Pengenalan
Oleh Johan Jaaffar
Buku:
Simfoni Sepi – Himpunan Puisi Siber
Penerbit:
Balang Rimbun Sdn Bhd
Tahun:
2012
“…Demikian aku
mengutip
Bunga-bunga
butih tinggalan semalam
Di
saujana kaki langit tak bertepi
Matari menyimpang lalu
Bulan
sembunyi diri
Bintang-bintang
jua turut tak peduli...” –(Mengejar Kafilah)
Saya tidak “mengenal” Yassin Salleh yang sebenarnya walaupun
saya sudah mengenalinya puluhan tahun. Malah saya percaya, manusia yang
dilahirkan Mat Yassin bin Salleh di Ponson, Manchis, dekat Bentong Pahang, 65
tahun yang lalu itupun tidak mengenal Yassin Salleh yang sebenarnya. Yassin Salleh
ialah komplikasi, enigma dan keunikan. Itu ciri mutlak seorang seniman. Atau
kesenimannya itu manifestasinya Yassin Salleh. Atau Yassin Salleh itulah seni,
lengkap dengan keanehan, keanekaregaman dan kegilaan.
Yassin Salleh seniman total yang hidup dan
bernafaskan seni. Dia dalam kelasnya sendiri – tiada tandingan di negara ini.
Yassin Salleh melambangkan segala-galanya tentang seni dan kesenian dan seniman
dan kesenimanan. Seorang dramatis terkenal yang saya kagumi pernah menyebutkan
bahawa bagi orang seni, “the danger is
always in the neatness of identification.” Itulah Yassin Salleh yang bagi saya tidak mungkin dapat
diidentifikasikan dengan jelas. Itulah Yassin Salleh yang sebenar.
Malah untuk perbincangan ini saya tidak akan
menggunakan nama “Yassin” kerana “Yassin” tidak boleh berdiri sendiri tanpa
“Salleh”, maka untuk tujuan perbahasan saya akan hanya menggunakan “Yassin
Salleh.”
Entah bila sebenarnya saya mengenal Yassin Salleh,
saya lupa. Seingat saya, saya menemui beliau di beberapa majlis sastera di
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) apabila saya masuk ke Universiti Malaya (UM)
pada tahun 1974. Beliau selalu saya temui bersama Usman Awang (Tongkat Warrant).
Malah bagi saya Usman ikon sastera Melayu. Malah apabila Usman “menemui” saya
sewaktu Malam Berbunga Sajak anjuran Kumpulan Kesenian Universiti Malaya
(KESUMA) pada tahun 1975, Yassin Salleh bersama Usman malam itu. Saya mementaskan
drama karya dan arahan saya “Kotaku Oh Kotaku”. Yassin Salleh membaca puisinya
“Ikan-ikan Di Kaca”, puisi signaturenya.
Lalu seringlah saya menemui beliau di DBP selepas
itu, di majlis kenduri dan pesta sastera dan di sidang dan diskusi sastera.
Yassin Salleh tidak akan melepaskan peluang bercakap. Dengan rambut mirip P.
Ramlee dan suara serak-serak basah yang sesuai untuk drama radio, saya tidak
dapat mengelak dari mendekati Yassin Salleh. Apabila saya aktif dengan Kumpulan
Anak Alam, Yassin Salleh sudah berada di situ lebih dahulu tentunya daripada
saya. Beliau juga mendampingi pelukis dan penyair Anak Alam.
Apabila saya masuk bekerja di DBP pada tahun 1977,
Yassin Salleh menjadi sebahagian daripada backdrop sastera DBP. Malah Yassin
Salleh ialah propnya. Ketika itu DBP ada Usman Awang, Keris Mas, Baha Zain,
Abdullah Hussein, Kemala, Sutung Umar RS, Anwar Rithwan, Rubaidin Siwar, Dinsman, Syed Jaafar Husin,
Shamsuddin Jaafar, dan ramai lagi. Saya tercempak di tengah nama-nama besar itu
sebagai pegawai baharu. Dan Yassin Salleh juga akan berada di tengah nama-nama
besar itu. Mereka semua kawannya. Mulanya beliau berkunjung ke DBP setiap
hujung minggu, selepas itu beliau meninggalkan jawatan perguruan dan selalu
berada di DBP.
Pada masa itu DBP membuka pintu seluas-luasnya untuk
sasterawan, seniman dan aktivis sastera dan budaya. Tidak ada pengawal, tidak
ada kad keselamatan, tidak ada peraturan keluar masuk. Yassin Salleh juga
seperti “orang DBP” keluar masuk bebas dan tanpa halangan.
Saya menjadi rapat dengan Yassin Salleh. Mustahil
kita tidak rapat dengan Yassin Salleh. Yassin Salleh memikat kita dengan
puisinya. Dengan keramahannya. Dengan keunikannya. Lebih-lebih lagi, Yassin
Salleh menjadikan kita menghargai kegilaan dan keunikannya. Membuat kita menghazam
kesenimanan dan menelan keluarbiasaannya. Saya seronok bersama Yassin Salleh
kerana dia abang yang baik dan kawan yang lurus.
Yassin Salleh sebenarnya halimunan. Dia muncul dan
tenggelam dengan selesa. Begitulah Yassin Salleh muncul dalam hidup saya –
tenggelam dan timbul mengikut seleranya. Mengikut sesedap rasanya. Dia yang
menentukan agenda muncul atau hilangnya, bukan saya. Dia akan muncul di rumah
dengan begnya. “Aku perlu tempat tidur.” Dia akan tidur di rumah saya. Dia akan
hilang berbulan-bulan, malah ada kalanya bertahun-tahun. Dia muncul semula,
“Jo, bagi aku duit.” Dan dia hilang lagi.
Si Yassin Salleh halimunan yang mulia. Selalunya sewaktu
saya “senang” dia hilang. Dia muncul sewaktu saya susah. Selama enam tahun saya
menjadi Ketua Pengarang Utusan Melayu (1992 – 1998) dengan kuasa yang besar dan
kedudukan yang ditakuti, dia hilang. Apabila saya terbuang, beliau menelefon
isteri saya, “Sarah, cakap kat Jo, kawan lama bersamanya.” Saya tidak ada cara
untuk menghubunginya. Saya bertanya kawan-kawan di mana dia, tiada siapa yang
tahu.
Pada suatu hari dia muncul lagi. Itu terjadi pada
tahun 2002, dalam mesyuarat Agung Persatuan Penulis Nasional (PENA). Selama di
dunia limbo, hanya karyawan dan sasterawan yang menguliti saya. Mereka kawan
sebenar. Mereka kawan susah senang. Mereka tidak meletakkan hukum. Mereka
melihat saya sebagai saya. Saya sebahagian dari keluarga besar seniman. Saya
diterima bila-bila masa, tanpa soal, tanpa keraguan.
PENA menerima saya apabila kawan-kawan saya masa
senang hilang. Saya merangkak-rangkak untuk kembali ke arus perdana. Saya
terhutang budi pada PENA kerana memberikan luang dan legitimasi pada saya.
Malah kawan lama saya, Datuk Ahmad Sebi Bakar menyokong saya jadi Setiausaha
Agung PENA. Bukan itu sahaja, Ahmad Sebi membantu saya dalam banyak hal lain
sewaktu zaman sukar saya.
Yassin Salleh muncul lagi dalam hidup saya mulai
hari itu. Selama banyak tahun saya “di luar lingkaran”. Yassin Salleh bersama-sama saya, menemani saya, meladeni
saya, memujuk saya, menenangkan saya. Dia mengikut saya ke mana-mana,
menjalankan kursus motivasi untuk ibu bapa, tidur di ladang pisang saya,
bermalan di rumah bukit saya di Pagoh atau
sekadar berjalan dari satu bandar ke bandar yang lain. Banyak dari usaha niaga
saya tidak berjaya pada masa itu. Banyak perundingan dengan pelbagai pihak
tidak menjadi. Stigma ke atas saya luar biasa hebatnya. Orang tidak berani
berniaga dengan saya atau berurusan dengan saya.
Dia tahu projek sesetengah projek yang saya usahakan
itu akan gagal atau perundingan itu tidak membuahkan apa-apa. Tapi dia tidak
pernah menegur. Malah dia akan berkata, “there’s
always another day, Jo.”
Jo ialah nama saya sewaktu beliau mahu menjadi
formal. Selalunya dia memanggil saya “Wak”. Dia gunakan Wak dalam SMS, dalam emel
dan di tengah kawan-kawan. Saya tidak tahu mengapa saya menjadi “Wak” padanya,
tapi saya tahu Wak itu panggilan mesra beliau untuk saya. Wak juga merupakan
kod di antara kami. “Wak encem” ditulis kalau dia memerlukan wang, “Wak comot”
kalau dia tidak memerlukan wang.
Itulah Yassin Salleh yang tidak diketahui orang. Beliau
menjadi menjadi “pendua” saya dalam keadaan yang genting. Beliau menjadi stand-in apabila saya berdepan dengan
situasi genting. Pada masa itu kehidupan saya sukar, bukan kerana soal kewangan
tetapi kerana pintu rezeki tersekat oleh prasangka dan kesalahan saya rapat
dengan seseorang yang juga terbuang.
Saya merahsiakan banyak tekanan itu dari isteri dan
anak-anak saya. Saya tidak mahu membabitkan mereka. Apa lagi menyusahkan
mereka. Jadi apabila saya muncul dalam majalah Off The Edge, menceritakan tentang apa yang berlaku pada
tahun-tahun gelap itu, anak-anak saya terperanjat. Mereka tidak mengetahui
betapa penanggungan saya selepas saya meninggalkan Utusan Melayu. “1998 – A Newspaper Editor’s Story”
muncul dalam majalah itu keluaran September 2006.
Yassin Salleh lebih tahu penanggungan saya daripada
anak-anak saya sendiri. Dia seperti juga pemandu saya, Adanan Ghani yang sudah 20 tahun
bersama-sama saya, melayan karenah saya dan susah senang bersama-sama saya. Yassin
Salleh seperti Adanan juga, memilih untuk turut memikul penanggungan saya.
Yassin lebih istimewa lagi, dia halimunan yang baik yang terjelma sebagai
sahabat yang setia semasa susah.
Dia tidak muncul sewaktu enam tahun saya di Utusan
Melayu. Sebab katanya, saya tidak perlukan bantuannya. Dia muncul apabila saya
susah dan semasa “kawan-kawan” lain meninggalkan saya. Dia tahu bagaimana
kerasnya saya bekerja pada masa itu. Saya tidak ada pilihan melainkan
berdikari. Saya buat apa sahaja untuk menghantar anak-anak saya ke sekolah
terbaik dan belajar di luar negara. Saya bertanam pisang, terlibat dalam penanaman
sayur dan menjadi konsultan sebuah firma
perhubungan awam (PR).
Yassin Salleh bersama saya sepanjang zaman susah itu
– selama 11 tahun – walaupun ada masanya dia hilang macam halimuman. Dia tahu
saya juga menghargainya. Pada suatu hari, di sebuah hotel murah, saya dan
pemandu saya, Adanan, membeli kek murah dan dua batang lilin. Kami tutup lampu
dan memasang lilin hari jadi. Yassin Salleh sebak. Ingatan kami lebih penting.
Saya tahu Yassin Salleh menghargai ingatan saya lebih dari segala-galanya. Dia
akan ingat peristiwa itu.
Dalam saat-saat paling getir, Yassin Salleh bagai
cahaya. Dia teman sejati.
“..Mumujuk
belas hati nan hiba
Akankah
awan merenjis gerimis
Meniti
pelangi ke hujung mimpi
Di
kaki matari yang rebah pagi…(Simfoni
Nestapa Ini).
Sewaktu kami menjalankan kontrak motivasi untuk ibu
bapa, Yassin Salleh menjadi tulang belakang syarikat saya. Sewaktu saya menumpukan
perhatian pada isteri saya yang sedang sakit, Yassin Salleh akan mengambil
tempat saya mengendalikan modul saya. Beliau menggunakan lelucon untuk memikat
ibu bapa. Ada kalanya presentation
beliau lebih baik daripada saya. Yassin Salleh merupakan “showman” tulen dan natural.
Begitulah Yassin Salleh dan saya - dulu, kini dan
mungkin selamanya. Banyak orang hairan dengan hubungan kami kerana tidak banyak
orang yang boleh menerima cara Yassin Salleh. Bagi saya, Yassin Salleh ialah
cara, bukan sekadar orang. Yassin Salleh itu institusi. Yassin Salleh itu seni.
Yassin Salleh senama dengan kesenimanan.
Saya tidak hairan Yassin Salleh boleh membuat
perkara yang mustahil – seperti meninggalkan jawatan guru pada tahun 1973.
Yassin Salleh gelisah. Keguruan profesyen bagi orang yang stabil. Tapi Yassin
Salleh tidak stabil. Yassin Salleh mencari. Yassin Salleh gelisah. Maka itu dia
tidak mudah conform dengan peraturan
dan hukum hakam. Dia dilahirkan rebellious.
Dia contrarian. Dia berbeza.
Yassin Salleh itu sebenarnya perbezaan.
Jadi saya tidak hairan dia menceburi dunia filem.
Yassin Salleh buat filem? Apa dia tahu tentang filem? Orang lain akan bertanya.
Saya tahu, Yassin Salleh boleh buat apa saja. Saya orang yang percaya kalau
Yassin Salleh nak buat filem dia boleh buat filem. Dia buat Potret Maria. Tetapi Yassin Salleh mahu
kawalan kreatif yang penuh. Dia control
freak dalam soal seni. Apabila banyak orang mengacau pembikinan Potret Maria, dia tinggalkan filem itu
sebelum menghabiskan tiga adegan.
Dari mana datangnya minat pada filem? Saya dan dia
memang gila filem. Kami bercakap tentang filem bila kami berjumpa. Pengarah
yang dia suka, saya suka, pelakon yang dia suka, saya suka. Malah ada adegan
yang dia suka, saya juga suka. Selepas meletakkan jawatan guru Yassin Salleh
berkeliaran di Kuala Lumpur. Dia menjadi penyunting majalah Rita. Dari situ dia mengenal Zainuddin
Zimbo, salah seorang pengasas dan Presiden SENIMAN. Dan Yassin mula mengenal
orang surat khabar seperti Osman Abadi yang pada masa itu di Utusan Melayu.
Osman menulis skrip, minta Yassin Salleh mengarahkannya.
Ramai yang percaya itu cadangan gila. Tapi Osman cari duit dan buat filem itu. Potret Maria dilakonkan oleh seniwati
Sarimah. Walaupun filem itu tidak disiapkan oleh Yassin Salleh tetapi Sarimah
kagumi komitmen Yassin Salleh. Sarimah yakinkan suaminya ketika itu, Yusof
Majid bahawa Yassin Salleh boleh mengarah. Apabila Yusof membuat filem Dia Ibuku, Yassin Salleh diberi
kepercayaan mengarah.
Yassin Salleh buat sejarah besar dengan filem itu.
Sewaktu Festival Filem Malaysia 1981, dua filem yang bertarung hebat ialah Potret Maria dan Dia Ibuku – kedua-duanya filem Yassin Salleh. Kedua-dua filem itu
mengumpulkan 17 pencalonan. Dia Ibuku
memenangi 10 anugerah termasuk filem terbaik dan pengarah terbaik. Rekod itu
belum dipecahkan oleh mana-mana filem di negara ini. Filem itu juga memberi
kemenangan pada Sarimah, jurukamera, penataan seni dan pelakon harapan.
Yassin Salleh, si penyair, yang mencuba untuk
menjadi pengarah filem, membuat kejayaan luar biasa dan mencipta rekod yang
belum pernah dipecahkan sehingga ini.
Yassin Salleh berhak kecewa dengan saya. Saya
menulis review dalam Dewan Budaya
(Oktober 1981) dengan tajuk “Dia Ibuku: Melodrama yang Hambar.” Saya faham
dilemma Yassin Salleh. Sebab itu saya menulis,
“Yassin
Salleh adalah seorang seniman. Seniman tidak pernah kompromi dalam soal yang
melibatkan estetika. Benar beliau tidak mampu menentukan setiap yang terbaik
untuk diwujudkan dalam filem arahannya sendiri, apa lagi kerana dia bekerja dehgan
orang lain.”
Yassin Salleh tidak memarahi saya, malah tidak
membangkitkan hal itu bila bertemu dengan saya. Hanya 29 tahun selepas rencana
itu dia ada menyebut sepintas apa yang saya tulis tentang filemnya. Ada yang
mengatakan tidak logik saya memberikan pujian yang lebih tinggi pada Sumpah Semarah Padi arahan M. Amin (Dewan Budaya, April 1981) berbanding
dengan filemnya.
Itu tidak penting, yang penting Yassin Salleh telah
mencipta nama dalam dunia filem, sebagai pengarah terhebat dalam sejarah filem
negara. Tapi Yassin Salleh tidak menikmati kemasyuran itu atau meraih banyak
keuntungan dari kejayaannya. Yassin Salleh membuat beberapa filem lagi,
antaranya Ali Setan 2 pada tahun 1986
dan Hanny pada tahun 1993. Mungkin
Yassin Salleh macam Orson Welles, buat filem pertama yang baik, lepas itu tidak
ada filem yang sebaik filem pertama. Orson Welles buat Citizen Cane yang dikagumi, lepas itu semua filemnya tidak
dipedulikan sangat. Yassin Salleh senasib dengan Orson Welles.
Selepas itu dia membuat telemovie atau siri TV – PJ, Seri Nadia, Pembalut Luka, Titisan
Embun, Kamariah, Gunung Payung, Tak Sakit Lagi, Siti Zubaidah, Meniti Pelangi dan
Nur Alia.
Tapi Yassin Salleh kerana beliau Yassin Salleh tidak
mudah bekerja dengan orang lain – dengan penerbit yang mahu perempuan
simpanannya berlakon, dengan petugas yang sambil lewa, dengan crew yang curi
tulang. Yassin Salleh berdepan dengan banyak masalah apabila terbabit dalam
pembikinan filem atau telemovie atau membuat siri TV. Ada kalanya dia
meninggalkan produksi di tengah jalan. Ada kalanya dia ditinggalkan. Ada
kalanya Yassin Salleh meletakkan nama baik dan harga dirinya bagi menagih
bantuan kewangan penerbitan drama yang dia sepatutnya menjadi pengarah sahaja. Pengarah
mengarah bukan mencari wang. Apabila penerbit dapat wang dan produksi siap,
penerbit bilang apabila sampai waktu membayar. Yassin Salleh menanggung hutang.
Pelakon dan pekerja marahkan Yassin Salleh.
Yassin Salleh ada kalanya macam lilin kerana Yassin
Salleh itu senama dengan lilin. Menerangkan orang lain dan membakar diri.
Yassin Salleh menjadikan masalah orang lain masalahnya. Tetapi masalahnya,
tetap masalahnya. Itulah Yassin Salleh.
Satu lagi sifat Yassin Salleh, dia melindungi
kelurganya dengan cara yang luar biasa. Sesiapa yang mahu Yassin Salleh bekerja
untuk mereka harus menerima pakej keluarga Yassin Salleh sekali. Jikalau ambil Yassin
Salleh, seisi keluarga akan dibawanya bersama. Jikalau Yassin Salleh tinggal di
hotel, keluarganya tinggal di hotel.
“…Yang meminta
Buanglah
tempurungmu
Yang
merajuk
Minumlah
racunmu
Yang
minta bermanja
Bentanglah
bara Sahara
Ke
saujananya…(Perjalanan
Kian Memanjang)
Dan Yassin Salleh juga melindungi isterinya. Istilah lebih tepat, terlalu
melindungi isterinya. Saya belum pernah menemui seorang lelaki yang demikian
melindungi isterinya. Yassin Salleh mungkin nakal, liar, tetapi beliau
melindungi isterinya dengan cara yang luar biasa.
Selama 29 tahun isterinya sakit – meroyan – menjadikan
beliau lebih merupakan zombi kerana ubat-ubatan yang diambilnya. Selama itu dia
memelihara isterinya - Mummy – membawanya ke hospital, meladeninya, menjaganya.
Dia membesarkan anak-anaknya apabila isterinya hanya boleh diajak berbual
apabila sihat atau makan bersama apabila terlarat.
Tetapi Yassin Salleh tetap menjaga dan melindungi
Mummy.
Pada suatu malam saya melihat miss-call dari Yassin Salleh pada jam 11,00 malam. Yassin Salleh
tidak pernah menalefon jikalau bukan urusan penting. Saya boleh mengagak kerana
Mummy sudah lebih sebulan di hospital. Saya menelefonnya kembali, “Jo, Mummy has gone.” Dia menangis di
hujung telefon. Saya tahu dia tidak menelefon sesiapapun melainkan saya dalam
urusan sedemikian.
Saya bergegas ke hospital. Dia dan tiga orang
anaknya duduk di tepi katil Allahyarhamah. “Jo, aku tak tau apa nak buat.” Saya
kata, saya akan uruskan segala-galanya. Saya minta bantuan kawan-kawan untuk
menguruskan jenazah dan memastikan jenazah dibawa pulang ke Chenor tempat asal
Mummy.
Jam 3.00 pagi, van jenazah membawa Mummy yang siap
dikapankan bergerak dari Hospital Serdang. Saya ada satu lagi kematian malam
itu. Esoknya saya melawat kawan anak saya yang meninggal dan bergegas ke
Chenor. Mummy sudah selamat dikebumikan.
Yassin Salleh kehilangan apabila Mummy pergi. Hilang
yang hilang. Macam kehilangan yang sebenarnya kehilangan. Saya tidak tahu apa
yang bermain dalam fikirannya. Tetapi saya tahu, Yassin Salleh tidak dapat
menerima kehilangan Mummy sekalipun dia liar dan nakal. Dia bercinta 37 tahun
dengan Mummy. Dan sudah kahwin selama 30 tahun. Dia tidak boleh melupakan
Mummy. Mummy ialah sebahagian daripada Yassin Salleh. Malah Yassin Salleh turut
dibentuk oleh Mummy. Mummy ialah sebahagian conscience,
psyche dan consciousness Yassin
Salleh.
Yassin Salleh kembali ke kubur Mummy, membacakan
puisi, melafazkan kasih, menyampaikan rindu. Hari yang seratus, atau mungkin ke
seribu, Yassin Salleh akan berada di situ selagi Yassin Salleh hidup. Dia
bernafaskan Mummy. Sekalipun dia liar dan nakal.
Yassin Salleh memang dilahirkan sukar. Dan memang
disuratkan untuk berpayah dalam hidup, bersukar dalam perjalanan dan bercekal
dalam menghadapi dugaan.
Dia anak orang susah yang membesar di Manchis.
Tetapi neneknya mahu Yassin Salleh “menjadi orang”. Mahu mengubah Yassin Salleh
agar melihat dunia secara terang dan lapang, bukan dari perspektif Manchis. Wan
membawanya ke Temerloh. Wan mencari tempat tinggal di entah mana serokan bandar
lalu menjadi bidan kampung dan tukang urut untuk menyekolahkan Yassin Salleh.
Itu pengorbanan Wan yang Yassin Salleh tak mungkin lupakan. Wan menjadi
sebahagian daripada naratif kehidupannya. Wan mencorakkan nilai hidupnya. Juga
makna kewujudannya.
Yassin Salleh dicorakkan oleh dua manusia – Wan dan
Mummy. Maka itu dunia wanita amat kuat dalam karya-karyanya. Potret Maria dan Dia Ibuku hanya cerminan dari pengaruh wanita dalam kehidupannya.
Di dalamnya kita melihat Wan dan Mummy. Dan Yassin Salleh di tengah-tengah
kemelut wanita tegas, gagah, berwibawa dan kental semangat.
Yassin Salleh juga mengidap penyakit –
bertahun-tahun lamanya. Hanya teman-teman rapat yang mengetahui deritanya. Tapi
Yassin Salleh menjadikan bebanan itu gurauan, humour dan jenaka. Sesiapapun
boleh mentertawakannya kerana bagi Yassin Salleh dengan mentertawakan
penyakitnya, dia berasa senang dan bahagia. Orang tidak tahu bahawa Yassin
Salleh macam burung hantu – tidur siang dan berjaga malam. Bukan kerana dia
mahu begitu. Dia menderita kesakitan di waktu malam. Dia tidak tidur seperti
orang lain. Dia mula tidur apabila orang bangun pagi. Itulah dunia Yassin
Salleh. Bertahun-tahun. Tanpa banyak diketahui orang.
Oleh sebab itu Yassin Salleh menjadi Bapa Puisi
Siber Malaysia. Dia bagaikan Papa Rock, cuma dia Papa Puisi Siber. Teknologi
SMS membawakan satu rahmat kepada orang-orang sepertinya. SMS mengubah cara
manusia berkomunikasi. SMS meringkaskan, memendek, mempercepat. Manusia
tiba-tiba menjadi haiwan komunikasi yang aktif, jauh lebih aktif dari
sebelumnya. Satu waktu dulu, manusia berutus surat. Selepas itu berhubungan
menggunakan talian tetap. Kemudiannya menggunakan mesin faks. Apabila Internet
menjadi sungai besar mengalirkan ilmu, maklumat dan sampah sarap, manusia
menjadi gila kerana emel. Apabila telefon bimbit menjadi fenomena, manusia
bercakap melaluinya di mana sahaja – di kedai kopi, di jalan, sambil memandu,
di tandas.
SMS mengubah bukan sahaja cara berkomunikasi tetapi
tingkah laku manusia juga. Manusia
menjadi penagih SMS. Macam dadah, SMS menjadi sebahagian dari penagihan manusia
zaman moden.
Yassin Salleh di antara penyair awal yang embace teknologi baru ini. Dia menggunakan
emel sebagai wahana berkarya. Dia sukar mendapat tempat di Dewan Sastera, Berita Minggu atau Mingguan Malaysia untuk menyampaikan sajak-sajaknya. Dia mewujudkan
ruang sendiri di dunia siber. Dia menulis puisi melalui Internet –
menghantarnya melalui emel. Ruang itu tanpa batas. Tiada siapa yang
memilikinya. Itu alam bebas lepas, tanpa undang-undang dan peraturan, ruang
koboi yang terbuka luas. Itu ruang baru sastera yang tidak bertepi
Yassin Salleh menghantar ratusan sajak melalui emel.
Dan dengan apliksai baru seperti Facebook, beliau mengambil kesempatan dalam
ruang social networking itu untuk
berkarya, bebas dan tanpa sekatan. Tanpa editor. Tanpa perlu menunggu lama
untuk melihat karyanya disiarkan. Yassin Salleh berkomunikasi terus dengan
pembacanya. Dia menggunakan Facebook untuk berkarya, mencari teman dan menggoda
kekasih.
Selepas itu dia memanfaatkan SMS. Dia menggunakan SMS
pula untuk berpuisi kepada dunia. Tentang dirinya. Tentang alamnya. Tentang
kehidupannya. Tentang Mummy. Tentang anak-anaknya. Dia menghantar entah ribuan
puisi SMS. Dan selalunya saya menerima puisi SMS jam 3.00 pagi kerana Yassin
Salleh burung hantu yang berkarya sewaktu manusia lain tidur.
SMS memberikan rupa baru pada puisi. Ringkas, padat,
cepat. Brevity ialah kuncinya. Sajak
pendek bukan baru. Sitor Situmorang mencipta sejarah sebagai penulis puisi
paling pendek dalam sejarah manusia. Judulnya “Malam Lebaran.” Puisinya, “Bulan
di atas kuburan.” Meminjam istilah orang Indenesia, dunia sastera geger oleh
sajak itu. Entah sekian banyak kajian, tesis, perbincangan, perdebatan,
tulisan, analisis tentang puisi itu.
Yassin Salleh mengambil semangat Sitor Situmorang
untuk berkarya. Sajak SMSnya ringkas, padat dan tepat. Dia menghabiskan pre-paid untuk itu. Dia menghantar puisi
SMS pada siapa sahaja. Bukan satu, banyak – kepada teman, kekasih, siapa
sahaja.
Yassin Salleh seorang pemikat. Dia menggunakan
puisinya untuk menawan, memikat, memujuk, menggoda, mencumbu. Yassin Salleh
penggoda siber yang hebat. Facebooknya penuh dengan pengagum, peminat dan
pencintanya. Dia menulis puisi untuk kekasih. Setiap orang kekasihnya. Setiap
kekasih diulit Yassin Salleh dengan cara yang berbeza. Itulah keistimewaan
seniman penggoda.
Saya mendapat ribuan sajak Salleh melalui emel dan
SMS. Malah apabila saya menulis tentang beliau dalam kolum saya di New Straits Times (“No Room for the
Grand Old Man of Cinema?”, 6 Mac 2010), saya memulakan dengan menyebutkan
tentang puisi sibernya. Rencana itu merupakan tribute atau penghormatan saya pada beliau – sebagai penyair,
penulis, pembikin filem dan lebih penting lagi, sebagai kawan. Saya fikir
Yassin Salleh tidak pernah dinilai secara adil dan saksama. Bukanlah maknanya
Yassin Salleh mahu pengiktirafan dari sarjana dan pengkaji, Yassin Salleh tidak
perlukan semua itu, tetapi dunia keilmuan dan kesarjanaan sepatuntya berlaku
adil pada Yassin Salleh.
Dalam rencana itu saya menyebutkan bagaimana
nampaknya dunia filem semasa tidak punya tempat untuk Yassin Salleh, si Grand
Old Man of Cinema. Tulis saya,
“…Yassin will
go indie if he has to….He has gone indie with his cyber-poems, why not films?”
Saya cadangkan pada beliau, bukukan. Pilih 300 yang
terbaik – atau yang paling dekat dengannya – dan cari penerbit. Maka lahirlah
buku ini, Simfoni Sepi. Asalnya Nyanyi Sunyi Simfoni Sepi. Tapi Nyanyi Sunyi itu judul puisi sasterawan
Indonesia tersohor, Amir Hamzah. Saya cadangkan lupakan saja Nyanyi Sunyi. Gunakan Simfoni Sepi. Lagi pula banyak
sajak-sajak ini ditulis selepas pemergian Mummy. Banyak tentang kerinduan Yassin
Salleh terhadap Mummy.
Saya bukan sarjana sastera. Saya tidak menulis
kajian mengenai Yassin Salleh. Saya tidak berniat untuk meletakkan di mana
Yassin Salleh dalam kerangka dunia kepenyakiran negara. Itu bukan tugas saya.
Saya juga tidak berniat untuk menilai karya-karya Yassin Salleh. Saya juga
tidak berhasrat untuk meletakkan di mana Yassin Salleh dalam kerangka
kepenyairan negara. Atau di manakah dia berbanding dengan kontemporarinya. Itu
tugas pengkritik.
Saya pencinta sastera. Saya penggila karya sastera.
Tentulah saya mempunyai pandangan terhadap sastera tetapi saya selalu
menganggap yang penting karya, bukan pandangan, kritikan atau ulasan
terhadapnya.
Maka itu saya menulis catatan ini sebagai tanggapan
saya terhadap dunia Yassin Salleh dan kepenyairan Yassin Salleh. Yassin Salleh
yang saya kenal. Yassin Salleh Si Halimunan mulia. Yassin Salleh yang unik.
Yassin Salleh yang saya hargai sebagai kawan – terutamanya sewaktu susah.
Saya percaya puisi-puisi siber Yassin Salleh ini ada
tempatnya di persada sastera tanahair yang selalunya meminggirkan sasterawan
seperti Yassin Salleh. Tatapilah puisi-puisi ini dengan keterbukaan, dengan
hati jujur dan dada lapang. Mungkin dalam mencari Yassin Salleh sebenar,
puisi-puisi ini akan sedikit sebanyak membantu.
Mungkin akan terungkai siapa Yassin Salleh yang
sebenar – keluarbiasaan, keunikan, kegilaan – enigma seorang seniman yang
benar-benar mengabdi dirinya pada kesenimanannya.
Mudah-mudahan akan terserlah satu lapisan lagi
rahsia seorang manusia bernama Yassin Salleh.
“… Di desir angin senja
Berlabuhlah
tirai sempadan malam
Lalu
di pentas malam teater mimpi
Bermulalah
pementasan tanpa cahaya
Bermula
tanpa akhir
Berakhir
tanpa mula
Pelangi
tak berpangkal, hujungnya tiada nyanyi
Dan
nestapapun melamar buluh perindu
Yang
kehilangan lagu…” (Di
Hujung Pentas Tanpa Cahaya).
Demikianlah cebisan dari puisi siber Yassin Salleh, yang memancarkan alamnya, alam
penuh rahsia, penuh tragedi, penuh penuh peristiwa.
Mungkin itulah Yassin Salleh yang sebenar – Yassin Salleh
si manusia, si seniman dan si penyair.
· Yassin
Salleh mendapat serangan strok baru-baru ini. Sesiapa yang ingin mendapatkan
Simfoni Sepi sila hubungi anak beliau, Yasleh Rita Ayu melalui emel audriana76@yahoo.com atau telefon bimbit
0162732092.
No comments:
Post a Comment