PRAKATA
Menjejak
Kebijaksanaan Sepanjang Zaman
Oleh
JOHAN JAAFFAR
Buku:
Pantun dan Kebijaksanaan Akal Budi Melayu
Penulis:
Prof Diraja Ungku Aziz
Penerbit:
Dewan Bahasa dan Pustaka
Tahun:
2011
(Buku
ini asalnya kertas Syarahan Raja Ali
Haji ke-17 pada 4 Disember 2009 di DBP)
DI
TANGAN Profesor Diraja Ungku Aziz, puisi rakyat
paling popular di kalangan orang Melayu, pantun, akan “dibaca” dalam kerangka
ilmu yang berbeza. Ungku Aziz menggunakan pemerhatian, pemahaman, pengalaman
dan pembabitannya dalam dunia ilmu pelbagai disiplin – dari ekonomi hingga
psikologi orang Melayu – untuk memahami khazanah perbendaharaan seni sastera
Melayu yang unik ini.
Saya mengalu-alukan usaha yang datangnya
dari seorang pendidik, pemikir dan ilmuan Melayu yang luar biasa ini. Bukan
selalu seorang ahli ekonomi memberikan perhatian pada satu cabang tradisi lisan
Melayu. Tetapi Ungku Aziz bukan sembarangan ilmuan. Beliau adalah di antara
pemikir ekonomi yang percaya bahawa keupayaan dan pencaiapan ekonomi sesuatu bangsa
ada kaitannya dengan nilai, pandang dunia (world-view)
dan psyche bangsa itu. Kajian beliau
yang mendalam dan menjadi titik rujukan mengenai kemiskinan mendedahkan beliau
pada kekangan budaya, kelemahan cara hidup, amalan pemakanan dan kelemahan pelaksanaan
dasar pemerintah bagi menangani isu tersebut.
Ungku Aziz sewajarnya memperoleh sekian
banyak pengiktirafan dalam dan luar negara kerana sumbangan beliau. Bagi
melengkapkan penghargaan pada jasa-jasa beliau sebagai pemikir ulung negara,
paling akhir beliau dinobatkan sebagai penerima pertama Merdeka Awards
dalam bidang pendidikan dan perkhidmatan
komuniti.
Ungku Aziz juga banyak meneliti ilmuan
Melayu sebelum beliau yang menganjurkan pemikiran baru bagi mengubah masyarakat
mereka. Salah sebuah buku yang besar sekali kesannya dalam memahamkan kelemahan
masyarakat Melayu serta bebanan kemiskinan yang melanda mereka ialah Jejak-jejak Di Pantai Zaman yang terbit
pada tahun 1975.
Buku ini menghuraikan pemikiran
Pendeta Za’ba khususnya
mengenai orang Melayu.
Banyak pandangan Za’ba yang diakui kebenarannya oleh
Ungku Aziz.
Kajian Ungku Aziz mengenai pantun Melayu
tidaklah menghairankan. Ia sesuai dengan minat beliau melihat minda Melayu
secara tuntas atau komprehensif. Pantun tidak wujud dalam kekosongan atau vacuum.
Pantun ialah manifestasi terbaik seni sastera orang Melayu. Demikian exotic sifat pantun hingga khabarnya ia
mempengaruhi banyak pengkaji oriental pada
zaman penjajah dan selepas penjajahan. Malah pengaruh pantun tersebar hingga
dikatakan mengesankan sasterawan tersohor Peranchis, Victor Hugo dan mereka
yang seangkatan dengannya.
Pantun sebagai sifatnya pantun,
mempunyai ciri-ciri yang unik yang membezakannya dengan tradisi puisi lisan
yang lain. Kedudukannya cukup istimewa hingga ia menjadi senama dengan budaya
dan pengucapan seni orang Melayu. Di tengah perubahan luar biasa yang melanda
masyarakat Melayu hari ini, pantun adalah di antara pengucapan sastera yang
masih bertahan – disampaikan dalam pelbagai majlis rasmi dan tidak rasmi. Hang
Tuah mungkin akan hilang di dunia tetapi pantun tidak akan hilang selagi orang
Melayu mempertahankan nilai ke-Melayuan mereka.
Minat yang besar terhadap pantun
memungkinkan banyaknya buku yang mengumpulkan karya lisan ini. Demikian juga
sudah sekian banyak usaha untuk “menelaah” pantun Melayu bukan sahaja oleh pengkaji
orientalis tetapi juga sarjana dan ilmuan tempatan. Sudah tentulah
sebahagiannya menumpukan pada sifat dan keistimewaan pantun dari segi bahasa
dan perbendaharaan kata, struktur dan komposisinya serta kehebatan nilai tersurat
dan tersirat yang terlihat dari pembayang dan maksudnya. Terdapat juga usaha
sungguh-sungguh untuk melihat bagaimana pantun memncarkan pandang-dunia, nilai
dan minda Melayu itu sendiri.
Ternyatalah pantun cerminan masyarakat
Melayu yang sebenar. Ia bukan sahaja menggambarkan sikap dan pendirian orang
Melayu, menampilkan kehidupan dan cara hidup orang Melayu tetapi lebih penting ia
ada kaitannya dengan adab dan akal mereka. Minda Melayu ternyata jelas terlihat
dari gubahan dan pemilihan perbendaharaan kata yang tepat dalam pantun Melayu.
Lebih penting lagi pada pendapat saya
pantun memberikan legitimasi pada Bahasa Melayu itu sendiri dengan membuktikan
keupayaan bahasa itu mengungkapkan
konsep yang abstrak tetapi menggunakan kuasa kata dan gubahan yang teratur dan
terancang. Ia nampak mudah tetapi rapi dan kompleks. Pantun ialah seni sastera
dilihat ringkas tetapi mendalam maknanya. Tidaklah keterlaluan jikalau
dikatakan Shakespeare telah memperkaya khazanah keputakaan Bahasa Inggeris melalui
drama-dramanya tetapi karyawan tidak bernama yang menghasilkan pantun telah
memperkaya Bahasa Melayu menggunakan pantun.
Lebih unik lagi kerana pantun terhasil
dari masyarakat petani yang rata-rata tidak berpelajaran, miskin dan ditekan
oleh sistem feudal. Seni pantun berkembang dari desa terpencil dan sawah padi
serta pelabuhan sebelum ia mendapat perhatian istana. Tidak seperti tradisi
penulisan, seni teater dan ukiran yang mendapat naungan istana, pantun dan
tradisi lisan lainnya terhasil dari rakyat jelata.
Dalam masyarakat petani dan nelayan,
sistem nilai dan kepatuhan pada norma-norma dalam masyarakat amat diperlukan
bagi menjamin keharomonian dan kerukunan. Maka itu sastera lisan seperti cerita
binatang, cerita moral, lagenda dan mitos, selain seni pantun, syair,
peribahasa dan lain-lain menjadi sebahagian dari teras pembinaan masyarakat dan
alat untuk proses sosialisasi.
Kekayaan pantun jelas melalui contoh sebuah
pantun popular di kalangan orang Melayu;
Kalau
nak gugur gugurlah nangka,
Jangan
menimpa ranting pauh;
Kalau
nak tidur tidurlah mata,
Jangan
dikenang orang yang jauh.
Sekaligus pantun ini membayangkan
kesayuan, kerinduan dan makna kasih yang dilukiskan secara indah dan berseni.
Tetapi maknanya melampaui perasaan manusia yang melayan melankoli diri
sebaliknya menunjukkan bagaimana kata-kata indah yang digunakan bagi memberikan
kesan maksimum yang diharapkan.
Dalam koleksi ini Ungku Aziz memetik
pantun yang berkaitan dengan pedagang:
Perahu
payang layarnya merah,
Belayar
menuju arah utara;
Keris
dipegang bersintukkan darah,
Adat
pahlawan membela negara
Seperti yang telah disebutkan bahawa pantun
Melayu ada kaitannya dengan minda Melayu. Dan tentulah di tangan penelaah
pantun-pantun terpilih dalam koleksi ini – orang yang mempopularkan perkataan
“minda” itu sendiri, Ungku Aziz – kita dapat melihat dimensi kebijaksaan akal
budi Melayu di dalam pantun.
Malah judul koleksi ini ialah Pantun dan Kebijaksanaan Akal Budi Melayu yang
dengan sendiri menunjukkan ke arah mana kecenderungan Ungku Aziz “membaca”
pantun-pantun yang terkumpul ini. Ramai orang Melayu sendiri yang menganggap pantun tidak lebih luahan perasaan
dan nukilan masyarakat tradisional Melayu. Ada yang menganggap ia susunan
kata-kata yang kelihatan indah dan tidak lebih dari itu. Ungku Aziz membuktikan
sebaliknya. Malah bagi Ungku Aziz, pantun membuktikan “daya akal, kreativiti”
orang Melayu, malah ia merupakan “daya cipta yang canggih.” Ungku Aziz
menggunakan perkataan “genius” untuk membawa makna “daya cipta” itu.
Tradisi pantun yang menurut Ungku Aziz
berusia lebih 700 tahun di kalangan masyarakat Melayu Nusantara merupakan
penghasilan minda yang istimewa. Kreativiti yang memungkinkan terhasilnya
pantun datang dari pemerhatian dan pengalaman yang luar biasa. Maka itu apa
yang terhasil ialah karya sastera yang bukan sahaja mempunyai konvensi yang
khusus, yang dicorakkan oleh pola rima yang khusus tetapi seperti juga yang
disenaraikan oleh Ungku Aziz, seni pantun mempunyai keupayaan daya ubah atau flexibility, variasi dan ciptaan kata
dwimakna selain sifat-sifat unik yang lain.
Melalui pantun, kebijaksanaan Melayu
terserlah dengan cara sindiran yang halus dan unsur humour yang berkesan. Malah
pantun juga secara bijak memancarkan aspek erotika yang menarik.
Ungku Aziz mengakui beliau mulai secara
serius mengumpulkan pantun sejak 20 tahun yang lalu. Sehingga kini 16,000
pantun telah dikumpulkannya dari tujuh bahan utama. Apa yang terkumpul dalam
kajian ini ialah 78 buah pantun yang dipilih secara teliti yang memenuhi
beberapa ukuran beliau bagi membuktikan keunikan pantun tersebut. Tumpuan
beliau ialah menggambarkan dunia pegadang, gambaran musim dan angin serta
pantun kanak-kanak.
Ungku Aziz mengakui bahawa pendekatan
kajian beliau ini bolehlah dikatakan di luar kotak. Beliau cuba memberikan
perhatian pada aspek pembahagian pantun yakni deconstruction. Beliau cuba mengenal “skruktur atau jiwa pantun”
dengan memberikan contoh pada konsep teknikal dan jati diri di dalam pantun.
Saya mengagumi pantun Melayu seperti
juga Ungku Aziz. Saya mengaku saya dari jurusan pengajian sastera walaupun
pantun bukan bidang pengkhususan saya dan saya tidak menjurus dalam sastera
tradisional. Saya lebih suka menganggap diri saya sebagai pencinta pantun dan
penggunanya. Di dalam drama-drama pentas yang saya hasilkan, banyak unsur
pantun yang saya gunakan. Malah dalam drama pentas saya yang terbaru, Asiah Samiah, saya menggunakan sebuah
pantun yang popular di kalangan penghuni pulau-pulau di Singapura bagi
mendodoikan anak untuk tidur yang menjadi temanya.
Pantun yang didendangkan ini sekaligus
memberikan gambaran alam misteri dan suspens, juga kengerian dan keraguan:
Ligal-ligal
manja
Pelanduk
bantal ia-ia
Kaul
anak syurga
Pulas
balas bantal puaka
Saya tidak tahu sama ada kajian pernah
dibuat ke atas tradisi pantun yang tersisih dari arus perdana diaspora Melayu
Nusantara ini. Saya percaya oleh kerana pantun sebegini unik bagi penduduk di
pulau-pulau sekitar Singapura, maka ia agak berbeza dari ciri pantun yang kenal
di Semenanjung Tanah Melayu atau di Sumatra.
Sambungan pada pantun pulau ini
memberikan gambaran eerie atau menakutkan yang tidak selalunya kelihatan pada
pantun yang dianggap “arus perdana”:
Sayang
anak sayang
Nangis
masa senja
Sayang
bonda sayang
Peluk
bantai sia-sia.
Drama saya itu menurut seorang pengkaji
memancarkan ruang antara kegeliaan dan kesedaran (madness and lucidity) watak-wataknya yang diasak oleh kerakusan dan
keganasan, maka pantun-pantun yang saya pilih sesuai menjadi leitmotiv dan doppelganger pada subteks drama tersebut (Lihat Dr Solehah Ishak,
dalam antologi drama Bisikan Malaya).
Saya percaya pada semangat pantun dalam
masyarakat Melayu yang sehingga hari ini tidak dapat melepaskan kekangan mereka
dari akar seni sastera yang unik itu. Anak Melayu yang sekalipun terungkai langsung
dari budaya bangsanya (ada kalanya disengajakan, ada kalanya dek kesombongan
dan lupa daratan) masih menggunakan pantun popular dalam majlis perkahwinan
mereka.
Saya juga percaya pada pantun
mencorakkan psyche orang Melayu sama
ada mereka sedari atau tidak. Seperti juga kajian Ungku Aziz terhadap haiku
membuktikan akal budi dan minda bangsa Jepun, kajian beliau terhadap pantun
Melayu kali ini saya percaya akan membuktikan hal yang sama pada orang Melayu.
Benarlah kata penyusun Khazanah Pantun Melayu Riau, Tenas
Effendi bahawa orang tua-tua Melayu mengatakan “rendang kayu kerana daunnya,
terpandang Melayu kerana pantunnya.” Beliau mengungkap sebuah pantun adat yang
popular:
Kalau
berladang kurang tekun,
Lesaplah
padi ditelan belukar;
Kalau
hilang tukang pantun,
Senyap
sunyi bandar yang besar.
Ungku Aziz memilih pantun ini pula bagi
menggambarkan kelangsungan pantun Melayu:
Kapal
layar dipukul arus,
Terus
belayar ikut pedoman;
Pantun
Melayu hidup terus,
Tiada
kalah dilambung zaman.
Nah, itulah semangat pantun yang
sebenar, tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.
Saya mengalungkan penghargaan
setinggi-tingginya pada Ungku Aziz kerana melahirkan kajian kecil tetapi amat
besar maknanya ini. Saya berharap beliau
akan meneruskan usaha ini, mengkaji lebih banyak lagi khazanah pantun Melayu
dalam koleksi beliau untuk membuka cekrawala minda bangsa Melayu dan kaum-kaum
lain terhadap hasil kreatif luar biasa ini.
Kita memerlukan beliau untuk
menyemarakkan kajian mengenai khazanah kesusasteraan Melayu yang kaya. Orang
Melayu dengan mudah akan melupakan kekayaan ilmu dan tradisi fikir di kalangan
mereka. Mereka juga selalu berasa inferior
apabila mengukur diri mereka dengan orang lain. Lebih malang mereka akan
menyalahkan pantun Melayu, peribahasa dan perbilangan adat yang mereka anggap
bernada negatif malah defeatis sebagai punca kelemahan orang Melayu.
Tak kenal maka tak cinta, demikianlah
sebenarnya keadaan orang Melayu yang tidak menemui kehebatan tradisi pantun di
kalangan bangsa mereka.
Moga-moga buku ini membetik minat orang
ramai untuk menghayati pantun Melayu.
Tamat
No comments:
Post a Comment