Monday, October 23, 2017

Petikan dari Buku Cenderamata Festival Filem Malaysia ke-29

Cabaran Semasa, Harapan Masa Hadapan

Oleh JOHAN JAAFFAR



Terlalu banyak telah berubah sejak filem Melayu pertama, Laila Majnun arahan B.S. Rajhans muncul pada tahun 1933. Usia filem tempatan kini 84 tahun. Sepanjang lebih lapan dekad telah berlaku transformasi luar biasa dalam industri filem tempatan dan luar negara.

Tidak ada industri yang lebih dinamik daripada industri filem. Ini merupakan industri yang sarat dengan cabaran, sentiasa dihuja oleh perubahan dan sentiasa memerlukan sokongan kecanggihan teknologi. Filem kini dibuat dengan cara yang tidak pernah dimimpikan oleh pembikin filem satu masa dahulu.

Lebih penting lagi filem kini berada dalam kerangka industri yang lebih besar yang dikenali sebagai industri kreatif atau creative industry. Ia merupakan industri yang bernilai berbilion ringgit.

Filem bukan sekadar hiburan tetapi merupakan sebahagian daripada kegiatan ekonomi kreatif (creative economy). Filem dipasarkan bukan sahaja sebagai filem tetapi bagi filem yang berjaya disokong oleh aspek licensing dan merchandizing membabitkan jualan produk yang berkaitan dengan francais filem berkaitan.

Lebih penting lagi bahawa karya seni buta kaum dan buta sempadan. Seni berbicara dalam bahasa antarabangsa.

Karya seni seperti filem melampaui tembok geografi dan perbezaan budaya. Penyataan atau ekpresi seni sifatnya universal. Maka itu filem adalah komoditi ekonomi yang potensinya amat besar.

Ini peluang terbaik untuk karyawan filem masa kini – untuk membuka jendela cekrawala pada pasaran yang lebih besar. Industri domestik terlalu kecil bagi karyawan filem kita.

Untuk filem Melayu sasarannya juga amat terbatas. Filem tempatan harus mencari ruang baharu.

Sejak Laila Majnun,filem tempatan masih lagi disasarkan pada kelompok kaum tertentu. Era gemilang filem Melayu pada tahun-tahun 50-an dan 60-an adalah era yang disokong oleh rata-rata orang Melayu. Walaupun ada peminat bukan Melayu untuk filem Melayu, tetapi bilangannya kecil. Demikian juga, sekadar bergantung pada audiens sebanyak 16 juta orang Melayu hariini, masih tidak mencukupi.

Akhir-akhir ini dua buah filem membuktikan bahawa sekiranya karyawan mencuba keluar dari sasaran kaum, impak pasarannya cukup berbeza. The Journey dan Ola Bola sepatutnya merupakan wake-up call bagi pembikin filem tempatan. Kedua-dua filem ini mensasarkan audiens “Malaysia” yang sebenar. Kejayaan Haji Burhanuddin Mohd Radzi dengan syarikat Les’ Copaque yang memasarkan Upin dan Ipin ke Indonesia (dan negara-negara lain) adalah satu lagi contoh yang patut diletadani. U-Wei Hj Shaari memilih novel Joseph Conrad untuk membawakan fantasi dan satira “Malaya” ke pasaran dunia melalui Hanyut. Usaha ini pasti membuka ruang baru untuk sinema Malaysia.

Moral ceritanya, filem kita harus disasarkan pada audiens yang lebih besar – audiens antarabangsa.

Kita harus belajar dari Korea Selatan yang kini mengeksport karya kreatifnya ke seluruh dunia. Karya Korea kini menakluk dunia. Dari lagu pop hingga produksi TV dan filem, “demam Korea” dirasakan di mana-mana. Korea sedar bahan kandungan kreatifnya tidak cukup untuk dipasarkan di negara itu sahaja. Dunia adalahlah sasaran mereka.

Kita harus menjurus ke arah itu. Jawaban masa depannya adalah pasaran luar negara. Kita punya potensi itu. Korea telah mewujudkan Korea Creative  Content Agency (KOCCA) sebagai agensi yang dipertanggungjawabkan membangun dan mengembangkan industri kandungan kreatif negara itu. Ia merupakan one-stop-centre untuk tujuan tersebut. Pada tahun 2012 sahaja terdapat 111,587 buah syarikat yang terbabit dalam bidang kandungan yang berdaftar dengan KOCCA.


Tagline yang digunakanoleh KOCCA juga menarik: “Remaking Korea as creative star of world stage.”

Kita dapat melihat impak KOCCA pada industri kreatif negara itu hari ini. Nampaknya kita juga memerlukan agensi seperti KOCCA untuk tujuan itu. Dan kita juga memerlukan penyelarasan dalam semua aspek membabitkan pembiayaan, perancangan masa depan, strategiek sport dan sistem sokongan. Pada masa ini terlalu banyak agensi, jabatan dan kementerian yang bertanggungjawab dalam soal industri kreatif negara. Kita juga punya terlalu banyak akta yang sebahagiannya memerlukan kajian semula oleh sebab ada yang sudah tidak relevan malah ketinggalan zaman.

Ini bukan lagi isu hak, pensepadanan atau kuasa, bagi saya ini isu masa depan industry ini. Ini soal survival! Banyak yang berpendapat bahawa kita tidak cukup pekerja kreatif untuk tujuan itu. Bagi saya, itu alasan bebal. Saya percaya kita punya petugas kreatif yang mampu bersaing dipersada dunia. Kita punya tenaga mahir untuk membuat penyesuaian dengan keperluan industri semasa. Pertugas kreatif kita terbukti berada di belakang pembangunan teknologi yang memungkinkan banyak filem-filem besar di Hollywood.

Apa yang diperlukan adalah dokongan strategik dari kerajaan – strategi masa depan yang menjadi sebahagian dari Dasar Kreatif Negara. Kita punya pekerja kreatif yang mampu menerobosi pasaran dunia sekiranya diberikan kesempatan. Kita percaya tumpuan mereka pada pasaran domestik pada masa ini adalah disebabkan kemampuan kewangan dan kurangnya sokongan institusi dalam industri. 

Mereka mahu mengorak langkah keluar tetapi perlukan sokongan agensi pemasaran dan promosi yang secukupnya.

Banyak orang berpendapat bahawa era gelmilang filem Melayu tidak akan kembali lagi. Saya tidak percaya akan hal ini. Kesilapan kita adalah kerana kita terlalu banyak membuat rujukan pada kegemilangan silam. Kita seharusnya menggunakan kayu ukur baharu dan memacakkan mercu tanda baharu. Kita harus mengukur pencapaian kita dengan kekuatan semasa orang lain, dengan kecanggihan baru teknologi, dengan kemajuan dunia perfileman negara-negara yang lebih berjaya. Kita harus memahami kecenderungan global (global trends) semasa.

Tidak ada salahnya melihat kebelakang. Tetapi kita harus juga melihat kehadapan dengan berani dan yakin.

Saya selalu mengingatkan bahawa industri kreatif bergerak pantas. Kita tidak boleh ketinggalan. Teknologi banyak memberikan impaknya. Apa yang tidak mampu dibuat satu ketika dahulu kini menjadi kenyataan. Filem Star Wars yang pertama kali muncul pada tahun 1977  kelihatan primitif hari ini. Tetapi teknologi yang diperkenalkan oleh George Lucas dalam film itu telah mengubah industri filem untuk selama-lamanya. 

Kunci katanya adalah kreativiti dan inovasi.

Saya juga melihat kebangkitan generasi baharu yang amat diperlukan dalam menyokong industri kreatif. Mereka lahir dalam era teknologi maklumat. Mereka mencorakkan industri komunikasi dan hiburan semasa. Kita juga melihat masyarakat semasa yang terasnya adalah ilmu(knowledge-based).

Maka itu industri ini memerlukan stretagi baharu bagi melahirkan pembikin filem yang disokong oleh kemahiran tercanggih dan terkini. Kita memerlukan tenaga kerja kelas dunia. Pada waktu yang sama kita mahukan pekerja seni kita berfikiran besar, mampu bersaing dan berani mengambil risiko.


Masa depan industri kreatif negara bergantung pada keupayaan kita mempersiapkan diri untuk bersaing di persada dunia.




Selamat berpesta filem!

·       Tan Sri Johan Jaaffar adalah tokoh korporat yang tidak melupakan akar seninya. Beliau pernah menjadi Pengerusi Media Prima Berhad, syarikat media terbesar negara. Beliau baru saja menerbitkan buku JejakSeni: Dari Pentas BangsawanKe Media Prima Berhad yang merupakan lakaran pembabitannya dalam seni selama 50 tahun.


No comments:

Post a Comment