Anjuran
Majlis Belia Malaysia, Finas dan DBP
27
Februari 2016
CPMC
Finas, KL Sentral
Oleh
JOHAN JAAFFAR
Ada yang mengatakan tidak perlu. Atau mengambil semangat pemuafakatan yang sebenarnya, mendefinisikan semua karya filem tempatan dalam sebuah bakul yang kita labelkan “Filem Malaysia.”
Hal
ini penting oleh sebab kita sebenarnya semakin jauh terapung dari menjadi
sebuah “kesatuan manusia” dalam sebuah negara kepada kelompok yang dipisahkan
oleh kaum dan agama. Our people are
drifting apart dengan cara yang amat menakutkan hari ini.
Sebahagiannya
berpunca daripada ketaksuban pada ras yang keterlaluan, penafsiran agama yang
sempit dan selebihnya kita diadu domba demi kepentingan politik oleh mereka
yang memainkan “kad bangsa” secara berkesan tetapi merosakkan untuk generasi
kita akan datang.
The Journey arahan Chiu Keng Guan |
Saya
tidak tahu apakah definisi filem seperti Ola
Bola yang ternyata besar sekali impaknya hari ini. Ini filem yang
dilakonkan oleh anak-anak Malaysia daripada pelbagai kaum, diarahkan oleh Chiu
Keng Guan yang memberikan kita The
Journey sebelum ini, yang berbangsa Cina.
Isu
perbezaan tidak tertonjol langsung dalam Ola
Bola. Kita melihat cerita kegigihan serta kesedihan tetapi yang tertera adalah
semangat kesetiakawanan sebuah pasukan bola sepak yang terdiri daripada rakyat
pelbagai kaum.
Inikah
“filem Malaysia”?
Hanyut karya U-Wei Haji Shaari |
Apakah
Hanyut karya U-Wei Haji Shaari kurang
“Malaysia” berbanding The Journey?
Atau
apakah pembikin filem kita yang berbangsa Melayu lebih “Malaysia” karya mereka
daripada yang dihasilkan oleh Ho Yuhang, James Lee, Deepak Kumaran, Mark Tan
atau Vimala Perumal?
Apakah
Puteri Gunung Ledang kurang Melayu di
tangan Saw Tong Hin sekiranya dibuat oleh pengarah Melayu? Atau apakah filem
Amir Muhammad jauh lebih “Malaysia” dan kurang keMelayuannya berbanding dengan
filem Mahadi J. Murad atau Rashid Sibir?
Sejauh
manakah kesahihan “ke-Malaysia-an” dalam filem Namawee atau apakah Khabir
Bathia menenggelamkan ke-Melayu-an di dalam Cinta
atau Sepi semata-mata kerana
beliau pengarah ekspatriat?
Saya
tidak mahu menghujahkan aspek semantik dan makna di sini. Saya bukan pakar
bahasa. Saya bukan berhasrat untuk menjengah kontroversi makna atau huraian apakah
“filem Malaysia” yang sebenar.
Filem Sepi arahan Khabir Bathia |
Saya
lebih berminat untuk melihat potensi yang ada pada kita, kekuatan dan kelebihan
kita, sebagai satu bangsa dalam sebuah negara bangsa, bagi melihat masa depan
industri filem. Alangkah baiknya sekiranya kita dapat menggembelingkan tenaga
dan pemikiran untuk melahirkan satu industri perfileman yang buta pada
perbezaan kaum atau ras. Dan yang lebih penting menjadi wahana perpaduan sesama
kita.
Kita
perlukan “penyatuan” ini. Politik nampaknya gagal menyatupadakukan kita.
Kepercayaan agama juga nampaknya menjarakkan jurang di antara kita. Sistem
pendidikan kita bertolak daripada teras perkauman – di mana anak-anak kita
pergi ke sekolah yang berlainan.
Harapan
kita untuk perpaduan rakyat nampaknya banyak bergantung pada seni dan
kebudayaan. Artifak seni bersifat universal. Karya kreatif tidak mengenal
sempadan. Filem bercakap dalam bahasa yang difahami oleh semua.
Ada
yang menjadikan Allahyarhamah Yasmin Ahmad sebagai ikon pembikin filem yang
mencerminkan ke-Malaysia-an. Saya tidak dapat menafikan bahawa Yasmin
memberikan kita the united colours of
Malaysian cinema.” Mungkin ada benarnya Yasmin memberikan “pilihan” atau choices dalam sinema – sinema yang
memancarkan keanekaragaman, kepelbagaian serta keunikan bangsa Malaysia.
Filem-filem beliau memberikan kita Malaysia dalam warna warni perbezaan. Beliau
membicarakan isu yang relevan dengan kita sebagai rakyat sebuah negara pelbagai
kaum. Beliau menyentuh persoalan yang selama ini ditakuti untuk dibicarakan
secara terbuka apa lagi menjadi tema filem.
Antara karya Allahyarham Yasmin Ahmad |
Filem-filem
beliau seperti Gubra, Mukhsin dan Talentime membicarakan isu hubungan ras
secara berani dan tanpa kompromi. Beliau melakukannya tanpa perlu menjadi
propagandis tetapi secara bersahaja, dengan penuh sindiran dan kecerdikan.
Filem-filem beliau menyegarkan sambal mengingatkan kita tentang kerumitan
sebuah negara pelbagai kaum.
Kita
memerlukan penegasan ini kerana untuk sekian lama audiens filem juga dicorakkan
oleh perbezaan ras. “Filem Melayu” ditonton oleh orang Melayu. Sehinggalah
Yasmin memberikan pilihan. Dan pengarah seperti Teck Tan memberikan nuasa
baharu filem untuk semua – melalui Spinning
Gasingpada tahun 2000.
Orang
yang datang memenuhi panggung untuk Ola
Bola seperti memberikan gambaran komposisi ethnik negara ini.
Satu
ketika dahulu legenda seperti P. Ramlee mampu melampaui batas ras. Filemnya
relevan dan ditonton untuk semua. Tetapi P. Ramlee adalah contrarian di kalangan pembikin filem Malaysia. Kita memerlukan
lebih tiga dekad untuk melihat kemunculan Yasmin dan sedekad lagi untuk
memungkinkan Ola Bola menjadi totem pole kebangkitan consciousness anak-anak muda Malaysia
terhadap “filem sendiri.”
Bukan
pula tidak ada usaha untuk menggunakan tagline dan slogan seperti “Filem Kita”
sebelum ini. Malah Finas sendiri pernah menggunakan slogan itu untuk
memperagakan penghasilan filem yang berciri, bernafas dan berwajahkan Malaysia.
Tetapi seperti biasa slogan boleh culik, diberikan penafsiran lain dan
digunakan untuk kepentingan kelompok tertentu.
Filem
dan politik sukar dipisahkan dalam negara ini. Apatah lagi apabila orang
politik menggunakan apparatus pentadbiran untuk menentukan dasar perfileman.
Dan filem juga boleh “dipolitikkan.”
Kita tidak menafikan keperluan kuasa
politik dalam menaungi, melindungi dan mewujudkan dasar-dasar yang perlu untuk
industri. Malah industri perlukan suntikan politik untuk pertumbuhan dan
perkembangannya.
Tetapi
seperti banyak hal di negara ini, segala-galanya dilihat daripada perspektif
politik. Proses “pemolitikan” hampir menyebabkan kita tidak dapat memanfaatkan
tenaga dan pemikiran yang terbaik, dasar yang buta ras, perancangan yang dibuat
berdasarkan industri semata-mata dan memastikan bahawa filem dilihat sebagai
karya seni dan bukan satu lagi platform untuk melanjutkan agenda politik.
Dalam
konteks itulah kita tidak dapat mengelakkan daripada wujudnya Identity contestation di kalangan rakyat majmuk negara ini.
Masing-masing memperagakan kebangsaan masing-masing. Hal ini tidak salah.
Tetapi perlu ada garis penemuannya, perlu ada titik interaksi.
Convergence. Jangan sampai perbezaan
yang sepatutnya mengayakan mulai mencorakkan psyche rakyat kita tentang perbezaan.
Kita
sedar bahawa kelainan ini adalah sebahagian daripada proses consciousness kaum-kaum dalam sebuah
negara bangsa yang muda. Ia ada kaitan dengan bagej silam, world-view dan isu persepsi yang panjang dan nampaknya tidak
bersesudahan.
Kita
tidak ada pilihan lain nampaknya melainkan menggunakan wahana kreatif untuk
menolak pendirian perkauman yang sempit, yang kecil dan batil, yang melihat ke
dalam, tanpa bersedia melihat gambaran yang lebih besar atau the big picture sebuah masyarakat majmuk
yang unik seperti Malaysia.
Bagi
saya, sejarah filem tempatan (filem Melayu/Malaya) sentiasa mengambil sikap
toleran, mungkin by default. Malah ia terlihat sejak filem itu dikeluarkan oleh dua
gergasi pengeluar filem Melayu pada era gemilang filem tempatan – Malay Film
Profuctions (MFP) and Cathay-Keris – kedua-duanya milik tauke besar berbangsa
Cina.
Filem pertama di Malaya 1933 |
Rekod
menunjukkan bahawa filem pertama di Malaya adalah Laila Majnun pada tahun 1933, pengarahnya adalah B.S. Rajhans.
Filem itu mengetengahkan M. Suki, Fatimah Jasmin dan Syed Ali Mansor Al Attas.
Filem itu dikatakan dikeluarkan oleh syarikat bernama Motillal Chemical and Co
of Bombay, Singapura.
B.S.
Rajhans kemudiannya mengarahkan Menantu Derhaka
pada tahun 1942 dengan syarikat Tan & Wong Film Company. Apabila Malay Film
Productions atau MFP bermula secara rasmi pada tahun 1947, B.S. Rajhans
mengarahkan Singapura Di Waktu Malam
dengan mengetengahkan Siput Sarawak dan Bachktiar Effendi.
B.S.
Rajhans mengarahkan lapan buah filem Melayu sebelum seorang lagi pengarah dari
India diberikan kesempatan, L. Krishnan dengan filem Bakti pada tahun 1950.
Putus Harapan arahan B.N. Rao 1953 |
B.S.
Rajhans dan L. Krisnan adalah di antara sekumpulan pengarah yang dibawakan dari
India untuk mengarah filem MFP ketika itu, antaranya S. Ramanathan (Kembar, Juwita), B.N. Rao (Putus Harapan, Hujan Panas), K.M.
Basker (Air Mata, Mangsa) dan Phani
Majumdar (Hang Tuah, Anakku Sazali).
Bukan itu sahaja MFP juga membawa masuk pengarah dari Filipina antaranya Ramon Estella (Kembali Seorang, Anak Pontianak), B. Aveliana (Sergeant Hassan) dan pengarah berbangsa Cina seperti Chew Cheng
Kok (Seruan Darah). Hal yang sama
berlaku di Cahthay-Keris.
Anak
Melayu hanya diberikan kesempatan mengarah setelah mereka mendapat pengalaman
secukupnya. Pengarah Melayu pertama di MFP ialah Haji Mahadi dengan Permata Di Perlimbahan (1952) dan di
Cathay-Keris, S. Roomai Noor diberikan peluang mengarah kali pertama dengan Adam (1956).
Filem arahan pengarah Melayu pertama di MFP |
P. Ramlee diberikan peluang
mengarah pada tahun 1955 dengan filem Penarik
Beca setelah berlakon dalam 21 buah filem. Jamil Sulong diberikan peluang
dengan Raja Laksamana Bentan pada
tahun 1959. Omar Rojik mengarahkan filem Sumpah
Wanita pada tahun 1960 dan S. Kadarisman pada tahun 1966 dengan Sri Andalas.
Di
Cathay-Keris, pengarah Melayu yang kedua di sana adalah Hussain Haniff dengan Hang Jebat. Beliau hanya mengarah sembilan
buah filem yang berakhir dengan Udang Di
Sebalik Batu pada tahun 1966.
Salleh Ghani pertama kali mengarah pada tahun
1961 dengan Sri Mersing dan M. Amin
mengarahkan Lanchang Kuning pada
tahun 1962. Nordin Ahmad, pelakon hebat yang bermula di MFP hanya mendapat
kesempatan mengarah pada tahun 1964 dengan filem Wan Perkasa. Mat Sentul pula mengarah pertama kali pada tahun 1964
dengan filen Mat Tiga Suku.
Filem arahan Mat Sentul tahun 1964 |
Fakta
saya mungkin silap, tetapi saya hanya menekankan fakta yang bukan rahsia:
·
Bahawa filem Melayu tidak
dimodali oleh orang Melayu sehinggalah pada tahun-tahun 70-an.
·
Memang wujud Shah
Productions yang saya percaya merupakan syarikat filem independen tetapi
menurut rekod syarikat itu hanya membuat sebuah filem, Kasih Menumpang
pada tahun 1953. Pengarahnya, L. Krishnan kemudiannya banyak mengarah untuk MFP
dan Cathay-Keris.
·
Bahawa filem yang teras dan
intinya “kuat” Melayu pun sebenarnya dibuat oleh pengarah bukan Melayu. Phani
Majumdar mungkin ada masalah bertutur dalam Bahasa Melayu tetapi Hang Tuah akan diingat sebagai filem
yang “totok” Melayu dengan nuansa dan semangat Melayu yang kuat.
·
Bahawa “filem Melayu” yang
kita faham sewaktu zaman gemilangnya hanya menjadi “Melayu” kerana bahasa,
pelakon dan latarnya. Selebihnya adalah modal bukan Melayu malah banyak pula
yang diarahkan oleh bukan Melayu malah orang bukan Malaya.
·
Bahawa filem sebagai artifak
seni – dalam konteks filem tempatan – memperlihatkan kadar toleransi yang amat
kuat terhadap pemodal, pembikin dan ahli teknik bukan Melayu sejak awal lagi.
·
Bahawa audiens filem Melayu
tidak melihat siapa membelakangi filem-filem yang berkualiti tinggi ketika itu
sebaliknya melihatnya sebagai hasil make-belief,
karya kreatif dan hasil seni yang penting, bahan escapism yang mutlak.
·
Bahawa definisi “filem
Melayu” ketika itu hanya didasarkan pada bahasa dan penggunaan pelakon Melayu
Hang Tuah arahan Phani Majumdar 1956 |
Saya
timbulkan hal ini kerana saya percaya audiens – di sini dan di mana-mana pun –
sentiasa melihat filem daripada kerangka toleransi yang amat tinggi.
Hari ini,
filem Hollywwod yang paling berjaya mungkin dimodali oleh wang Yahudi, diarahkan
oleh karyawan dari Mexico, dilakonkan oleh artis Britain dan Amerika Syarikat,
menggunakan teknologi bunyi dari India, CGI dari Malaysia dan diedarkan oleh
syarikat Jepun untuk pasaran seantero dunia.
Orang
Melayu khususnya – yang merupakan kaum terbesar di negara ini –juga punya sikap
penerimaan yang cukup tinggi terhadap filem dari mana pun – Hollywood,
Bollywood atau Kollywood.
Mereka menggilai filem kungfu Cina, anime dari Jepun dan ikut gelombang Hallyu dari Korea Selatan selain menonton siri TV seperti sinetron
dari Indonesia dan telenovela dari Amerika Latin.
Maka
itu tidak menghairankan filem seperti Sangam,
Kuch Kuch Hota Hai dan paling akhir Dilwale
mendapat sambutan luar biasa. Malah filem-filem ini sukar menumbangkan box-office hits tempatan seperti The Journey, Polis Evo dan Ola Bola.
Saya
melihat peluang di situ. Bahawa filem adalah produk seni yang hasil akhirnya
memancarkan nilai seni dan komersilnya yang tersendiri. Bahawa apapun label
yang diberikan padanya, tetapi hasil akhir atau the final product itu sebenarnya yang akan dinilai oleh penonton.
Dalam
konteks filem Melayu tadi era gemilangnya ada kaitannya dengan toleransi
masyarakat Melayu menerimanya sebagai “filem kita” walaupun penerbit, pengarah
dan tuan punya panggung bukan “orang kita.”
Dan
apa yang menarik semua itu berlaku sewaktu era yang disebutkan “nasionalisme linguistic”
atau linguistic nationalism dimana
timbul kesedaran atau consciousness
di kalangan orang Melayu untuk memperagakan identiti melalui bahasa.
Tahun-tahun
50-an dan 60-an yang dikaitkan dengan era kebangkitan filem Melayu juga
menampakkan zaman kebangkitan kesedaran untuk mendaulatkan bahasa, memberikan
penegasan pada dasar peribumi, desakan untuk memastikan hak dan kepentingan
Bumiputera dipertahankan dan waktu dasar yang membantu orang Melayu/Bumiputera
dirangka.
Industri
filem Melayu anehnya terlepas daripada tekanan untuk menjadi relevan dalam
konteks kesedaran menyeluruh orang Melayu ketika itu. Malah tidak ada suara
untuk “meMelayukan” industri filem semasa. Hal ini terlepas daripada perhatian
banyak penelaah filem tempatan.
Selepas
kejatuhan filem Melayu, selama beberapa lama, industri filem berada dalam keadaan
terumbang ambing – bagaikan tidak bertuan, bagaikan tanpa haluan, diterbitkan
oleh kebanyakannya penerbit yang tidak dapat mengekalkan konsistensi daripada
segi jumlah apa lagi mutunya.
Kita
harus belajar daripada semua ini. Pengalaman filem kita agak unik. Dan ada
kalanya mencemaskan. Bayangkan sebuah negara 30 juta orang tidak dapat
menyokong industri filemnya sendiri secara konsisten dan lestari.
Ada yang
mengatakan salahnya oleh sebab filem Melayu dibuat untuk audiens Melayu –
mengambilkira tidak semua orang menonton filem Melayu dan banyak yang tidak
dapat relate dengan permasalah di
dalam filem itu, maka bilangan penonton amat terbatas.
Pengalaman
saya dalam industri kandungan kreatif (creative
content) mengajar saya tetang beberapa perkara:
·
Kita memberikan terlalu
banyak tumpuan untuk mengisi platform sedia ada, misalnya stesen TV
·
Kita hanya menggunakan acuan
sedia ada dalam membuat penilaian terhadap penerimaan audiens atau penonton.
Mengambil sikap “memberikan apa sahaja yang penonton mahukan” ada kalanya bukan dasar yang bijak
·
Selera audiens berubah, dan
dengan pengaruh teknologi maklumat, berubah dengan drastiknya
·
Kita terlalu banyak melihat
ke dalam, tanpa banyak membuka jendela cekrawala untuk potensi yang lebih besar
·
Industri kandungan seperti
banyak perkara di negara ini, masih berlandaskan keperluan kaum tertentu.
·
Kita sering melupakan stakeholder yang amat kritikal – golongan
muda yang dilabelkan millennials – “the
Me, Me,Me Generation”. Ini kelompok yang mulai mencorakkan selera dalam
pelbagai arena dari hiburan hingga fesyen dan cara berkomunikasi.
Saya
percaya banyak daripada kita terlepas pandang kelompok yang penting ini. Atau
kita mengambil sikap bahawa kita “serba tahu” lalu cuba memaksakan nilai kita
ke atas mereka.
Kelompok
ini seperti juga Generasi Y:
·
Buta ras
·
Kritikal
·
Terbuka
·
Tidak dibayangi oleh bagej
silam
Bagi
pembikin filem, mereka adalah potensi yang besar. Dalam pembinaan negara
bangsa, kelompok ini merupakan harapan masa depan. Filem Malaysia memerlukan
mereka.
Saya
juga melihat kegagalan kita untuk memahami realiti di bawah:
·
Wujudnya revolusi teknologi
maklumat
·
Lahirnya masyarakat yang
berteraskan ilmu atau kmowledge-based
·
Kepentingan industri
kandungan atau creative content industry
·
Kecenderungan global
terhadap industri kreatif
·
Potensi pertumbuhan industri
keatif Malaysia, khususnya filem
Kita
harus menggunakan model Korea Selatan dalam konteks strategi masa depan
industri kreatif. Korea sentiasa dipandang mudah oleh negara yang sudah
mendahului dalam industri kandungan antaranya Jepun dan China. Tetapi sesuatu
berlaku yang mengubah Korea daripada negara pengikut kepada penentu dan
pencorak agenda kandungan kreatif dan hiburan.
Secara
mudah, “Korean Wave is taking the world
by storm.” Tiada siapa yang membayangkan tsunami yang melanda dunia dari
Korea – kali ini dengan bahan kreatif yang luar biasa kualiti dan impaknya.
Hari ini dunia tidak sahaja mengenal penyanyi, pemuzik dan siri TV Korea tetapi
juga filem Korea. Korea sedang menakluk dunia.
Korea
sedar bahawa industri kandungan merupakan industri yang paling pantas
pertumbuhannya. Pada tahun 2006 pasaran global kandungan kreatif mencecah $1.37
Bilion dan pasaran di Korea sahaja mencecah $69 Bilion. Jumlah itu sudah
meningkat sekali ganda pada tahun lalu.
Gangnam Style -Psy antara fenomena Kpop yang mendapat sambutan di seluruh dunia |
Korea
sedar bahawa industri kandungannya tidak akan berkembang pantas sekiranya ia
bergantung pada penduduk setempat. Bahan kreatif kandung mesti dieksport.
Tetapi dengan sistem dan hambatan birokrasi usaha itu tidak akan membuahkan
hasil yang dimahukan. Maka wujudlah KOCCA atau Korea Culture and Content Agency
yang mengubah segala-galanya.
Prinsipnya
mudah – dengan wujudnya KOCCA diharapkan akan berlaku transfomasi yang
diharapkan untuk mengubah lanskap industri kandungan di negara itu.
KOCCA
telah berjaya menepati sasarannya: Remaking
Korea As Creative Star of World Stage.
Saya
tidak perlu menghuraikan impak KOCCA pada industri kreatif Korea tetapi kita
tahu bahawa Korea tidak lagi mengeksport kereta, TV, peti sejuk atau telefon
pintar tetapi pengeluar bahan kreatif yang dihormati di Asia dan di dunia. Korea
memanfaatkan setiap aspek teknologi untuk menjaja produknya.
Saya
percaya ada pengajaran daripada kejayaan Korea dan kewujudan KOCCA.
·
Memecahkan tembok birokrasi
·
Berfikir sebagai Satu
·
Memberikan tumpuan pada
eksport.
Saya
percaya kita boleh melahirkan “Brand Malaysia” dan dalam kerangka yang lebih
besar memberikan tumpuan pada “Brand Asia.” Eksport harus menjadi keutamaan
kita bukan sekadar penumpuan pada pasaran dalam negara yang fragmented dan kecil.
Kita
boleh mengambil pengajaran bagaimana Korea memasarkan produk kreatif. Dalam
konteks itu, bukan penyanyi Rain, siri TV Winter
Sonata atau filemTaegukgi yang
boleh dicontohi tetapi juga Psy, lelaki Korea yang bersia 40-an, yang hanya
dengan sebuah posting di YouTube, “Gangnam Style” ditonton oleh 1.5 Bilion
manusia!
Saya
ingin mengajak kita semua menggunakan kekuatan kreatif yang ada pada kita
sebagai “bangsa Malaysia” untuk menjual produk kepelbagaian kita. Ola Bola tidak harus berakhir di Malaysia.
Ola Bola harus dipasarkan sebagai
produk Malaysia seperti juga filem Cahaya
Dari Timur: Beta Maluku arahan Angga Dwimas Sasongko dipasarkan. Ada
persamaan semangat di antara keduanya.
Kita
punya potensi yang jauh lebaih besar daripada Korea. Kita negara majmuk yang
mencerminkan kepelbagaian. Kita boleh menggunakan kekuatan dalaman kita untuk
melahirkan yang terbaik. Terlalu banyak permasalahan yang mampu kita jadikan
karya filem – dari tradisi dan adat hinggalah konflik dan krisis pembinaan sebuah
negara bangsa.
Tetapi
asas pemetaan konstruksi filem itu harus kita fahami sepenunya. Malah karyawan
filem harus berani keluar dari kepompong pemikiran bahawa filem adalah produk
eksklusif sesuatu kelompok.
Filem
Malaysia dalam konteks masyarakat hari ini harus ditafsir semua secara mutlak.
Filem harus menjadi wahana penyataan bangsa Malaysia. Maka itu kita harus
mempersiapkan landas berikut:
·
Pemahaman baru tentang
dinamisme masyarakat semasa yang mula dicorakkan oleh teknologi maklumat dan
industri berteraskan ilmu dan pengetahuan
·
Penilaian semula dasar filem
dalam konteks memberikan keanekagaraman yang menjadikan filem Malaysia itu
filem Malaysia
·
Mengkaji semula keperluan
Dasar Kebudayaan Kebangsaan bagi membolehkannya menjadi relevan dengan
keperluan semasa.
·
Menggesa kerajaan memberikan
penegasan baharu tentang keperluan mengeksport kandungan kreatif serta
menyediakan prasarana secukupnya bagi memungkinkan pemikiran baru eksport yang
bukan sahaja berteraskan hasil bumi tetapi juga penghasilan kreatif
·
Memecahkan tembok birokrasi
bagi memasarkan produk kreatif
·
Mewujudkan sebuah KOCCA yang
berfungsi untuk menjadi penjana usaha pengeluaran dan pemasaran “Brand
Malaysia” dalam industri kandungan ke luar negara.
·
Menggunakan model Multmedia Development
Council (MDC) sewaktu peringkat awalnya sebagai penggerak gagasan Multimedia
Super-Corridor (MSC).
Dan yang lebih penting:
·
Memberikan kuasa secukupnya
pada Finas untuk membangunkan industri filem tempatan. Finas harus diberikan taring dan prasarana
secukupnya, juga disokong oleh akta dan peruntukan yang bersesuaian.
Saya
ingin mencadangkan penubuhan satu taskforce
untuk menggerakan usaha melihat secara tuntas keperluan satu dasar filem
yang baharu mengambilkira keperluan industri dan realiti masyarakat semasa.
It cannot be business as usual.
Saya
melihat keperluan filem dijadikan sebagai wahana untuk mengurangkan jarak
antara kaum dan batas psikologi serta geografi antara Malaysia Timur dan Barat.
Taskforce
ini harus juga diwakili oleh stakeholders
yang terdiri daripada generasi muda agar mereka dapat menyumbangkan pemikiran
untuk membawa filem kita pada satu tahap yang lain.
Pasukan
ini harus juga memberikan cadangan untuk melihat sebuah industri filem yang melampaui
kepentingan mana-mana kelompok.
Ia
juga harus membantu mempersiapkan karyawan filem kita dengan mindset yang betul
tentang tuntutan dan keperluan sebuah industri filem yang sebenarnya MALAYSIA.
Saya
manaruh keyakinan tentang masa depan industri filem kita.
ends
No comments:
Post a Comment