Tuesday, January 30, 2024

Simposium Memperingati Tan Sri A. Samad Ismail: Wartawan, Cendekiawan Awam, Negarawan

                  


Ucaputama 2

“Mencari A. Samad Ismail”

Oleh JOHAN JAAFFAR


Mungkin juga benar apa yang dihujahkan  oleh dramatis Henrik Ibsen bahawa ada kalanya watak di dalam sesebuah drama boleh jadi kompleks. Ambil sahaja watak Peer Gynt, yang juga judul salah sebuah karyanya yang paling terkenal. Mendalami watak  Peer Gynt itu bagaikan  menarik helaian kulit bawang sehelai demi sehelai. Maka usaha itu bagaikan mengupas lapisan dari identiti sebenar seseorang  (peeling the layers of our true identity).

Saya mencuba saranan Ibsen, mencari jawaban pada enigma yang bernama A. Samad Ismail atau orang yang kita kenal sebagai Pak Samad, yakni  Tan Sri A. Samad Ismail yang menjadi perhatian kita hari ini.

Saya telah membaca kesemua 11 buah novelnya, bermula dengan  Patah Sayap Terbang Jua (1966) hingga Sutinah (1975). Saya telah meneliti kesemua cerpen yang beliau tulis yang dibukukan dalam enam buah antologi (baik antologi persendirian atau bersama) bermula dari Mekar dan Segar (1960) hingga Ingin Jadi Pujangga (1994). Saya juga membaca cerpen-cerpen  eceran beliau yang belum terkumpul di mana-mana.

Saya  mengulang membaca  Memoir  A. Samad Ismail di Singapura, buku yang amat penting untuk mengenal beliau. Demikian juga tulisan orang lain dalam bentuk  buku, esei, catatan dan kajian mengenai beliau setakat ini, paling menonjol tentunya esei yang dikumpulkan oleh Prof Cheah Boon Kheng, A. Samad IsmailJournalism and Politics (terbit 1987). 

Dan saya tentunya meneliti kesan dan tanggapan anak Allahyarham sendiri, Datuk Nuraina Samad di dalam buku Tuesdays with Bapak,  yang amat menyentuh dan mengharukan. Dalam komentar saya mengenai buku itu saya menulis, It is one of the best books ever written by children of detainess that I have read. Saya juag menyebutkan bahawa Nuraina weaves a narrative with sincerity and honesty detailing sadness, anger and disappointment, as it were.

Saya membaca memoir Lee Kuan Yew, The Singapore Story untuk cuba melihat di mana Pak Samad ditempatkan oleh negarawan itu dalam skima politik dan sejarah partinya.  Saya cuba juga membaca  sekian banyak buku dan esei tentang sejarah kebangkitan nasionalisme Melayu yang menyentuh  tentang beliau. 

Malah saya menemui banyak teman-teman beliau khsususnya yang bersama-sama di Utusan Melayu sewaktu di Cecil Street, Singapura apabila Pak Samad  memulakan kariernya di sana. Saya sempat menyeluk pandangan Ishak Haji Muhammad (Pak Sako), Kamaluddin Muhammad (Keris Mas), Usman Awang (Tongkat Warrant),  Dahari Ali, Hussein Jahiddin,  Awam Il Sarkam dan lain-lain. Dua orang daripada mereka Keris Mas dan Tongkat Warrant kebetulan pernah menjadi ketua saya sewaktu di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Saya terasa masih berada pada permukaan – pada lapisan luar – Pak Samad adalah tokoh kompleks dengan sejarah hidup yang sebahagiannya masih menjadi misteri dan penuh tanda tanya.  

Saya tertarik dengan  Pak Samad, lama sebelum saya bersua muka dengannya. Saya sudah mengenal karya-karyanya  sejak di bangku sekolah lagi. Pengenalan saya kepada sastera Melayu agak terkemudian oleh sebab saya bersekolah Inggeris sejak tahun 1960. Tetapi beberapa orang novelis Melayu yang karyanya saya baca membuka cakrawala kesusasteraan saya, salah seorang daripadanya adalah Pak Samad.

Saya membaca novel-novel awalnya seperti Patah Sayap Terbang Jua, Hud, Kail Panjang Sejengkal, Orang Jauh dan Tembok Tidak Tinggi. Demikian juga cerpen-cerpen   beliau yang sering tersiar di akhbar dan majalah pada masa itu.

Pada hari ini kita membicarakan  Pak Samad sebagai wartawan, cendekiawan awam (public intellectual) dan negarawan. Mungkin kita sudah mengadaikan bahawa sumbangan beliau dalam bidang kesusasteraan tidak perlu dipertikaikan lagi. Namun demikian kita jangan lupa bahawa dalam tahun-tahun bersemaraknya dunia persuratkhabaran Melayu yang bermula sejak terbitnya akhbar Jawi Peranakan pada tahun 1876, sasterawan dan wartawan itu selalunya satu dan serupa.

Malah dalam tradisi persuratkhabaran Melayu dua kelompok dikatakan mewarnai dunia kesusasteraan masa itu – sasterawan-guru dan sasterawan-wartawan. Pak Samad seperti A. Rahim Kajai, Pak Sako, Keris Mas, Tongkat Warrant dan  Awam il Sarkam tentunya mewakili kelompok yang kedua.

Saya percaya Pak Samad akan banyak dibicarakan nanti sebagai wartawan tulen, berpengalaman, berani, contrarian, seorang guru yang tegas, seorang editor yang cermat dan seorang pemimpin editorial yang dikagumi dan sekaligus digeruni.  Banyak daripada kalangan kita merupakan “graduan sekolah kewartawanan Pak Samad”. Banyak juga  telah melalui pengalaman dan baptism of fire berketua atau bergurukan beliau.  Beliau seorang wartawan dan editor yang meletakkan kesempurnaan di atas segala-galanya. Orang yang tidak akan berkompromi dengan ayat, perkataan, kandungan dan hujah.

Kita semua mempunyai anakdot tersendiri dalam hubungan kita dengan Pak Samad.

Banyak "graduan" beliau menjadi wartawan yang baik, berwibawa, beretika dan dihormati, yang turur mencorakkan dunia kewartawanan negara hari ini. Sebahagian daripada mereka bersama-sama kita hari ini.

Beliau bukan sahaja guru yang baik tetapi juga mampu mengenalpasti bakat yang ada pada seorang. Beliau menjadi pembimbing yang tekun  serta berkemampuan mengetengahkan apa yang tidak terfikir pun oleh orang yang diasuhnya. Beliau pandai menggilap bakat, memberikan peluang dan mengajukan kemungkinan. Ratusan para wartawan terhutang budi padanya.

Tetapi bukan dunia kesusasteraan dan kewartawanan sahaja yang dicorakkan oleh Pak Samad. Beliau berada di tengah pelbagai kemelut sosial dan politik dalam episod sejarah yang melangkaui Selat Melaka. Kita tahu peranan beliau dalam mewarnakan dunia politik tanahir. Politik dan Pak Samad tidak boleh dipisahkan. Dalam pelbagai situasi politik, beliau bukan  pemain pinggir, tetapi  pemain strategik dan utama tetapi di luar radar dan pengetahuan umum.

Dalam pencarian saya timbul beberapa persoalan yang belum sepenuhnya terjawab:

1.      Sumbangan sebenar Pak Samad dalam penubuhan Asas 50 atau Angkatan Sasterawan 50. Pak Samad nampaknya tidak dicatatkan sebagai salah seorang pengasas apa lagi aktivis gerakan yang dimulakan oleh teman-temannya yang kebanyakannya dari Utusan Melayu. Ada pandangan  yang mengatakan bahawa beliau “penasihat” tidak rasmi Asas 50. Saya secara peribadi meraguinya. Dalam isu yang membabitkan polemik “Seni Untuk Seni” dan “Seni Untuk Masyarakat” yang mewarnai gerakan itu, Pak Samad langsung tidak terlibat.

2.    Apakah peranan sebenar Pak Samad dalam perjuangan menuntut kemerdekaan Indonesia? Di kalangan kawan-kawannya banyak yang mengatakan beliau “aktif” membantu gerakan itu.  Malah banyak yang percaya, kegiatan beliau tidak sekadar menjadi simpatisan tetapi turut  membantu menyeludupkan  senjata untuk pejuang kemerdekaan Indonesia. Banyak yang  mengakui sumbangan Pak Samad “bukan kecil” dalam revolusi kemerdekaan Indonesia, hal ini muncul dari mulut Presiden Sukarno sendiri. Dalam buku Memoir A. Samad Ismail di Singapura, dalam bab “Persahabatan Dengan Adam Malik” beliau ada menulis tentang peranan beliau “menampung ramai anak-anak buahnya (Adam Malik) yang menyeludup ke Singapura dalam tahun-tahun perjuangan revolusi.” Dalam bab yang sama, beliau menulis tentang Duta Besar Indonesia yang kebetulan orang yang dikenalnya pada zaman revolusi, Rais Abin. Rais melawat New Straits Times pada tahun 1982, 37 tahun selepas kemerdekaan Indonesia dari Belanda. Rais berseloroh dengan wartawan yang membuat liputan  beliau bahawa “He was a gun smuggler, you know” apabila merujuk pada Pak Samad. Peranan sebenar Pak Samad sewaktu perjuangan kemerdekaan Indonesia perlu dikaji semula. 

3.    Apakah peranan Pak Samad dalam Mogok Utusan Melayu tahun 1961? Kalangan wartawan Utusan Melayu menolak pengambilalihan Utusan Melayu oleh UMNO. Mereka melancarkan mogok yang bertahan 90 hari. Sebelum itu Yusof Ishak (yang kemudiannya menjadi Presiden Republik Singapura yang pertama) telah disingkirkan dari Utusan Melayu. Mogok itu gagal. Said Zahari yang menjadi pengarang ketika itu kemudiannya ditahan  selama 17 tahun di Singapura di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).  Banyak teori konspirasi dalam soal  peranan sebenar Pak Samad dalam mogok itu. Pak Samad sebenarnya sudah berhenti dari Utusan Melayu akibat perselisehan faham dengan Yusof Ishak sebelum tahun 1961 lagi. Malah beliau sudah memimpin akhbar Berita Harian  pada ketika itu.

4.        Pembabitan Pak Samad dalam penubuhan People’s Action Party (PAP).  Parti ini  masih memerintah Republik Singapura sehingga hari ini. PAP secara rasmi ditubuhkan pada 21 November 1954. Selain Lee Kuan Yew dan Toh Chin Chye, pengasas yang lain antaranya adalah S Rajaratnam,  C. V. Devan Nair,  Tan Wee Tiong,  dan Pak Samad sendiri. Pak Samad tidak banyak bercakap tentang hal ini. Apakah tanda terima kasih Lee Kuan Yew dalam hal ini? Seperti banyak pendiri PAP, Pak Samad dimusuhi oleh Lee Kuan Yew kemudiannya.

5.    Sumbangan beliau sebagai “orang kuat” Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein. Tidak ada siapa yang mempertikaikan bahawa Pak Samad berada dalam inner circle Tun Razak. Apabila beliau ditahan kemudiannya, media melabelkan beliau salah seorang daripada “Gang Tiga Abdul” yang  mempengaruhi Tun Razak – dua yang lain adalah Abdullah Ahmad dan Abdullah Majid. Tetapi apakah peranan Pak Samad dalam pentadbiran Tun Razak? 

6.        Apakah Pak Samad seorang “komunis”? Atas alasan itulah beliau ditahan pada 23 Jun 1976. Beliau baru dinobatkan anugerah Pejuang Sastera pada bulan Mei 1976. Bulan berikutnya beliau ditahan di bawah ISA. Beliau bebas pada tahun 1981. Pak Samad berusia 22 tahun sewaktu pertama kali ditahan  pada tahun 1946 dan 27 tahun sewaktu beliau ditahan  kali kedua pada tahun 1951. Pada tahun 1976, beliau sudah 52 tahun. Pak Samad, meminjam tulisan Nuraina menjadi orang yang berbeza sewaktu ditahan kali ini. Lima tahun kemudian sewaktu beliau dikembalikan ke rumah, he was wearing the same red and white checkered shirt that he wore the night he was arrested. Tidak dapat dinafikan beliau baik dengan tokoh-tokoh nasionalis Melayu seperti Dr Burhanuddin Helmi, Ahmad Boestamam, Ibrahim Yaakub dan lain-lain, yang  berfahaman kiri masa itu.

7.    Apakah sumbangan Pak Samad dalam mengakhirkan Konfrontasi Indonesia-Malaysia? Pak Samad mengakui bahawa hubungan beliau dengan Adam Malik, Menteri Luar Indonesia ketika itu  amat baik. Hubungan itu bermula sejak zaman revolusi lagi. Dalam bukunya Pak Samad hanya menyebutkan bahawa Adam memberikan beliau berita eksklusif di Bangkok sewaktu perundingan menamatkan konfrontasi masih berjalan. Berita yang Straits Times bawa pada muka hadapan  memaparkan heading,All Settled, Says Adam”. Soalannya, apakah peranan Pak Samad hanya sebagai wartawan yang melaporkan?

Saya percaya ada titik titik yang tak tersambungkan dalam konteks peranan Pak Samad dalam dunia politik dan hubungannya dengan kewartawanan dan kesusasteraan. Saya percaya kita perlu mencari jawaban sebenar pada tujuh perara itu bagi  mempertegap kedudukan beliau sebagai wartawan, cendekiawan dan negarawan. 

Bagi saya sendiri, hubungan saya dan Pak Samad sentiasa saya anggap Istimewa. Saya masuk ke Universiti Malaya (UM) pada tahun 1974. Tetapi saya sudah menulis sejak di bangku sekolah lagi, malah tulisan saya dalam bentuk kreatif dan bukan kreatif selalu mendapat tempat baik dalam penerbitan syarikat Utusan Melayu, DBP atau Berita Harian  dan Berita Minggu.

Maka itu saya sudah dikenali oleh banyak wartawan dan pengarang di ketiga-tiga institusi itu. Saya mengenal baik A Samad Said, Shahril Lembang dan beberapa orang lain di Jalan Riong. Saya mengambil kesempatan untuk bertemu mereka apabila ada kesempatan.

Shahril yang membawa saya menemui Pak Samad pada tahun 1975. Apa yang paling saya ingat bukan wajahnya yang serius tetapi bulu keningnya yang luar biasa. Saya memberitahunya bahawa saya paling meminati novelnya Kail Panjang Sejengkal dan Hud. Saya terkejut apabila beliau menyebutkan, “Tongkat yang habiskan ending novel tu.” (Beliau maksudkan Usman Awang).

Saya tidak berani bertanya novel yang mana, Kail Panjang Sejengkal atau Hud. Saya  merujuk pada Tongkat kemudiannya dan beliau mengesahkan memang ada manuskrip yang dicampak oleh Pak Samad ke atas mejanya, “Aku tak tahu nak habiskan ending tu!” Menurut Pak Samad sendiri, beberapa buah novelnya yang ditamatkan oleh Tongkat tetapi menurut Tongkat hanya sebuah.

Saya mencari peluang ke Jalan Riong oleh sebab Shahril selalu mengajak saya makan tengah hari jikalau saya menemuinya. Tambahan pula saya bekerja dua kali seminggu  di sebuah kedai motorsikal di Jalan Bangsar. Saya membeli sebuah motorsikal tetapi tidak mampu membayar RM27 sebulan. Sebagai kompromi tuan punya kedai minta saya bekerja membersihkan minyak dan mengelap motorsikal jualannya. Saya tak perlu bayar instalment bulanan sebaliknya  saya dapat duit kocek.

Pada satu hari seseorang datang ke kedai itu dan bertanya jikalau ada sesiapa yang mahu bekerja membersihkan sekitar  bangunan NSTP. Tentulah saya menawarkan diri. Dua kali seminggu saya ke sana, ada kalanya membersihkan tandas. Agaknya sudah ditakdirkan  34 tahun kemudian saya menjadi Pengerusi Media Prima Berhad, syarikat yang memiliki Kumpulan New Straits Times.

Beberapa minggu  sebelum ditahan di bawah ISA pada tahun 1976, saya menemui Pak Samad. Tentulah saya  terkejut dengan berita penangkapannya. Kesannya amat ketara bagi diri saya.

Penghormatan saya pada beliau semakin bertambah. Sebagai pelajar saya faham makna ketidakadilan dan penyalahgunaan kuasa. Lagipun saya masuk ke UM ditengah ledakan aktivisme pelajar yang luar biasa. Pelajar menjadi suara lantang mewakili rakyat pada ketika itu dengan slogan “Mahasiswa Menggugat” dan “Pelajar Bersama Rakyat”.

Sekiranya ada individu yang banyak mencorakkan saya, Pak Samad adalah salah seorang daripadanya. Saya terhutang budi padanya dalam banyak hal. Salah satu daripadanya oleh sebab beliau memberikan nyawa intelektual pada saya semula selepas saya tersingkir dari Utusan Melayu ekoran krisis Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim.

Selama beberapa tahun selepas 1998 saya tidak ada peluang menulis termasuk di akhbar dan majalah yang pernah saya pimpin. Saya menceburi dunia pertanian pada ketika itu, Stigma sebagai “orang Anwar” cukup luar biasa. Pada satu hari pada tahun 2001, saya bertembung dengan beliau. Beliau bertanya apa yang saya lakukan. Dan apakah saya masih menulis. Saya kata siapa yang nak siarkan tulisan saya?

Keesokan harinya saya mendapat panggilan dari Rose Ismail di NST yang meminta saya menulis untuk akhbar itu. Tulisan saya yang pertama adalah ulasan buku Meniti Lautan Gelora  karya Said Zahari yang tersiar pada 16 Jun 2001. Said adalah pengarang sebelum saya, Zainuddin Maidin, Mazlan Nordin dan Melan Abdullah. Selepas itu saya diminta menulis dua minggu sekali di NST. Mulai 30 November 2001 saya menulis setiap minggu untuk akhbar itu, sehinggalah kolum saya diberhentikan pada 17 Oktober 2015, dua bulan setelah saya meninggalkan Media Prima Berhad. Oleh sebab  Pak Samad saya menjadi kolumnis NST selama lebih 13 tahun!

Saya juga terhutang budi pada Pak Samad kerana memberi ruang kepada saya untuk mementaskan drama berdasarkan sebuah cerpen beliau. Saya mula berkhidmar di DBP pada tahun 1977, sebahagian besarnya bersama majalah-majalah organisasi itu. Saya juga aktif berlakon, menulis skrip dan mengarah drama pentas ketika itu, malah sewaktu di UM dan denagn Anak Alam, saya aktif di pentas. Saya telah membuat adaptasi novel Anwar Rithwan, Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman dan Salina karya A Samad Said untuk pentas.

Pada bulan September 1988, Pak Samad menulis sebuah cerpen untuk majalah Dewan Sastera (DS) terbitan DBP. Pada masa itu saya Ketua Bahagian Majalah DBP. Editor DS adalah Wan Umar Ahmad atau Sutung Umar RS. Seingat saya, itulah cerpen beliau yang pertama tersiar di dalam majalah tersebut, 17 tahun setelah majalah itu terbit pada tahun 1971.

Saya tertarik dengan cerpen berjudul “Rumah Kedai Di Jalan Seladang.” Cerpen itu penuh peristiwa. Ia membawa kisah Leman seorang wartawan muda yang mengenal keluarga besar Mak Nah Bee (Mak Wan) yang terdiri daripada beberapa orang penari cabaret  seperti Tina, Nani dan Leha. Mak Nak Bee punya anak bernama Kalsom Bee. Di rumah itu juga tinggal Juki, anak Jawa yang membantu beliau berjual di pasar gelap. Seorang pegawai tentera Jepun bernama Takahashi sering ke situ. Tidak kurang menariknya adalah watak Datuk Maaruf, seorang pegawai kerajaan yang jatuh cinta pada salah seorang penari itu.

Pengakhiran cerpen itu cukup menyayat hati. Saya menganggapnya salah sebuah cerpen terbaik pernah ditulis dalam Bahasa Melayu.

Saya menyampaikan hasrat saya  membuat adaptasi drama itu untuk pentas. Bagi saya, cerpen itu autobiografikal sifatnya. Ini satu lagi peluang untuk saya mengenal Pak Samad lebih dekat. Pada bulan Mei tahun 1989, saya pergi sendiri ke Singapura untuk memahami latar belakang kisah di dalam cerpen. Sebenarnya tidak ada “Jalan Seladang” di Singapura. Yang ada sebenarnya Jalan Lembu. Yang menjadi lokasi cerpen itu adalah sekitar Lavender Road, Desker Road, Maude Road dan Syed Alwi Road. Jalan utamanya adalah Jalan Besar yang merupakan sarang  pelacur pada zaman cerpen itu.

Drama itu saya pentaskan pada 17, 18 dan 19 September tahun 1989. Pak Samad datang bersama keluarganya pada malam pertama. Selepas pementasan beliau tidak berkata apa-apa mengenai pementasan itu. Saya harus menunggu enam tahun kemudian untuk membaca komentar beliau dalam majalah Dewan Budaya, Mei 1989.

Saya bacakan petikan tulisan beliau:

“…Pada malam drama itu dipentaskan, saya mmbawa keluarga saya termasuk Allahyarhamah isteri saya. Mereka seronok sekali menonton drama itu. Saya berasa puas dengan pementasan itu, arwah isteri saya, pada malam pertama, sambil asyik menonton, mencuit saya. Dia berbisik kepada saya bertanya, benarkah bahawa saya dalam masa pendudukan Jepun itu tinggal bersama pelacur. Saya membisikkan padanya, Awak percaya cerita itu, awak percayakah Leman itu saya? Ini cerita rekaan sahaja.”

Tambah beliau lagi, “Tetapi arwah isteri saya tidak percaya. Begitulah berkesan sekali pementasan itu kepada dirinya.”

Beliau memberitahu saya kemudian, sekembalinya ke rumah beliau memberitahu  isterinya, “Johan pandai-pandai tambah kuah pada cerpen itu.”

Demikianlah Pak Samad, di antara realiti kehidupan dan  cereka yang ditulisnya kadangkala sukar dibezakan. Maka semakin sukarlah untuk mengupas lapisan bawang yang membina karaktor sebenarnya.

Dalam kumpulan cerpen Temaya Tinta yang pertama kali terbit pada tahun 1967, beliau juga membuat penafian tentang realiti dalam cerpen-cerpen yang bertemakan dunia kewartawanan. Beliau sekali lagi menyebutkan bahawa cerita-cerita itu adalah rekaan semata-mata. Malah dalam sebuah cerpen beliau berjudul  “Titi” ada  mengisahkan seorang wartawan yang mempunyai teman wanita bernama “Titien” di Jakarta.  Dalam bahagian  pengenalan antologi itu beliau mengingatkan pembaca bahawa dia tidak punya girlfriend  bernama Titien.

Kita sebenarnya masih jauh dari mengenali manusia yang kita raikan hari ini.

Bagi saya ini merupakan pencarian yang belum berakhir.

Pak Samad bukan  berbuat apa yang dilakukannya kerana nama atau pengiktirafan. Negara tidak menghargainya sebagai Sasterawan Negara walapun beliau salah seorang novelis dan penulis cerpen paling produktif pada zamannya. Beliau bagaimanapun dinobatkan oleh peers sebagai Tokoh Wartawan Negara.

Mengapakah masih banyak kelompangan pada sejarah hidupnya yang luar biasa itu? Dalam ruang “Pengiring Kata” untuk buku Memoir A Samad Ismail di Singapura, beliau menulis:

“Bagaimana pula saya harus menulis mengenai diri saya? Sekiranya saya agak  membesarkan peranan saya, sebagai wartawan atau sebagai pejuang politik, atau sebagai budayawan, maka barangkali ada pula yang menuduh saya takbur, anguh dan sombong. Kalau saya kurang menceritakan hal diri saya, maka saya tidak berlaku adil pada diri saya sendiri. Selain itu, ada pula hal-hal yang terlalu pahit mengenai perjuangan saya dan beberapa teman yang barangkali tidak dapat saya ceritakan.”

Itulah Pak Samad! 

Tetapi bagi kita semua ini adalah peluang paling Istimewa untuk kita benar-benar menghargai tokoh luar biasa ini. Pak Samad tidak ada yang lain. The one and only. Kita harus benar-benar menghargai sumbangannya dalam pelbagai bidang, pencapaian yang tidak terjangkau oleh banyak orang lain, termasuklah  hal-hal yang “terlalu pahit” yang beliau lalui.

Negara menanggung dosa kerana kesalahan memenjarakannya tanpa belas kasihan, meragut kebahagian diri dan keluarganya selama lima tahun. Maka adalah menjadi tugas kita untuk membalas jasa beliau, menghargai beliau, menghormati sumbangannya dan menempatkan beliau di tempat yang sebenarnya sebagai hero, ikon dan lagenda negara  yang sebenar.

Saya seorang pencari. Pencarian saya masih belum berakhir.

Namun saya hanya ada satu  cadangan, UiTM mewujudkan sebuah sekolah atau kursi kewartawanan, kecediakawanan dan kenegarawanan A. Samad Ismail.

Tetapi apapun  yang saudara dan saudari   putuskan pada penghujung symposium ini insya Allah  akan mengekalkan legasi beliau sebagai wartawan, cendekiawan dan negarawan.  

No comments:

Post a Comment