Sewaktu Pelancaran Buku Geruh
dan Mencari Cerah Di Hujung Tanjung
Terbitan BYG Publisher
Dewan Besar Utusan Melayu
Kompleks Utusan Melayu (M) Berhad
14 Mei 2016
Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima
kasih pada Datuk Raja Ahmad Niza Raja Ismail, Pengerusi Eksekutif Kumpulan BYG
Worldwide Bhd yang mengundang saya untuk menyempurnakan pelancaran dua buah
buku terbitan BYG Publisher.
Saya juga mengucapkan terima kasih pada Kelab
Veteran Utusan Melayu (KVUM) yang memungkinkan majlis ini. Saya ingin
mengalu-alukan teman-teman mantan Utusan Melayu dan kerabat KVUM yang berkumpul
pada hari ini di sini.
Kalau tidak
kerana bulan
Tidak
bintang terbit pagi
Kalau tidam
kerana kenkawan
Tidak kita
berkumpul di sini
Saya menganggap undangan ini satu
penghormatan.
Ini bukan sebarang penerbitan. Dua buah buku
ini punya maknanya yang tersendiri bukan
sahaja bagi penerbit dan penulisnya tetapi bagi tempat istimewa ini – Utusan Melayu Malaysia Berhad.
Saya percaya kehadiran begitu ramai teman-taman
mantan karyawan Utusan Melayu membuktikan makna tempat ini bagi mereka semua.
Anak itik
terenang-renang
Anak belibis
pulangnya senja
Tempat jatuh
lagi dikenang
Inikan pula
tempat bekerja
Agaknya sesuailah dengan bait terakhir sajak
Tan Sri Zainuddin Maidin (Zam) yang dirakamkan dalam buku Saya Bukan Menteri yang saya percaya memancarkan sikap dan
pendirian kami semua, mantan Utusan Melayu, siapapun kami, pada kedudukan
apapun kami, dalam hirarki manapun kedudukan kami sewaktu bekerja, di satukan
oleh sejarah, nostalgia, semangat, syarikat yang diberi label “Suara Keramat.”
Di manapun
singgahku
Utusan
Melayu tugus emas
Di hatiku
Hari ini kita menyaksikan pelancaran dua buah
buku karya mantan karyawan mantan syarikat ini – Raja Ahmad Niza dan Zahari Affandi – yang
masing-masing berjudul Geruh dan Mencari Cerah Di Hujung Tanjung.
Lebih istimewa lagi, kedua-dua orang penulis
buku ini bermula di sini – sebagai wartawan – kemudiannya melalui perjalanan
hidup sendiri setelah meningggalkan tempat bersejarah ini.
Premis Utusan Melayu tentulah tidak semewah
ini sewaktu mereka berdua menjadi karyawannya. Malah dalam keadaan serba
kekurangan itulah, Utusan Melayu mencipta nama dan sejarah, dan karyawannya
mencorakkan kerjaya, melakar nama dan membuktikan kemampuan.
Tetapi di sinilah mereka memula
langkah melalui suka duka karier yang luar biasa dan menjadi sebahagian daripada
sejarah kegemilangan syarikat yang bermula 77 tahun yang lalu hari ini –
penerbitan akhbar yang dianggap “Suara Keramat” orang Melayu.
Suara yang lantang menyuarakan kepentingan
bangsa, menjadi wadah malah cerminan sebuah bangsa yang mencari citra dan
kekuatan.
Kedua-dua penulis buku ini menjadikan Utusan
Melayu titik tolak penting kehidupan mereka – Raja Ahmad Niza berada di sini selama
23 tahun, Zahari Affandi selama 11 tahun – menjadikan tempat ini sekaligus “universiti”
sebenar mereka.
Hari ini mereka kembali ke sini – kali ini
memperagakan satu lagi kemampuan mereka – sebagai sasterawan. Malah sebenarnya
mereka telah mencipta nama sebagai penulis novel, cerpen dan puisi lama sebelum
ini. Kedua-dua buah buku ini hanyalah satu lagi pencapaian mereka serta mercu
tanda baharu kejayaan mereka dalam bidang sastera.
Sayogia diingat, inilah tradisi gemilang
Utusan Melayu. Karyawan Utusan Melayu bukan sahaja menjadi pelapor berita,
penganalisis peristwa dan perakam zaman, malah sebahagian daripada mereka juga
merupakan sasterawan terbilang – yang mencipta nama di persada sastera
tanahair.
Malah, ada kalanya sukar dibezakan di antara
wartawan dan sasterawan, maka itu oleh seorang pengkaji sejarah kebangkitan
kesedaran dan nasionalisme Melayu, W.R. Roff di dalam bukunya Malay Nationalism diberikan label
istimewa pada kelompok ini – “sasterawan-wartawan”.
Ini merupakan kelompok besar sasterawan Melayu ketika itu – seperti juga kelompok
yang tidak kurang berpengaruhnya ketika itu, “sasterawan-guru”.
Malah apabila akhbar Utusan Melayu muncul pada 29 Mei 1939, pengarang pertamanya adalah
juga seorang sasterawan – A. Rahim Kajai yang digelar Bapa Kewartawanan Melayu.
Beliau juga dianggap Bapa Cerpen Melayu. Ketajaman tulisannya sebagai wartawan
sama hebatnya dengan ketajaman penanya menulis cerpen.
Menurut buku Wajah: Biografi Penulis Malaysia yang pertama terbitan DBP, Kajai
menulis 48 buah cerpen sahaja sepanjang hayatnya – tidak banyak sebenarnya
berbanding penulis lain – tetapi beliau membantu mendefininasikan genre sastera
yang bernama cerpen itu. Karyanya terkumpul dalam anotlogi Pustaka Kajai, Banyak Udang Banyak Garam dan Lain Padang Lain Belakang.
Demikianlah Kajai yang bukan sahaja menerajui
akhbar yang sepenuhnya “dikendali dan diterbitkan dengan modal orang Melayu Semenanjung”
tetapi memulakan tradisi fikir dalam genre sastera yang sangat popular di
kalangan orang Melayu. Akhbar Utusan
Melayu hanyalah salah satu daripada penerbitan dalam tradisi panjang dan
penuh bersejarah persuratkhabaran Melayu yang bermula dengan Jawi Peranakan, akhbar yang terbit di
Pulau Pinang pada tahun 1876.
Bagaikan seorang pelopor, Kajai telah
menyediakan landas yang diikut oleh yang lain. Ishak Haji Muhammad atau Pak
Sako yang menjadi salah seorang pengasas akhbar
itu, juga menjadi sasterawan terbilang. Siapakah yang dapat melupakan
karya-karya besar beliau dalam bentuk novel, antaranya Anak Mat Lela Gila dan Putera
Gunung Tahan yang amat tebal sinisismenya, kental satiranya, yang digunakannya
secara berkesan untuk menginsafkan anak bangsanya dan memperlekeh penjajah.
Berdasarkan buku Wajah, daripada 100 orang penulis dalam senarai awal penulis
Malaysia, 33 orang datangnya dari Utusan Melayu atau 33 peratus. Nama-nama
mereka bagaikan “Who-Is-Who” dalam dunia sastera tanahair: Kamaluddin Muhamad
(Keris Mas), Usman Awang (Tongkat Warrant), A. Samad Said, A Samad Ismail, Jaafar
Hj Ahmad (Jymy Asmara), Salmah Mohsin, Zaharah Nawawi, AS Amin, Abu Zaki
Fadhil, Abdul Rashid Muhammad (Adi Mas), Alias Ali, Mohamad Dahlan Hj Masud (Hamdam),
Harun Hassan, Ilias Zaidi, Ahmad Lufti,
Mohktar Petah, Khatijah Hashim, A. Shukor Harun, A.R. Kamaluddin, Mohd Nordin
Andul Rahman (Atondra), Abdul Wahab Muhammad (Awam Il Sarkam), Hamzah Hussein,
Ibrahim Omar, Amir Hamzah Shamsuddin (Malungun), Baharuddin CD, Ali Hj Ahmad (Nora)
dan Zahari Affandi.
Apabila kerajaan Malaysia merencanakan
penghargaan paling tinggi untuk sasterawan yakni Anugerah Sasterawan Negara,
penerima pertamanya ialah Kamaluddin Muhammad atau Keris Mas, mantan Utusan
Melayu, pada tahun 1981. Sehingga ini, anugerah itu telah diberikan pada 13
orang sasterawan termasuk seorang wanita. Dua orang lagi mantan Utusan Melayu
penerima anugerah itu adalah Usman Awang (1983) dan A. Samad Said (1985).
Bukan itu sahaja, gerakan sasterawan yang
paling penting dan berpengaruh di negara ini – Angkatan Sasterawan 50 atau Asas
50 – digerakkan antara lain oleh karyawan Utusan Melayu di Singapura pada tahun
1950. Keris Mas, Usman Awang dan Awam-il-Sarkamadalah “orang Utusan Melayu” di
belakang penubuhannya.
Ibarat irama dan lagu, sastera tidak dapat
dipisahkan dari Utusan Melayu. Malah tradisi ini berpanjangan setelah mereka
yang tersenarai dalam buku Wajah yang
pertama.
Saya sendiri menulis cerpen, novel dan drama.
Malah saya mencipta nama sebagai penulis melalui penerbitan Utusan Melayu –
sejak Utusan Pelajar lagi.
Cerpen-cerpen saya banyak tersiar di Mingguan Malaysia dan Utusan Zaman sejak di bangku sekolah
lagi. Dan novel saya yang pertama, Warna
Tinta diterbitkan oleh sebuah anak syarikat Utusan Melayu pada tahun 1976. Saya
terhutang budi pada Utusan Melayu, pada ramai pengarang akhbar dan majalah
Utusan Melayu yang melayan penerbitan saya sejak saya menulis pada tahun 1968
lagi.
Ramai lagi karyawan yang lebih muda yang
mencipta nama dalam dunia sastera, antaranya Zainal Rashid Ahmad yang terasa
benar kekuatannya dalam genre novel dan
cerpen. Entah ribuan lagi penulis muda yang mencambah bakat di Utusan Melayu
melalui ruang sastera di dalam penerbitannya.
Maka itu saya menganggap peristiwa hari ini penting
oleh sebab kita bukan sahaja menghargai sumbangan dua buah karya mantan Utusan
Melayu tetapi kerana kita juga menghargai sejarah gemilang sumbangan Utusan
Melayu dalam dunia sastera.
Saya berharap bahawa ada usaha untuk
merakamkan sumbangan Utusan Melayu dan karyawannya juga mereka yang mencipta
nama dalam dunia sastera melalui penerbitan Utusan Melayu. Tan Sri Zainuddin
Maidin telah merakamkan sejarah rasmi Utusan Melayu di dalam Di Depan Api Di Belakang Api. Sudah
sampainya sumbangan sastera Utusan Melayu dirakamkan juga secara rasmi.
Anak
sembilang makanan puan
Ikan baung
si ikan duri
Bukan
wartawan sebarang wartawan
Dunia
sastera mereka ceburi
Saya melihat potensi luar biasa pada mantan karyawan
Utusan Melayu dalam dunia sastera. Tan Sri Zam sendiri mencuba bakatnya dalam
bidang puisi. Bakat sastera tidak kurang di kalangan mantan Utusan Melayu,
selain nama-nama dalam Wajah, banyak
yang lain yang berkarya malah menerbitkan buku sendiri, antaranya Muhammad
Jusoh, Webah Salleh, Kamaluddin Mat Lela sekadar menyebut beberapa contoh.
Apabila group whatsapp mantan petugas Jabatan
Pengarang Utusan Melayu yang diberikan label “Buletin Suara Keramat” atau BSK bermula
pada bulan Februari 2016, ruang itu menjadi wahana pantun oleh karyawan yang
selama ini tidak pernah berpantun.
Bayangkan Datuk Rosnah Majid, Azim Aras,
Nasir Ahmad, Norila Daud, Hanafiah Man, Hamid Yahya,Sunarti Kibat, dan ramai
lagi berselangseli dengan “pemantun tegar” sedia ada seperti Puan Seri Ashidah
Minin, Webah Salleh, Raja Ahmad Niza, Wahi Bakhtiar, Wan Dayang, Kamaluddin Mat
Lela, Zahari Affandi dan lain-lain. Malah ada cadangan pantun BSK dibukukan.
Ribuan pantun telah terhasil dalam BSK sejak lima bulan kemunculan group whatsapp
itu.
Raja Ahmad Niza mungkin diingat sebagai
editor sastera Mingguan Malaysia tetapi
beliau merupakan novelis yang pernah memenangi hadiah dalam Sayembara Novel
Gapena – Yayasan Sabah. Selain Kaul,
beliau menulis Politik Hantu, Sejernih
Air Mata, Sumpah dan Dia Gadis
Kelantan. Beliau juga menulis cerpen dan puisi.
Lebih istimewa lagi, oleh teman-teman dalam
BSK melabelkan beliau “penyair
dinihari”. Beliau melayangkan puisi – selalunya tentang cinta dan nostalgia –
apabila malam bertambah malam. Dalam dingin malam, Raja Ahmad Niza meladeni
teman-teman yang dek lanjutnya usia, semakin sukar untuk melelapkan mata.
Mari ke
sawah menanam padi
Pohon
meranti di tepi seraya
Semakin tuan
semakin menjadi
Itulah Tuk
Raja dalam berkarya
Novel Geruh
ini menuntut perhatian pembaca. “Geruh” menurut Kamus Dewan membawa dua makna: Malang, celaka, nasib buruk atau
sial dan makna yang kedua, berdengkur, meraung.
Saya tidak akan menggariskan sinopsis novel
ini bagi memastikan suspens berpanjangan. Memadailah kalau saya mengatakan
novel ini sarat dengan drama dan intrig berlatarbelakangkan suasana dan
senario politik yang gawat dengan kisah persahabatan, pengkhianatan dan
tragedi.
Raja Ahmad Niza memulakan novelnya dengan
sebuah sajak berjudul Quran Buruk tentang nasib anak bangsanya. Sajak itu
bermula begini:
Melayu kini
di persimpangan
Ke hadapan
ribut
Ke belakang
taufan
Ke kanan
guruh bergegaran
Ke kiri
petir sabung menyabung
Geruh geruh
geruh
Ke mana?
Demikianlah Geruh menggalurkan kisah sebuah bangsa yang diwakili oleh manusia
seperti Hashim, Pak Jusuh, Nizam, Pak Ali, Pak Jantan, Pak Larut, Pak Lajis,
Haji Kudus, Nik Safiah, Nizam, Tok Din, Wadi, Amran, Roslinda, Datuk Syamsul dan Datin Anne. Mereka cerminan bangsa Melayu
sebenar – yang terbaik, yang terburuk, serta minda, psyche dan pandang dunia
keMelayuan sebenar.
Kisah yang berlatar belakangkan Kemaman ini
cukup menginsafkan. Ia merupakan refleksi parti-parti Melayu dan keanekaragaman
manusia di dalamnya. Raja Ahmad Niza mengambil kesempatan untuk membuat
komentar tentang punca kelemahan orang Melayu melalui watak-wataknya.
Bacalah novel ini untuk menyelami dunia
politik di sebuah wilayah kecil dengan personaliti yang pelbagai, dicorakkan
oleh nawaitu yang berbeza dan kepentingan yang berlainan pula.
Tetapi di sebalik hirok pikok politik dan
politik syarikat koperasi di tempat itu muncul juga kebijaksanaan. Haji Kudus
menjadi conscience rakyat setempat
yang mengingatkan bahawa “Tidak ada tugas yang lebih murni selain dari membela
bangsa…seterusnya membela agama dan negara.”
Zahari Affandi tidak perlu diperkenalkan.
Dua tiga
kucing berlari
Mana nak
sama si kucing belang
Memang nakal
tidak terperi
Sebagai
sasterawan Zahari terbilang
Beliau telah menghasilkan lebih 30 buah novel
dan ratusan cerpen. Beliau dikenal kerana novel Kunang-Kunang dan Bulan Merah
Di Tiga Kuala. Baru-baru ini ITBM menerbitkan novel Embargo. Mencari Cerah Di Hujung Tanjung adalah kisah cinta yang
terluka – kisah pencarian seorang gadis bernama Asmah yang membesar di tengah
kemewahan – yang mencari diri dan akarnya.
Perjalanan Asmah panjang dan berliku melalui
suka duka kehidupan seorang yang lepas bebas dan menganggap dunia pentas
berbuat apa sahaja, menjadi janda dan beranak dua, sehinggalah bertemu cinta
sebenar “di hujung tanjung” dengan Ustaz Khairul.
Novel ini menggetar perasaan, mencabar minda
lagi menginsafkan. Zahari Affandi seorang wordsmith
luar biasa, menggunakan diksi dan frasa yang memang kekuatannya, membolehkan
kita diulit kisah perjalanan Asmah secara bersahaja. Kata-kata menjadi kekuatan
Zahari Affandi, kata-katalah yang menjadikan novel ini menarik, ghairah,
menyenangkan.
Kisah cinta di dalam novel ini ibarat pantun
Melayu ini:
Hijau-hijau
bayu si dayang
Untuk di
pakai di pagi hari
Hati risau
bercampur sayang
Badan
mengamuk seorang diri
Zahari memang pandang memilih ayat dan
kata-kata:
Bayangkan ayat ini:
“Langit agak
cerah, ada pula bulan yang tersipu-sipu malu mengintai sepasang pengantin di
malam pertama. Bukit Sutera benar-benar dibungkus sepi…”
Inilah gambaran Zahari Affandi tentang
pengantin lelaki pada malam yang istimewa:
“Ombak darah
gemuruh yang berpusar di dalam dadanya sejak tadi bertukar menjadi gelombang.
Puas menarik nafas dan beristighfar panjang-panjang namun debaran terus
juga merobek dadanya. Dia sendiri tidak
tahu kenapakah kali ini dia begitu gementar untuk berhadapan dengan Asmah?”
Itulah Zahari Affandi.
Itu jugalah di antara alasan mengapa buku ini harus
dihayati.
Saya mengalungkan syabas kepada kedua-dua
novelis ini. Semoga mereka terus berkarya dan memperkaya perbendaharaan sastera
negara.
Kita mengharapkan mereka akan terus berkarya,
tanpa jemu, tanpa henti.
Yang nasi
dijerang
Yang kuncup
dipotong
Yang bermutu
dikenang
Yang
istimewa disanjung
Dengan penuh gembira, dengan lafaz
Bismillah….saya melancarkan secara rasmi novel Geruh karya Raja Ahmad Niza dan Mencari
Cerah Di Hujung Tanjung oleh Zahari Affandi terbitan BYG Publisher.
Sekian terima kasih.
No comments:
Post a Comment