a chance to read your blog
ReplyDelete