Wednesday, March 18, 2015

Inilah Drama Saya…

Drama Pentas Johan Jaaffar
Terbitan Balang Rimbun Sdn Bhd/ITBM
Cetakan Pertama 2012
Cetakan Kedua 2015


Kisahnya Bermula Di Sini…

BUKU ini mengandungi tujuh buah drama pentas saya, hanya tujuh, dari entah sekian banyak skrip yang pernah saya hasilkan.

Saya mula menulis skrip drama sejak berusia 12 tahun atau mungkin lebih awal daripada itu. Saya menggilai drama radio yang disiarkan dari Singapura. Saya mengenal dunia drama dari siaran di udara. Saya mengagumi dunia make-belief yang datang dari corong radio.  Dengan itu mulalah saya menulis “skrip” yang saya harap akan disiarkan di radio. Kesemuanya saya tulis dalam buku latihan sekolah.

Seingat saya sewaktu dalam Darjah Enam, saya telah menghantar beberapa buah skrip drama ke Radio Singapura. Saya ditegur oleh kerani di pejabat pos kerana menggunakan alamat yang tidak lengkap, tetapi saya yakin, naskhah itu akan sampai juga. Kesemuanya telah “dibangkul sampahkan” kerana kualiti penulisannya, sebab tidak sebuah pun yang disiarkan.  

Saya mendapat peluang menulis skrip drama apabila kumpulan sandiwara kampung saya memerlukan penulis skrip. Saya dalam tingkatan tiga ketika itu di Sekolah Menengah Semerah, Batu Pahat. Sejak di bangku sekolah rendah lagi (Peserian Primary English School), saya didedahkan pada karya-karya pengarang terkenal Inggeris yang bernama William Shakespeare.

Pada mulanya ahli kumpulan sandiwara meminta saya memperbaiki skrip yang sedia ada – yang selalunya tidak diketahui siapa penulisnya – mengenai kisah pahlawan dan raja-raja Melayu atau yang didasarkan dari cerita bangsawan atau filem Melayu yang terkenal. Di dalam kumpulan sendiwara itu, hanya Cikgu Misdi Abu Bakar, pemimpinnya yang sampai ke maktab perguruan, yang lainnya hanya belajar setakat sekolah rendah sahaja. Oleh kerana saya belajar di sekolah Inggeris pada masa itu, maka saya dianggap “budak pandai” dan boleh diberikan amanah menulis skrip.

Seingat saya, saya menulis skrip berdasarkan kisah “Laksamana Bentan”, “Sultan Mahmud Mangkat Dijulang”, “Hang Tuah”, “Lembing Awang Pulang ke Dayang”, “Megat Terawis” dan menyesuaikan beberapa buah cerita dari bangsawan seperti “Jula Juli Bintang Tiga”, “Mambang Di Awan” dan “Gul Bakawali”. Saya juga menulis skrip “Semerluki” dan “Cebong Rabong” yang saya sesuaikan dari kisah dalam kitab Sejarah Melayu dan lagenda Jawa. Saya juga menyesuaikan cerita Macbeth dan Hamlet untuk persembahan kumpulan itu, dengan memberikan warna dan rupa  Melayunya.  

Malangnya saya tidak menyimpan skrip yang saya tulis itu.  Cikgu Misdi rasanya  pernah menyimpan tulisan asalnya tetapi apabila beliau meninggal dunia, bahan-bahan itu tidak dapat dikesan lagi.

Sepanjang pembabitan saya dalam dunia drama, saya mungkin telah menulis lebih 30 buah skrip drama pentas, tetapi yang saya dapat kesan dan kumpulkan hanya tujuh buah ini sahaja. Seingat saya, saya pernah menulis skrip drama pendek berjudul “Sidang Terakhir”, sebuah drama purba, “Pak Tua” (yang kemudiannya saya tulis semula untuk drama TV) dan “Baju Emas Sang Maharaja.” Versi pentas “Pak Tua” tidak saya temui. “Baju Emas Sang Maharaja” pernah digunakan sebagai salah sebuah drama sebagai teks komponen sastera dalam subjek Bahasa Melayu (KOMSAS) untuk tingkatan satu tetapi versi yang digunakan itu bukan versi asal saya. Saya juga pernah menulis “Kaduk” yang saya kumpulkan bersama Hashim Awang dalam Hujan Malam yang diterbitkan Fajar Bakti (1986). Saya tidak memuatkan drama itu dalam kumpulan ini kerana ia merupakan versi pendek dari drama asal yang tidak saya temui.

Saya masih mencari skrip lain yang mungkin dalam simpanan kawan-kawan atau mereka yang pernah terbabit dengan saya. Tetapi semakin hari, harapan saya menjadi semakin tipis untuk mendapatnya. Nasib saya baik bahawa beberapa buah drama dalam kumpulan ini masih saya simpan naskhah asal dalam tulisan tangan.

Saya kecewa  kerana kelalaian saya itu. Pada dasarnya saya orang yang cukup berdisiplin dalam soal pengumpulan bahan tulisan saya. Saya menyimpan hampir kesemua tulisan saya yang pernah tersiar di semua penerbitan di dalam dan luar negara. Ini termasuklah tulisan pertama saya yang tersiar di akhbar yang merupakan  “Surat Dari Pembaca” yang menggunakan nama “Hantu Semerah”. Surat itu tersiar dalam akhbar Utusan Malaysia pada tahun 1970. Saya menyimpan guntingan akhbar semua tulisan saya – dari berita hingga rencana, dari cerpen hingga sajak dari komentar hingga laporan berita dan analisis dalam semua penerbitan.

Saya menulis untuk hampir semua akhbar dan majalah di negara ini dari tahun 70-an lagi. Sewaktu saya menjadi Ketua Pengarang Kumpulan Akhbar Utusan Melayu (1 November 1992 hingga 14 Julai 1998), saya mempunyai kolum tetap di Mingguan Malaysia, Utusan Malaysia serta beberapa buah majalah terbitan syarikat itu seperti Pemikir, Hai dan Massa. Begitu juga halnya sebelum itu, sewaktu saya menjadi Ketua Bahagian dan Ketua Pengarang Bahagian Majalah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dari tahun 1988 hingga 1990, saya mempunyai ruangan tetap dalam Dewan Masyarakat, Dewan Sastera dan Dewan Budaya. Semua tulisan itu saya gunting dan simpan dengan baik.

Malangnya saya tidak berbuat demikian untuk drama pentas saya. Pada masa itu semua skrip drama ditulis tangan. Untuk tujuan mengedarkannya pada pelakon maka ia perlu ditaip menggunakan mesin taip untuk kemudiannya dicyclostyle. Tidak banyak salinan akan dibuat bagi menjimatkan kos.

Membesar Di Pentas Teater…

Teater bergerak Anak Alam 28 Oktober hingga 5 November 1978
Saya telah  menulis pengalaman saya dalam dunia seni dalam kolum saya di majalah Dewan Budaya selama empat tahun (Julai 2007 hingga Jun 2011). Saya rakamkan  pendedahan saya pada dunia bangsawan hinggalah pembabitan saya sebagai pelakon dan pengarah di pentas moden. Pengalaman yang sebenarnya cukup istimewa bagi saya.

Saya boleh mendakwa bahawa saya besar di pentas teater. Saya bernasib baik kerana menyaksikan sendiri kumpulan bangsawan Bintang Timur Opera milik Pak Bakar M mengadakan persembahan berbulan-bulan lamanya di kampung saya, Sungai Balang Besar, Muar, Johor. Oleh kerana rumah saya betul-betul di sebelah tapak pertunjukan bangsawan itu, maka saya berkesempatan untuk mengenali lebih rapat dengan Pak Bakar dan anak-anaknya Rahman B, Rahim B dan Rohani B serta isteri Rahman B, Rohaya B. Saya mencatatkan pengalaman dengan kumpulan bangsawan hebat ini dalam Dewan Budaya dari bulan September 2007 hingga Februari 2008.

Kumpulan yang tersohor ini jatuh bankrap di kampung saya – pengalaman yang saya percaya amat traumatik bagi mereka dan sekaligus memeranjatkan saya.

Dalam tulisan berjudul “Bintang Timur Opera Gulung Tikar” (Dewan Budaya, Februari 2008), saya menulis:

Sampai ke hari ini saya tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku. Tiba-tiba sahaja Bintang Timur Opera menghentikan persembahannya. Sepulangnya saya dari sekolah pada satu hari, ahli-ahli bangsawan itu sudah tidak ada lagi di tempat tinggal dan tempat pertunjukan di sebelah rumah saya.”

Sebenarnya populariti bangsawan mulai menurun ketika itu. Bintang Timur Opera kehilangan penonton. Filem Melayu merupakan ancaman besar pada bangsawan. Ramai pelakon bangsawan yang berhijrah ke filem. Lama kelamaan kumpulan bangsawan tidak lagi dapat menarik penonton. Bagi kumpulan Pak Bakar M, mereka berhutang bayaran makanan dan sewaan dengan orang kampung. Apabila keadaan bertambah buruk mereka terpaksa pulang sehelai sepinggang meninggalkan semua peralatan termasuk tirai yang mahal dan indah kepada orang kampung.

Saya mempunyai banyak kenangan yang manis dengan ahli kumpulan Bintang Timur Opera, terutamanya Rahman B dan Rohani B. Rohani B merupakan “seri panggung” atau primadona yang sangat jelita ketika itu. Saya percaya sekiranya beliau berhijrah ke filem, sudah pastilah beliau akan sama masyurnya dengan Sarimah, Zaiton atau Latifah Omar.
Saya amat rapat dengan Rohani B. Pada masa itu umur saya baru 12 tahun. Demikian masyurnya beliau pada ketika itu, sehinggakan jikalau sesiapa menulis surat ke alamat “Rohani B, Bintang Timur Opera, Johor”, surat itu akan sampai pada beliau. Begitu juga jikalau Bintang Timur Opera bermain di Terengganu atau Melaka, surat dari peminat akan pasti sampai pada beliau dengan hanya mencatatkan nama beliau dan kumpulan Bintang Timur Opera.

Kejelitaan beliau juga menarik perhatian Usman Awang atau lebih dikenal dengan nama samaran Tongkat Warrant. Saya dimaklumkan sejak awal lagi Usman sudah mendampingi kumpulan ini. Malah bukan rahsia lagi beliau dan sahabatnya yang bernama Majid akan menunggang motorsikal dari Melaka untuk menyaksikan persembahan bangsawan di Bandar Muar. Itu sebelum mereka bermain di kampung saya. Mereka menjadi polis dan berkhidmat di Melaka waktu itu. Saya juga bernasib baik kerana mengenal Majid, yang kebetulan orang kampung saya. Kisah mereka bertiga saya rakamkan dalam rencana saya dalam Dewan Budaya keluaran Januari 2008 yang membawa judul “Usman Awang, Rohani B dan Majid.” Kisah mereka juga turut dijadikan bahan oleh Usman dalam novelnya Tulang-tulang Berserakan. Itulah satu-satunya novel beliau. Usman mengekalkan nama Rohani dan Majid, cuma Usman menjadi Leman dalam novel itu.

Rohani yang tidak boleh membaca akan meminta saya membacakan surat-surat yang diterimanya. Paling istimewa ialah surat Usman dan sebuah puisi yang ditulis khas untuknya. Saya tidak ingat nama puisi itu. Saya juga sering membantu Rahman B yang menjadi “orang muda” atau pemegang utama cerita bangsawan untuk mempersiapkan dirinya sebelum mengadakan pertunjukan. Saya juga mengambil upah membelikan rokok dan barang-barang keperluan anggota kumpulan selain bekerja menarik tirai apabila diperlukan.      

Apabila anggota Bintang Timur Opera meninggalkan kampung, Cikgu Misdi bekerja keras menyelamatkan sebahagian barang-barang mereka. Dengan bahan-bahan tinggalan itulah beliau  menubuhkan sebuah kumpulan sendiwara di kampung. Seingat saya nama kumpulan itu ialah Badan Bistari Sungai Balang. Sandiwara merupakan istilah yang digunakan bagi satu genre teater transisi Melayu. Sandiwara wujud di antara bangsawan dan drama moden. Sandiwara di negara ini dikatakan mendapat pengaruh dari kumpulan yang datang  dari Indonesia pada tahun-tahun 30-an seperti Dardanela, Bolero dan Anjar Asmara. Di antara pelopor dan tokoh  sendiwara negara ini ialah Shahrom Hussein, Syed Alwi Al Hadi dan Kalam Hamidi.

Cikgu Misdi menggerakkan kumpulan ini bersama-sama Hassan Haji Yaakub (pekerja Jabatan Parit dan Tali Air ketika itu), Ahmad Alias, Ahmad Sidek dan Hashim Mohd Yassin (kesemua anak-anak muda kampung). Mereka berlatih di berek Jabatan Kerja Raya (JKR) di tepi pekan Sungai Balang yang dikenal sebagai “Kaman”. Di situlah mereka mengadakan latihan dan di situ jugalah saya mula berjinak-jinak dengan kumpulan drama. Saya akhirnya menjadi penulis skrip di samping turut berlakon dan mengarah.

Sandiwara Yang Memenatkan…

Pengalaman terbabit dalam sendiwara ini cukup luar biasa. (Sila baca “Berguru Di Pentas Sandiwara”, Dewan Budaya, April 2008). Saya mengagumi dedikasi Cikgu Misdi dan anggota Badan Bistari. Apabila mereka dipanggil bermain di mana-mana, tenaga kerja yang dicurahkan bukan sedikit. Pada tahun-tahun 60-an, majlis kerja kahwin atau walimatul urus tidak ada lagi khemah seperti sekarang. Di kampung saya, biasanya “balai” akan didirikan. 

Ahli pakatan kampung akan mendirikannya beberapa hari sebelum majlis perkahwinan. Di dalam masyarakat Jawa, akan ada upacara “lek-lekan” atau “rewang” untuk membantu tuan rumah. Semua anggota masyarakat akan menyumbang tenaga untuk tujuan itu. Balai ini biasanya untuk tempat berjamu. Tetamu akan duduk bersila sambil menjamah makanan.

Majlis selalunya berakhir jam 4.00 petang. Sebaik-baik sahaja dulang makanan terakhir dikeluarkan, kumpulan Badan Bistari akan menyediakan pentas untuk pertunjukan di sebelah malam. Balai yang hanya mempunya lantai, tiang dan zink akan ditukar menjadi pentas sandiwara. Ahli-ahli Badan Bistari akan memasang tirai, menyiapkan “seben” (istilah kampung untuk layar kecil di tepi), menyediakan prop dan peralatan yang sesuai. Selalunya akan dipanggil kumpulan pemuzik dan seorang penyanyi wanita. Bagi menjimatkan wang, penyanyi itu juga selalunya akan menjadi pelakon wanita utama dalam drama. Ini bermakna pelakon wanita sekaligus akan menjadi penyanyi di antara adegan. Oleh sebab itulah drama yang dimainkan hanya boleh menampung watak seorang wanita sahaja.

Katakan pada malam itu, mereka akan memainkan kisah “Sultan Mahmud Mangkat Dijulang”. Raja selalunya dimainkan oleh Hassan, Bendahara oleh Cikgu Misdi, Laksamana Bentan oleh sama ada Hashim Mohd Yassin atau Ahmad Alias. Begitulah mereka digilirkan bersama-sama Ahmad Sidek. Bagi menarik perhatian penonton, akan ada watak badut atau lelucon, yang selalunya dibawakan oleh Tamyiz  atau Ismail. Sebagai penulis skrip saya akan berada di belakang pentas, mengingatkan dialog pada pelakon. Selalunya mereka tidak pernah patuh dengan skrip.

Sendiwara seperti juga bangsawan memerlukan extra-turn atau waktu rehat atau break. Ini bagi membolehkan perubahan adegan dibuat. Selalunya, seperti juga bangsawan, pentas sendiwara mempunyai beberapa lapisan tirai. Paling hadapan ialah tirai utama yang dibuka sekali sewaktu pembukaan dan sekali lagi sewaktu penutup. Selepas itu terdapat tirai umum yang akan digunakan untuk latar nyanyian atau lawak jenaka sewaktu extra-turn. Berikutnya ialah tirai awan, hutan atau pemandangan desa. Di belakang sekali ialah setting istana sekiranya cerita itu mengesahkan raja-raja.

Ada kalanya watak badut akan mengambil masa yang panjang kerana penonton selalunya suka dengan aksi jenaka. Dalam cerita yang dianggap serius seperti “Sultan Mahmud Mangkat Dijulang”, comic relief amat diperlukan. Bukan sekali saya muncul bersama badut memainkan peranan anak yang menuntut sesuatu dari bapa. Malah, saya juga sering diminta untuk berlawak bersama-sama pelawak veteran kumpulan itu.

Saya belajar stage managemant dari kumpulan ini, pengalaman yang saya gunakan dengan banyak penyesuaian apabila saya sendiri mengarahkan drama. Tetapi di kampung, kumpulan ini sebenarnya membakar diri mereka sendiri demi seni. Kumpulan ini akan dibayar kira-kira RM35 untuk satu pertunjukan, RM15 untuk pemuzik dan penyanyi dan selebihnya untuk kumpulan. Bayangkan kerja yang harus mereka lakukan. Tirai yang sepanjang enam meter dibawa dengan basikal, begitu juga dengan pelbagai peralatan lain. Jarang sekali lori digunakan kerana kosnya terlalu mahal. Sebaik-baik sahaja pementasan selesai, kerja-kerja membuka tirai dan peralatan akan dilakukan. Sehingga jam 1.00 pagi, lama setelah penonton yang terakhir pulang, petugas Badan Bistari masih mengemas peralatan untuk dibawa pulang.

Saya tidak nampak bezanya di antara ahli kumpulan sandiwara saya dengan  pengorbanan ahli kumpulan bangsawan Bintang Tiga Opera. Saya sendiri tidak pernah dibayar kerana skrip saya, begitu juga kerana lakonan  atau bantuan yang saya berikan di belakang pentas.
Dari pengalaman itulah, saya membuat keputusan, bahawa inilah dunia yang akan saya ceburi – sukar, menyakitkan tapi memuaskan.

Pada masa Badan Bistari mengadakan persembahan di rumah-rumah orang kahwin, elektrik masih belum masuk ke kampung. Kami menggunakan “lampu gas” atau “gasoline lamp”. Maka itu usah dimimpikan  pertukaran lampu atau spot light. Siang dan malam sama sahaja. Selalunya dua lampu gas itu diletakkan di luar pentas. Ada kalanya, lampu itu kejam celik dan memerlukan angin atau perlu dipam. Pelakon yang berada paling hampir akan pergi ke lampu, mengepam sambil menyebut dialog, pada sepanjang masa in-character!
Pada tahun-tahun 60-an, mementaskan drama bukan kerja yang mudah. Sayogia diingat, di kampung saya pada masa itu, pelbagai bentuk kesenian hidup subur. Dalam masyarakat Jawa teater tradisi seperti ketoprak, wayang wong, barungan, wayang kulit selain kuda kepang bersaing dengan sendiwara. Pada waktu yang sama terdapat cumpelingan atau kemplingan. Semua kumpulan ini bergerak tanpa banyak bantuan kewangan melainkan dedikasi dan kesungguhan penggiatnya.

Pembabitan saya di pentas sandiwara membawa kesan yang besar pada pelajaran saya. Pelajaran saya merosot dengan teruknya. Pada waktu saya hampir-hampir akan mengikuti peperiksaan Malaysian Certificate of Education (MCE) pada tahun 1970, kumpulan saya mendapat kesempatan  mewakili mukim dalam pertandingan drama Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan (KKBS) di Muar. Drama yang dipertandingkan ialah pilihan di antara  “Menyerahnya Seorang Perempuan” dan “Denyut Jantung”, kedua-duanya karya Usman Awang. Badan Bistari membawakan “Menyerahnya Seorang Perempuan”.

Dua hari sebelum kami ke Muar, pelakon yang membawa watak Tun Ali dihinggapi campak. Kumpulan jadi panik. Tidak ada orang lain yang menghafal dialog Tun Ali melainkan saya. Saya berusia 17 tahun ketika itu. Tun Ali ialah Bendahara Melaka yang dicabar oleh Tun Perak. Sultan Melaka harus membuat pilihan sama ada mengekalkan Tun Ali sebagai Bendahara dan berdepan dengan krisis terburuk dalam sejarah kerajaan itu atau mengambil Tun Perak tetapi akan menghadapi resiko perang saudara. Sultan telah menghantar Sri Amerta, seorang pembesar Melaka untuk bertanya apakah yang dimahukan oleh Tun Ali.

Tun Ali meletakkan syarat untuk mengahwini Permaisuri Melaka pada masa itu, Tun Kudu, kakak Tun Perak sebagai ganjaran untuk beliau mengundurkan diri.

Apa yang ditulis oleh Usman tentang keinginan Tun  Ali akan terakam sebagai salah sebuah dialog terbaik dalam sejarah drama negara ini:

TUN ALI: Dapatkah kau menyatakan padaku, perempuan manakah di bumi Melaka ini yang cantiknya separas bulan, yang lembutnya mengutus angin, suaranya buluh perindu gunung Ledang, rambutnya mayang mengurai ketika petang….ditambah dengan bidang dadanya tekukur diagah, lembut lengannya baldu Cina, harum tubuhnya cempaka digunung, bersama sifat lembut menyerah, merelekan tiap gerak dan laku seorang lelaki, lelaki yang tahu menumpahkan berahi.

Sultan Melaka tidak ada pilihan melainkan melepaskan Tun Kudu. Tun Kudu telah berkorban demi Melaka, pengorbanan wanita yang terbesar dalam sejarah kesultanan Melaka. Sekiranya Tun Kudu tidak berbuat demikian nescaya Melaka akan hancur lebih awal dari serangan Portugis pada tahun 1511.

Saya dituakan, dimake-up tebal dan dijadikan si biang keladi dan ulat bulu. Saya menang Pelakon Pembantu Terbaik kerana lakonan itu. Sewaktu saya mengambil hadiah, Pegawai Daerah bertanya saya, “Mana pelakon tadi?” Dia terperanjat apabila saya memberitahu beliau, sayalah yang memainkan watak Tun Ali. Malangnya apabila drama itu mewakili mukim ke Johor Bahru, kumpulan kami tidak menang apa hadiah, termasuk pelakon pembantu terbaik lelaki yang saya menangi di Muar. Watak itu dibawakan oleh pelakon asal.

Dari Kampung Ke Universiti Malaya…

Usman Awang saya kenal melalui surat-surat dan sajaknya pada Rohani B, primadona Bintang Timur Opera. Seperti yang saya ceritakan di atas, Rohani akan meminta saya membacakan sajak dan surat-surat Usman dari semasa ke semasa. Saya tidak kenal siapa Usman masa itu. Apabila kemudiannya saya menemui drama-dramanya seperti “Menyerahnya Seorang Perempuan”, “Matinya Seorang Pahlawan”, “Degup Jantung” dan “Tamu di Buklit Kenny”, saya mulai mengilai Usman. Sayogia diingat bahawa saya mengenal banyak dramatis Inggeris sebelum saya menemui dramatis tempatan. Saya didewasakan dengan sajak-sajak Usman yang terkenal seperti “Ke Makam Bonda”, “Pak Utih”, “Duri dan Api”, “Bunga Popi” dan lain-lain.

Pada tahun 1977, cita-cita saya untuk menjadi petugas di DBP menjadi kenyataan. Saya bekerja di Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Sastera (BPPS) di DBP dan Usman ialah ketua saya. Beliau menjadi timbalan ketua BPPS sementara Baharuddin Zainal, penyair dan eseis terbilang negara menjadi ketuanya.

Saya mengagumi bagaimana Usman menggunakan bahasa yang indah dalam karya-karyanya. Bagi saya dalam bidang drama, beliau merupakan Shakespeare di kalangan orang Melayu yang memberikan diginiti atau maruah pada Bahasa Melayu seperti yang dilakukan oleh Shakespeare pada Bahasa Inggeris. Beliau menyempurnakan Bahasa Melayu sebagai bahasa sastera dan seni.

Saya meneruskan minat saya dalam bidang drama apabila saya masuk ke Sekolah Tinggi Muar dalam tingkatan enam. Di situ saya mengarah dan berlakon dalam sebuah drama yang saya tidak ingat namanya dalam pertandingan drama antara sekolah-sekolah Muar. Kumpulan kami ditewaskan oleh pelajar yang memainkan drama “Malam Perhitungan” karya Mottingo Boesje dari Indonesia. Lebih menyakitkan semua pelakon drama itu perempuan sebab mereka dari sekolah Sultan Abu Bakar, Muar (SAB).

Apabila saya menulis skrip “Kotaku Oh Kotaku” pada tahun 1975, saya berhasrat untuk mencari seorang pengarah bagi mengarahkannya. Saya orang baru di Universiti Malaya (UM) masa itu. Kumpulan Kesenian Universiti Malaya (KESUMA) memang tersohor.  Pengarah Kebudayaan UM pada masa itu, Encik Ariff Ahmad berkeras mahukan saya mengarahkannya sendiri. Dia mencadangkan saya mementaskannya secepat mungkin.

Tetapi tragedi menimpa keluarga saya pada tahun itu. Abang saya, Ismail, yang merupakan breadwinner bagi keluarga kami ekoran keuzuran ayah meninggal dunia akibat kecelakaan motorsikal, motorsikal milik saya pada tahun 1975.

Kesan pemergian abang besar sekali. Ayah terlalu uzur untuk bekerja. Mak juga kurang sihat. Tapi mak tidak ada pilihan melainkan menoreh di tanah seluas satu setengah hektar. Adik saya Kahtijah baru sembilan tahun waktu itu. Ayah dan emak mengambil saya sebagai anak angkat dan memelihara saya sebagai anak sendiri dengan penuh kasih sayang. Kathijah juga anak angkat.

Ayah buta huruf tetapi dia berani menghantar saya ke sekolah Inggeris di Semerah, Batu Pahat. Saya anak kampung kedua yang pergi ke sekolah itu. Pelajar pertama itu bagaimanapun bersekolah setakat tamat darjah enam. Ayah juga menjadi tulang belakang pada keyakinan saya dan sentiasa menghormati keputusan saya. Walaupun orang kampung mencemuh pembabitan saya dalam drama, tetapi beliau mendiamkan diri. Apabila saya diterima masuk ke UM, beliau menganggapnya sebagai kemasukan ke sebuah sekolah lain, sedang saya anak pertama dari kampung yang masuk ke universiti dan orang kampung menganggapnya satu pencapaian besar.

Malah beliau sendiri tidak menghantar saya ke UM, sebaliknya menumpangkan saya menaiki lori sayur kenalannya yang menghantar sayur ke Pasar Chow Kit tiga minggu sekali. Saya membawa sebuah beg dan wang dua puluh ringit dan menumpang lori yang  memulakan perjalanan dari kampung ke KL dari jam 3.00 pagi, perjalanan yang memakan masa hampir lima jam.

Tragedi yang menimpa abang itu membuatkan saya ada kalanya terfikir untuk meninggalkan universiti sahaja. Saya tidak tergamak melihat keadaan ayah dan mak. Sewaktu masih sihat, ayah menoreh getah sewaktu pagi dan menjadi tukang gunting pada sebelah petang. Dia merokok. Apabila semakin tua, dia mengidap lelah yang kronik. Malah dia pernah ditahan selama enam bulan di hospital kerana disyakki mengidap TB. Keadaannya semakin buruk apabila abang meninggal.

Saya masih menyimpan surat yang dihantar oleh Kahtijah pada saya yang saya terima pada 9 Disember 1975. Antara lain beliau menulis,

“…Ya, Engah kan suruh beli Utusan Pelajar, tetapi Jah tak mampu membelinya. Kalau ada duit bolehlah Jah beli.”

Dalam surat itu juga Jah menulis,

“…Ayah semput tidak boleh pergi ke kedai, tetapi Engah jangan susah hati. Engah terus menghadapi peperiksaan Engah juga..”

(Panggilan “Engah” atau “Ngah” menandakan saya anak kedua dalam keluarga. Harga Utusan Pelajar yang pernah diterbitkan oleh syarikat Utusan Melayu ialah 25 sen pada waktu itu. “Semput” ialah istilah kolokial yang bermaksud lelah atau wheezing).

Di KL, saya membuat banyak kerja bagi menampung pengajian saya. Biasiswa Negeri Johor yang saya perolehi tidak mencukupi bagi membiayai pengajian saya. Saya harus bekerja sebagai budak jaga kereta di Seksyen 14 Petaling Jaya selain menjual nota kuliah pada pelajar baru. Modalnya diberikan oleh seorang “mahasitua” yang baik dengan saya (pendekan “mahasiswa tua”, gelaran yang diberikan pada guru-guru yang datang belajar ke universiti masa itu). Ada kalanya saya ikut bekerja mengumpul akhbar lama dan membersih tandas awam di KL. Saya pernah bekerja di Pusat Kesihatan Bangsar dan bangunan milik Arts Printers dan beberapa buah bangunan di sekitarnya.

Malah saya pernah dibawa ke bangunan Straits Times di Jalan Riong  untuk memunggah surat khabar lama. Shahril Lembang (Allahyarham) yang bekerja dengan Berita Harian pada masa itu selalu menarik saya ke warung di hadapan bangunan itu untuk minum teh tarik selepas saya membuat kerja. Pemilik kedai menjual motorsikal di Bangsar juga menggaji saya untuk membersihkan kedainya seminggu dua kali, dengan itu saya tidak perlu membayar sewa bulanan motorsikal yang saya beli dari kedainya.

Di Bangsar, saya mengenal dua orang manusia yang turut mencorakkan pendirian saya tentang kehidupan – Pak Amin dan Leng Apek. Amin bekerja sebagai tukang sapu dengan Majlis Bandaran Kuala Lumpur (sebelum menjadi Bandaraya) dan Leng seorang pengangkut najis. Pada masa itu masih terdapat “night soil carrier” di KL. Mereka akan membawa tong mengangkut najis dari tandas di rumah-rumah orang. Amalan ini berlanjutan sehingga awal tahun 80-an. Sewaktu saya baru berkahwin dan tinggal di Jalan Raja Muda Musa 5 pada tahun 1982, tandas rumah kediaman kami masih menggunakan cara itu.

Selepas menyiapkan kerja sambilan tiga kali seminggu, saya akan berkumpul di sebuah warung di Jalan Bangsar. Selain manusia seperti Amin dan Leng, terdapat pemandu bas dan teksi, pemandu kereta tuan, pekerja Majlis  Bandaran KL dan Pusat Kesihatan Kecil Bangsar, anggota polis, penghuni Kampung Abdullah Hukum dan Kampung Kerinchi selain seniman dan beberapa orang gelandangan yang berkumpul di situ. Amin tinggal di Kampung Kerinchi sementara Leng mengayuh basikal dari Puchong. Pada jam 10.00 pagi warung itu penuh dengan manusia.

Merekalah yang memberikan saya ilham untuk menghasilkan “Kotaku Oh Kotaku”.

Saya amat terhutang budi pada mereka.

Saya menceritakan semua ini kerana pengalaman ini ada kesannya pada diri saya dan mempengaruhi dunia kreatif saya. Baik drama-drama saya yang awal atau drama TV yang saya tulis kemudiannya, kisahnya tidak lari dari kehidupan manusia kecil di Kuala Lumpur atau manusia yang saya kenal di kampung asal saya di Muar.  Manusia inilah yang mencorakkan persepsi saya tentang hidup dan kehidupan.

Poster pementasan Angin Kering di USM (1979)
Mereka, seperti juga ramai yang lain yang saya temui,  menjadi latar pada drama-drama saperti “Kotaku Oh Kotaku”, “Angin Kering”, “Dia”, “Pasrah”, “Pemain” dan “Asiah Samiah”. Juga drama-drama TV saya seperti “Asyura”, “Pemandu Teksi”, “Angin Bila Menderu”, “Pelari”, “Pak Tua” dan “Anjung Batu” selain cerpen, novel dan sajak saya.
Mereka sebahagian dari psyche dan consciousness saya.
Mereka akan tetap di hati saya.





“Kotaku Oh Kotaku” Mengubah Saya…

“Kotaku Oh Kotaku” mengubah saya. Kejayaannya pada Malam Berbunga Sajak tahun 1975 itu menyebabkan saya mulai dikenal sebagai bintang baru dalam dunia teater. Bukan itu sahaja, Usman Awang yang “menemui” saya telah meletakkan montaj “Kotaku Oh Kotaku” sebagai hiasan kulit  Dewan Sastera pada bulan Mac 1976 beserta dengan skripnya sekali di dalam majalah itu. Saya tidak pernah terbayang satu hari nanti karya saya akan menghiasai kulit Dewan Sastera, majalah sastera yang bernama, dihormati dan berprestij terbitan DBP. Saya tidak boleh melupakan jasa Usman dan sidang pengarang Dewan Sastera.              
      
“Kotaku Oh Kotaku” juga memberikan kemasyuran baru kepada saya. Saya mulai disamakan dengan seorang lagi lepasan UM ketika itu, Dinsman yang terkenal kerana drama “Bukan Bunuh Diri”. Pada bulan Disember 1976, sekali lagi Dewan Sastera menyiarkan drama saya berjudul “Angin Kering”.

Pementasan Angin Kering di USM (1979)

Dengan itu, para pengkaji teater mulai meletakkan saya senafas dengan dramatis Nordin Hassan, Dinsman, Hatta Azad Khan, Mana Sikana dan lain-lain sebagai pendukung aliran  absurd teater di negara ini. Dengan munculnya karya saya “Pasrah”, “Dia”, “Pemain” dan “Asiah Samiah”, maka label “pelopor teater absurd” itu semakin kukuh.

Saya tidak akan membincangkan soal itu kerana buku ini bukan buku kajian sejarah dan falsafah teater, tetapi koleksi drama pentas saya. Perihal saya salah seorang pendukung teater absurd ini menjadi sebahagian daripada tradisi kesarjanaan. Apa yang penting ialah saya hanya menulis drama. Saya tidak menentukan label.

Poster Menjelang Bulan Purnama karya Alis Hj Idris arahan
Johan Jaaffar (1980)


Saya sebenarnya harus mengakui bahawa dua peristiwa membentuk dunia teater saya di Kuala Lumpur. Pertamanya ialah pengalaman menonton musikal “Menjelang Bulan Purnama” tidak lama setelah saya masuk ke UM. Drama itu ditulis dan diarahkan oleh Alias Haji Idris seorang pensyarah di Maktab Perguruan Bahasa (MPB) yang kampusnya terletak di luar UM ketika itu. Bagi anak kampung yang hanya mengenal bangsawan dan sandiwara, menonton drama itu merupakan pengalaman yang luar biasa.




Drama itu dipentaskan di Panggung Eksperimen UM. Tidak seperti bangsawan dan sendiwara, tidak ada tirai dan tidak ada pula pengumuman drama akan bermula. Yang menggerakkan teater itu hanya lampu. Saya mengenal “teater percubaan” melalui musikal itu. Begitu saya terhutang budi pada drama itu dan penulisnya, saya mengarahkan sendiri musikal itu di Balai Budaya DBP pada 22 Oktober 1980.
Berita pementasan Menjelang Bulan Purnama di DBP (1980)
Kedua, ialah kedatangan Teater Keliling Jakarta di bawah pimpinan Rudolp Puspa. Pada tahun 1974, mereka mementaskan drama “Kapai-Kapai” karya Ariffin C. Noer yang dilakonkan oleh Rudolp, Bahari Uhum Nasution, Ucok Hashim, Buyung Zasdar dan lain-lain. Teater Keliling membuka mata saya tentang realiti teater moden.

“Kotaku Oh Kotaku” turut  diilhamkan dari “keterepanjatan” baru itu.  

Demikianlah saya menjadi orang teater di UM dan mementaskan dua buah drama saya yang paling dikenal, “Kotaku Oh Kotaku” dan “Angin Kering”. Dalam kedua-dua drama itu saya mengarah dan berlakon. Untuk “Kotaku Oh Kotaku”, saya membawakan watak Jebat dan untuk Angin Kering, watak “Mahatahu”.

Saya juga berlakon di bawah pimpinan orang lain. Othman Haji Zainuddin mengarahkan saya dalam drama “Titah Tuanku” sebagai Patih Kerma Wijaya. Pada tahun 1984, Hatta Azad Khan meminta saya melakonkan watak Omar, si playboy dalam drama karya A. Samad Said, “Di Mana Bulan Selalu Retak”. Pada tahun itu juga, Mustapha Noor yang baru pulang dari Amerika Syarikat memberikan saya penghormatan memainkan watak Dr Stockman dalam drama karya Henrick Ibsen, “Enemy of the People”. Pada tahun 1986, sekali lagi Othman meminta saya membawa watak jahat, kali ini sebagai Sultan Mahmud dalam “Zaman Gerhana.”  Saya juga pernah berlakon di bawah Zakaria Ariffin dalam “Pelayaran Inderaputra II” (1882) dan “Pentas Opera” (1989). Saya nampaknya hanya memainkan peranan jahat dalam drama-drama yang saya lakonkan.

Sewaktu di UM saya mulai mendekati Kumpulan Anak Alam. Kumpulan ini bermula sebagai pengelompokan para pelukis yang dianungi oleh Usman Awang dan Ismail Zain. Sebuah rumah banglo usang menjadi tempat mereka berkumpul. Di sinilah tempat berhimpunnya Latiff Mohiddin, Mustapha Haji Ibrahim, A. Ghafar Ibrahim, Zulkifli Dhalan, Sulaiman Isa, Khalil Ibrahim, Ibrahim Ghafar, Siti Zainon Ismail, Ruzaikha Omar Basri dan ramai lagi. Saya membawakan Anak Alam pada dimensi baru – dunia teater - bersama-sama Muhammad Abullah, Omar Abdullah dan Khalid Salleh. Pada mulanya Muhmmad dan Omar membawakan drama “Pemburu Perkasa” ke pusat membeli belah. Saya pula mengarahkan drama penuh Anak Alam, “Angin Kering” di beberapa tempat, termasuk di Universiti Sains Malaysia (USM).

Apabila saya mula berkhirmat di DBP pada tahun 1977, saya mula aktif dengan Badan Budaya DBP. Badan ini sudah mempunyai tradisi gemilang dalam dunia drama tanah air sejak pementasan pertama “Tamu Di Bukit  Kenny” karya Usman Awang pada tahun 1967.  Drama arahan saya yang pertama dengan Badan Budaya ialah “Mayat” pada tahun 1979 dan yang terkahir “Rumah Kedai Di Jalan Seladang” pada tahun 1989.

Saya hanya mengarahkan empat buah drama dengan Badan Budaya, tetapi saya percaya kesannya agak besar juga dalam melahirkan pelakon dan petugas pentas. Saya boleh mendakwa bertanggungjawab memulakan karier banyak pelakon yang kini menjadi nama-nama besar, antaranya Sabri Yunus, Wan Hanafi Su, Ahmad Busu, Jalil Hamid, Shahrizan Ahmad, Bohari Ibrahim, Kahtijah Tan, Wan Maimunah Aziz, Rashdi Daud dan Fauziah Nawi. Salah satu kejayaan membanggakan dari “graduan” Badan Drama ialah Sabri Yunus yang menang Anugerah Pengarah Terbaik dan Penulis Skrip Terbaik untuk drama “Sanggul Beracun” dalam Anugerah Skrin anjuran TV3 pada tahun 2011. Drama itu juga memberikan kemenangan Drama Terbaik pada penerbitnya dan Videografi terbaik pada Mohd Shah Faizul.

Saya juga berkesempatan bekerja dengan petugas pentas seperti  Wahab Hamzah, A. Ghafar Abdullah, Fadhil Agus Salim, A. Ghani Abdullah, A Rahman Rahim dan ramai yang lain di Badan Budaya.  

Tujuh Daripada Entah Sekian Banyak…   

Enam buah skrip ini sebenarnya mewakili karya saya sepanjang karier penulisan drama saya. Ia bermula dari “Angin Kering” sehingga “Asiah Samiah.” Dua daripada drama ini, “Kotaku Oh Kotaku” dan “Angin Kering” yang saya tulis pada tahun-tahun 70-an masih popular di kalangan penggiat teater. Malah kedua-dua drama itu menjadi bahan untuk pelbagai pesta dan peraduan drama. Saya percaya selain “Mayat” dan “Kerusi” oleh Hatta Azad Khan dan “Bukan Bunuh Diri” oleh Dinsman, “Kotaku Oh Kotaku” dan “Angin Kering” merupakan naskhah yang paling banyak dipentaskan oleh kumpulan drama di negara ini. Saya juga sedar bahawa kedua-dua drama saya itu memungkinkan banyak kumpulan drama yang memenangi pelbagai hadiah – dari persembahan terbaik hinggalah lakonan terbaik.

Pementasan Pasrah di DBP (1980)
Saya tidak ingat bila “Dia” dan “Pasrah” ditulis. Malah seingat saya “Dia” agak unik. Buat pertama kali sebuah drama dipentaskan tanpa sebarang backdrop, set atau prop. Pementasan di Panggung Drama itu membingungkan salah seorang pelakon saya yang bertanya tentang setting dan props. Saya memberitahu beliau bahawa drama itu konsepnya kosong, sekosong pentas. “Pasrah” pula saya tulis bagi mengisi pementasan sebuah program seni. Saya teringat Balai Budaya (sekarang Balai Budaya Tun Syed Nasir) kosong malam itu. Saya percaya hanya kira-kira 30 orang yang hadir. Tetapi seperti yang dikatakan selalu, the show must go on. Pelakon saya tidak pernah kecewa dengan jumlah penonton yang sedikit.

Buku ini tidak menyusun drama tersebut mengikut abjad atau susunan penerbitannya. Seingat saya, “Pasrah” dan “Dia” belum pernah diterbitkan di mana-mana. “Asiah Samiah” dan “Pemain” pula belum pernah dipentaskan secara menyeluruh. “Pemain” agak istimewa. Dalam rencana saya dalam Dewan Sastera  berjudul “Mengapa Pemain” (Mei 2001), saya mencatatkan pengalaman saya melahirkan “Pemain”. Malah “Pemain” boleh jadi drama, novella atau cerpen. “Pemain” mengambil masa yang cukup panjang untuk menulisnya.

Saya mendisiplinkan diri menulis setengah jam sehari untuk “Sang Puteri”. Saya akan berhenti setelah setengah jam walaupun ilham masih melimpah. Itu cara saya mendisiplinkan diri saya, seperti juga saya menulis catatan/diari sejak saya berusia 12 tahun, tanpa henti. Tetapi “Pemain” saya tulis dalam keadaan yang agak berbeza. Saya hanya ada sebaris dialog yang saya jajakan pada teman-teman sejak sekian lama:

Poster Sang Puteri (1976)
Dulu terbitnya di sana, sekarang terbitnya di sini. Esok entah di mana…”  Itulah ayat pembuka dalam “Pemain”. 

Saya mula menulis “Pemain” pada tahun 1986. Bagi saya tahun-tahun 1985/86 itu cukup menggelisahkan. Saya berada dalam delima apakah akan terus menjadi pegawai kerajaan yang bekerja di antara 8.00 pagi hingga 4.15 ptang atau memulakan langkah baru. Saya terfikir masa itu untuk mengikuti pengajian perfileman. Atau meneruskan karier sepenuh masa dalam teater.

Dalam seatu wawancara dengan wartawan Mingguan Wanita, Haslina Ahmad (2 Oktober 1987), saya berkata,

“Pemain ialah satu-satunya drama yang begitu memuaskan hati….Saya rasa drama inilah yang paling dekat dengan diri saya, kerana apa yang saya fikirkan, itulah yang saya tulis.”
Izinkan saya memetik satu petikan dari Pemain:

Sialnya saya sering pula mengimpikan segala-galanya yang indah itu pada saat-saat saya sendirian. Saya bukan eskepis. Sama sekali tidak. Saya tidak tahu kebjiaksanaan menjadi satu pilihan di dalam otak saya yang semakin malas berfikir ini. Mahu tidak mahu saya terseret ke dalamnya. Saya menjadi sesiapa dan di mana sahaja….”

Mungkin itu cerminan sebenar minda seorang seniman yang resah.

Seorang teman pengkritik mengatakan bahawa “Pemain” merupakan drama saya yang terbaik sehingga ini. Beliau juga percaya ia merupakan drama yang paling under-rated di negara ini. Saya mahu mempercayai pandangan beliau.  

“Asiah Samiah” pula saya tulis setelah 15 tahun tidak menulis drama pentas. Sekali lagi ia lahir dalam zaman gelisah. Saya meninggalkan Utusan Melayu (M) Berhad akibat krisis politik di antara Perdana Menteri dan timbalannya pada tahun 1998. Saya terjebak di tengah-tengah. Saya menjadi persona non grata selepas itu, dipinggir dan dilupakan. Teman-teman menghilang bersama kabus. Hanya teman-teman seniman yang kekal menjadi tunggak kekuatan saya. Persatuan Penulis Nasional (PENA) yang dipimpin oleh kawan lama saya, Ahmad Sebi memberikan  kepercayaaan untuk menjadi Setiausaha Agungnya pada saat tidak ada orang yang berani mendekati saya. Itu langkah pertama saya kembali ke arus perdana dan mula dianggap kosher atau halal semula. Penyair dan pengarah Yassin Salleh yang selalu berada bersama-sama saya dalam tahun-tahun penuh kegelapan itu mengingatkan saya pada serangkap puisinya;

“Hidup tidak bernama, akhir tidak berahir
Kematian belum namanya kematian
Sebelum dinobatkan.”

Saya juga menulis sebuah sajak berjudul “Aku Di Limboland” (tidak pernah disiarkan di mana-mana) pada kira-kira tahun 2001. Antara lain saya menulis;

“Di sini tanah tanahnya gersang
Tanamannya banyak yang mati
Atau kalau hiduppun segan sekali
Lagi pula mata air yang selalunya menyuburkan tanah
Tiba-tiba terhenti
Atau dihentikan alirannya…”

Pada sekitar tahun 2000, saya mula menulis “Asiah Samiah”. Selalunya saya menulisnya di ladang pisang saya jauh di Sungai Lembing dan Gambang, Pahang atau  di Lenga, sepanjang Sungai Muar di Johor. Saya menulis mengikut cara lama, menggunakan kertas dan kemudiannya bila pulang ke KL menaipnya. Saya menulis seperti orang yang diobsesi. Saya menghantarkannya untuk siaran di Dewan Sastera yang tersiar bersiri dari bulam Oktober 2001 hingga Februari 2002.  Pada tahun 2003, drama itu memenangi Hadiah Sastera Perdana (sebelumnya dikenal sebagai Hadiah Sastera), di samping memenangi Hadiah Sastera Negeri Johor.


Saya mencatat sejarah sebagai penulis pertama yang memang dalam tiga ketegori Hadiah Sastera yang berbeza, adabtasi drama untuk “Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman” (1986), kategori cerpen dengan “Sang Politikus”   (2001) dan drama penuh, “Asiah Samiah” (2003).
Kumpulan drama pentas ini amat peribadi sifatnya. Ini merupakan hadiah saya pada dunia teater dan dunia seni amnya. Saya menyerahkan tujuh buah drama ini untuk tatapan semua orang, termasuk mereka yang mengenal saya dalam kerangka pembabitan saya dalam dunia yang bukan sastera.

Saya menulis dalam pelbagai genre sastera – dari novel (tiga buahnyang pernah terbit), novel kanak-kanak (tiga), cerpen (telah terkumpul dalam sebuah kumpulan), drama remaja (dua antologi) selain sajak, tetapi saya lebih dikenal sebagai dramatis – baik sebagai penulis, pengarah atau pelakon. Saya juga menulis drama TV (sebuah antologi telah diterbitkan) selain menulis skrip untuk sitkom (termasuk siri “Pi Mai Pi Mai Tang Tu” yang popular di TV3). 

Saya terhutang budi pada seni. Saya terhutang budi pada karyawan seni yang bersama-sama saya dari pertama kali saya didedahkan pada dunia seni sehinggalah mereka yang terklibat scara langsung dengan syarikat yang saya menjadi Pengerusinya hari ini  - Media Prima Berhad.

Saya telah melalui banyak zaman – dari era bangsawan, sendiwara, teater realistik, teater absurd, entah apa lagi. Pendedahan saya bermula sejak saya berusia 12 tahun atau lebih muda. Saya menulis “drama” sejak di bangku sekolah rendah. Dari puluhan yang telah saya hasilkan tujuh yang terkumpul ini mungkin bukan yang terbaik. Sekurang-kurangnya drama-drama ini, i.  dekat di hati saya, ii, banyak diperkatakan dan yang paling penting, iii, mampu saya kumpulkan. 

Dalam ulasannya terhadap “Sang Puteri” yang dipentaskan pada 20 dan 21 Oktober 1979 di Panggung Eksperimen Universiti Malaya, Dinsman menulis di dalam Dewan Budaya (Disember 1979):

“Bagi orang yang mengikuti perkembangan teater Johan sejak Kotaku Oh Kotaku pada tahun 1975 nescaya mereka akan bersetuju bahawa dengan Sang Puteri, Johan telah berhasil menemui teater yang dicari dan dieksperimenkannya.”

Drama-drama ini sebenarnya manifestasi dari pencarian yang panjang, menarik sekalipun memenatkan itu.   

Pencarian itu sebenarnya masih belum berakhir.


JOHAN JAAFFAR
30 November 2011
Petaling Jaya, Selangor
     



1 comment:

  1. Assalamualaikum Tuan Johan Jaafar. Bagaimana saya hendak berhubung dengan Tuan berkaitan projek akhir saya?

    ReplyDelete