Monday, February 19, 2018

Shahnon Ahmad – Bintang Gemilang Di Dada Zaman

Rencana ini tersiar dalam majalah Dewan Sastera, Februari 2018.

Oleh JOHAN JAAFFAR

Saya mendapat khabar dari teman-teman di DBP bahawa Sasterawan Negara Datuk Shahnon Ahmad tinggal bersama-sama anaknya di Bangi. Pada pagi Selasa, 16 Mei 2017, saya, Tan Sri Zainuddin Maidin (Zam) dan mantan wartawan Utusan Melayu, Rosle Azme berkesempatan menziarah beliau.

Shahnon dibawa keluar dengan kerusi roda. Beliau kelihatan uzur kerena mengidap Myasthenia Gravis (MG) yang menyebabkan komplikasi daya tahan pada otot-ototnya. Lebih sukar lagi kerana penyakit itu menjejaskan otot lidah, rahang, mulut dan kerongkong yang menyebabkan makanan sukar dikunyah dan percakapan menjadi terhad. Menurut beliau menelan ubat pun satu penyiksaan. Pada waktu yang sama otot-otot utama di seluruh badan turut merosot.

Tan Sri Zam banyak bercerita tentang hubungan istimewa beliau dengan Shahnon. Pada buku Perjalananku Sejauh Ini: Sebuah Autobiografi (terbit 2006) yang dihadiahkan untuk kami Shahnon menulis untuk TS Zam, “Kepada sahabat lama yang sibuk di Pasar Yaakob.”
Mereka sudah mengenal satu sama lain sewaktu TS Zam menyewa sebuah bilik kecil untuk menjalankan tugas sebagai wartawan sambilan dengan Utusan Melayu sewaktu berusia 18 tahun di Alor Setar. Di sanalah mereka mula bersahabat.  Malah Shahnon turut menjadi pengiring sewaktu TS Zam menikah pada bulan April 1965. 

Kami sama-sama terharu apabila melangkah keluar dari rumah anak Shahnon. Shahnon yang kami temui hari itu bukan Shahnon yang kami kenal selama ini. Lebih-lebih lagi bagi TS Zam yang mengenalnya lebih enam dekad. Saya faham kenapa TS Zam tidak turut terseret untuk “menolak” novel kontroversi Shahnon yang berjudul Shit yang terbit pada tahun 1999.  Dalam satu laporan yang tersiar dalam akhbar Utusan Malaysia  pada 26 April 1999, TS Zam sendiri menyarankan Shit tidak perlu diharamkan.

Sayogia diingat, 1999 adalah tahun “panas” bagi politik Malaysia. Tun Dr Mahathir Mohamad telah memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim, timbalan perdana menterinya pada 2 September 1998. Ekoran daripada itu berlakulah ledakan kemarahan sebahagian besar rakyat Malaysia. Maka berlakulah Gerakan Reformasi. Kemarahan terhadap Tun Mahathir membuak-buak ketika itu, khususnya di kalangan orang Melayu.

Saya turut terlibat dalam peristiwa itu. Proses “membersihkan” media dari “kroni Anwar” telah bermula awal lagi. Saya sendiri telah diminta meletakkan jawatan pada 14 Julai 1998. Pada masa itu saya menjadi ketua Pengarang Kumpulan Akhbar Utusan Melayu. Saya meninggalkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada bulan November 1992 untuk mengambilalih tempat TS Zam di Utusan Melayu. Usia saya baru 38 tahun ketika itu dan terpaksa memikul tanggungjawab memimpin akhbar milik UMNO. Pada era sebelum Internet dan media sosial, akhbar masih amat berpengaruh.

Selepas penyingkiran saya pada bulan Julai itu, Datuk Mohd Nazri Abdullah dari Berita Harian (juga salah seorang tuan punya syarikat MRCB yang memilikki syarikat New Straits Times Press) dan Sdr Yunus Said dari TV3 juga telah meletakkan jawatan.

TS Zam sendiri dilantik oleh Tun Mahathir sebagai Timbalan Pengerusi Eksekutif di Utusan Melayu bagi memastikan “kesetiaan” akhbar itu tidak berbelah bagi kepadanya. TS Zam telah “disingkirkan” oleh Tun Mahathir pada tahun 1992 dan saya mengambil alih tempatnya di kerusi yang panas itu. Dengan ketiadaan saya, timbalan saya, Datuk Khalid Mohd telah dilantik sebagai Ketua Pengarang menggantikan  saya.

Dalam konteks kontroversi ekoran penerbitan Shit, novel Shahnon yang ke-26 itu, tidak kurang 195 tulisan pro dan kontra telah direkodkan (banyaknya kontra). Banyak yang mengambil kesempatan mengecam Shahnon malah ada yang mencadangkan ditarik balik anugerah Sasterawan Negara yang diperolehinya pada tahun 1982. Shit dikatakan biadab, lucah, tidak bermoral dan macam-macam lagi. Tetapi terdapat juga  suara yang yang tidak kurang rasional mempertahankan kehadirannya, antaranya kenyataan TS Zam sendiri - sahabat yang tidak membuang persahabatan semata-mata kerana perbezaan faham politik. Walaupun Tan Sri Zam tidak bersetuju dengan novelitu tetapi beliau mengambil pertimbangan kebebasan berkarya dan bersuara dalam konteks itu.

 Sesuatu amat jelas pada Shahnon yang kami temui pagi 16 Mei itu – semangatnya kental, cintanya pada sastera tidak luntur dan ingatannya masih kuat. Namun demikian agak sukar untuk kami memahami tutur katanya. Tapi isteri beliau Datin Wan Fatimah dan anak beliau Azrul banyak membantu kami.

Saya menyerahkan buku saya Jejak Seni: Dari Pentas Bangsawan ke Media Prima Berhad pada beliau. Saya catatkan nota ini untuk beliau: “Tokoh yang saya kagumi, sasterawan terbilang, guru pada sasterawan.” Saya punya alasan mengatakan demikian. Sekiranya ada sasterawan yang besar pengaruhnya pada penulisan kreatif saya, orang itu adalah Shahnon.

Memang banyak sasterawan besar yang lain yang menyebabkan saya mencintai sastera Melayu. Saya belajar di sekolah Inggeris, maka itu lebih banyak terdedah pada sastera dalam bahasa Inggeris. Saya mengenal sastera Melayu melalui tulisan Kamaluddin Mohamad (Keris Mas), Usman Awang (Tongkat Warrant), A. Samad Ismail, A. Samad Said dan banyak lagi.

Saya menulis dari usia yang sangat muda, menyumbang untuk majalah Dewan Pelajar (terbitan DBP) dan Utusan Kanak-Kanak dan Utusan Pelajar (terbitan Utusan Melayu) sejak tahun 1968 lagi. Saya banyak menyumbang pada akhbar Mingguan Malaysia dan Berita Minggu selain majalah seperti Mastika, Wanita dan Utusan Filem dan Fesyen terbitan Utusan Melayu. Pada awal tahun-tahun 70-an saya mencuba kekuatan saya dalam bidang cerpen.

Pada tahun 1971, DBP telah menerbitkan majalah Dewan Sastera yang dipimpin oleh Usman Awang. Saya percaya ia merupakan penerbitan yang amat penting dalam sastera Malaysia. Saya kemudiannya banyak menulis untuk majalah itu dan pada tahun 1989 menjadi Ketua Pengarang majalah tersebut. Dalam bidang drama, saya telah “ditemui” oleh Usman Awang apabila saya mementaskan drama “Kotaku Oh Kotaku” sewaktu Malam Berbunga Sajak II di Panggung Eksperimen Universiti Malaya pada tahun 1975. Drama saya itu menjadi hiasan kulit depan Dewan Sastera pada bulan Mac 1976.

Melalui Dewan Sastera dan ruangan sastera majalah dan akhbar tempatan saya mengenal Shahnon melalui cerpen-cerpennya. Cerpen-cerpen beliau seperti “Denak” (Dewan Masyarakat, Jun 1970), “Kalau Ibu Sampai takah Tiga” (Dewan Sastera, Februari 1971), “Igau” (Dewan Sastera, Disember 1971),  “Lagu Kit Kit Kit” (Berita Minggu, 13 Ogos 1972)  dan “Kelapa Nan Sebatang” (Dewan Sastera, September 1973) membuka cekerawala saya pada dunia penulisan cerpen.

Saya mengagumi teknik penulisan Shahnon melalui cerpen-cerpen itu. Dalam proses awal saya untuk mencari stail dan bentuk, cerpen-cerpen itu memberikan saya inspirasi baharu. Malah saya mengakui bahawa cerpen-cerpen awal saya seperti “Surat Dari Kampung” (Mingguan Rakyat, 14 Ogos 1976), “Warkah Dari Kota” (Utusan Zaman, 27 Jun 1976), “Surat Seorang Siswa” (Mingguan Malaysia, 9 Oktober 1978) dan “Peah” (Mingguan Malaysia 16 September 1976) banyak dipengaruhi oleh gaya Shahnon.

Kesemua cerpen ini serta 11 cerpen yang lain terkumpul dalam antologi Pelarian Sang Hero (terbitan Eastern University Press, 1980), saru-satunya antologi cerpen saya.

Saya juga terdedah pada novel Ranjau Sepanjang Jalan, novel ketiga beliau yang diterbitkan oleh Penerbit Utusan Melayu pada tahun 1966. Seperti ribuah pelajar pada penghujung tahun 60-an dan awal 70-an, Ranjau Sepanjang Jalan menjadi bahan teks sastera. Generasi kami terdedah dengan kisah penderitaan keluarga petani bernama Lahuma dan isterinya Jeha serta tujuh orang anak perempuan mereka. Kami diperkenalkan dengan desa yang bernama Banggul Derdap serta banyak istilah dan ungkapan unik dari utara.

Ranjau Sepanjang Jalan adalah sebahagian daripada siri novel desanya yang bermula dengan Rentung (1965), novel beliau yang pertama. Dalam novel dan cerpenlah kekuatan Shahnon begitu ketara sekali. Shahnon menulis 33 buah novel, paling akhir Mahabbah. Banyak novelnya unik dan istimewa dan menjadi sebahagian daripada khazanah penting sastera Malaysia. Siapakah yang dapat melupakan Sampah (1974), Srengenge (1974), Seluang Menodak Baung (1978), Tuk Guru (1988), Sutan Banginda (1989) dan Tunggul-Tunggul Gerigis (1989)?

Shahnon bukan tanpa kontroversi. Novel beliau yang kedua Terdedah (1965) dianggap separa lucah. Ummi & Abang Syeikhul dihasilkan akibat pembabitan beliau dengan gerakan Al Arqam yang kemudiannya diharamkan. Soal ketuhanan dihujahnkannya dalam Protes  (1967). Beliau menyentuh isu politik dalam Menteri (1967) dan Perdana (1969). Shit tentunya menjadi novel yang paling kontroversil dalam sejarah novel tempatan kerana subjeknya.

Shahnon mengakui bahawa pada satu tahap dalam hidupnya beliau memanifestasikan “keberangan dan kepongahannya” melalui karya-karyanya. Beliau menghasilkan Kemelut (1977), Seluang Menodak Baung (1978), Patriarch (1991).    

Shahnon terbabit dalam Al Arqam kerana keyakinannya pada gerakan itu. Ini berlaku sepulangnya beliau dari Australian National University di Canberra, Australia. Selama empat tahun di sana (1968 hingga 1972) beliau juga terdedah dengan banyak perbincangan spiritual dan keagamaan. Menurut buku Perjalananku Sejauh Ini: Sebuah Autobiografi, beliau mencari “jemaah yang tersurat rapi yang sahih matlamatnya dan sahih kaedahnya selaras dengan tuntutan Islam.” Di sana juga beliau mengenali seorang paderi Katholik bernama Jim Cox. Jim Cox akhirnya masuk Islam (menggunakan nama Yaakub bin Abdullah) dan mengahwini seorang gadis Melayu dari Kampung Kangkung, Simpang Empat, Kedah. 

Dalam proses pencarian sebuah Jemaah inilah Shahnon menemui Al Arqam. Beliau mengambil masa setahun untuk memahami Al Arqam sebelum menjadi ahlinya.  Beliau juga banyak membaca tulisan pengasas Al Arqam, Ustaz Ashari Muhammad. 

Dalam buku itu beliau menulis:

“Sayang! Al Arqam agak tergesa-gesa untuk mengecap nikmat perjuangannya sedangkan nikmat itu bukan untuknya sekarang, bukan untuk anak cucu cicitnya tapi untuk generasi masa depan yang bakal tiba.”

Pengalaman beliau dalam Al Arqam dirakamnya dalam novel Ummi & Abang Syeikhul. Ada banyak pemaparan dalam novel itu yang tentunya tidak disenangi oleh ahli-ahli Al Arqam. Malah buku itu mendedahkan tentang bagaimana Abang Syeikhul menjadi pemimpin yang oleh pengikutnya dipuja dan disanjung secara luar biasa.

Beliau juga aktif dalam Pas, antara lain kerana kekagumannya pada Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz, mantan Menteri Besar Kelantan. Beliau bukan rapat pun dengan Nik Aziz, malah hanya bertemu dua kali, itupun tidak ada kesempatan untuk berbual atau berbincang. Tetapi Shahnon memiliki hampir kesemua rakaman ucapan dan syarahan Nik Aziz. Malah beliau mewujudkan sebuah ruang yang diberi nama “Pustaka Tuk Guru” di rumahnya.

Pasa waktu perdampingan dengan Pas, Shahnon banyak menulis novel yang kritikal terhadap pemerintah antaranya Sungai (1995), TIVI (1995), Igauan (1996), Pokok (1996) dan  Dongeng Hujan dan Kuda (1996). Pada kemuncak krisis penyingkiran Datuk Seri Anwar Ibrahim, Shahnon menulis novella berjusuk Nurul Anak Papaku yang ditulis khusus untuk puteri mantan Timbalan Perdana Menteri itu.

Beliau banyak kali menyebutkan sedang menyiapkan “novel terakhir” berjudul “Mahabbah” yang sehingga ini belum diterbitkan. Perkataan “Mahabbah” itu sendiri membawa makna yang tersendiri. Menurut beliau, sewaktu diumumkan sebagai penerima Anugerah Sasterawan Negara pada tahun 1982, beliau terfikir apakah agaknya tema ucapan balasnya. Dalam satu pertemuan dengan Ustaz Ashari, dicadangkan beliau bercakap tentang “Mahabbah” – “Cinta”. Maka itulah tajuk dan tema ucapan penerimaan itu, yang tersiar sepenuhnya dalam Dewan Sastera, November 1982.

Idea tentang “cinta” itulah yang mahu dipanjangkan menjadi novel terakhirnya. Wallahualam, sama ada beliau dapat menyiapkan novel itu sehingga meninggalnya.  

Salah satu polimik yang menarik dalam sastera Melayu ialah tentang sastera Islam, yang menghujahkan isu kandungan dan arah tujunya. Sebelum ini kita tahu tentang polemik “Seni Untuk Seni” dan “Seni Untuk Masyarakat” yang mencorakkan gerakan Angkatan Sasteraan 50 (Asas 50). Shahnon sendiri walaupun bukan ahli Asas 50 berpegang pada konsep “Seni Untuk Masyarakat.”  Bagi beliau sastera ada peranannya, bukan sekadar untuk berkreasi atau untuk memperagakan kebolehan berkreasi. Soalan beliau adalah, “mengapa bersastera?” – teras yang menjadikan beliau menggunakan sastera untuk sesuatu matlamat. 

Beliau mengakui bahawa sastera itu “untuk menyedarkan masyarakat, untuk masyarakat bangun meruntuhkan segala ketidakadilan, memerangi segala rasuah dan sogokan, menentang segala kepalsuan, dan penyelewengan, dan kalau perlu, mencetuskan revolusi pun khusus untuk menjatuhkan pemerintah yang zalim dan korup dan digantikan dengan pemerintah yang baru yang adil dan berilmu.”  

Walaupun polimik “sastera Islam” ini menjadi “panas” pada tahun-tahuin 80-an tetapi Shahnon telah mula membicarakannya sejak penghujung tahun 70-an lagi. Seingat saya tulisan beliau dalam majalah Dewan Bahasa pada tahun 1977 sudah menyentuh soal konsep sastera Islam itu. Pada bulan Oktober 1978, beliau menulis sebuah esei “Sastera Melayu dan Islam” dalam Dewan Sastera. Untuk majalah Dakwah pada bulan Januari 1979, beliau menulis “Nilai Imaginasi Menurut Islam”. Sementara itu pada bulan Februari 1979, beliau menulis rencana “Penerapan Islam Menerusi Karya Kreatif” dalam majalah Hikmah.

Banyak reaksi terhadap isu sastera Islam ini pada tahun-tahun70-an dan  80-an membabitkan Kassim Ahmad, Mohd Affandi Hassan, Ahmad Kamal Abdullah dan ramai lagi. Begitu menarik debat antara Shahnon dan Kassim Ahmad hingga DBP menerbitkan sembilan buah rencana berkaitan dalam buku Polimik Sastera Islam Shahnon Ahmad, Kassim Ahmad pada tahun 1987.

Kita mengagumi Shahnon kerana keupayaan sasteranya. Sejak cerpennya yang pertama tersiar (“Bingung” dalam Majalah Guru pada 24 Mei 1956) dan novelnya yang pertama (Rentung, 1965) Shahnon telah membuktikan kekuatan luar biasanya sebagai penulis kreatif. Kita juga tahu pengaruh Shahnon pada generasi sasterawan muda seperti saya dan ramai lagi. Kita mengakui bahawa beliau selayaknya memenangi Anugerah Sastera (penerima yang kedua selepas Keris Mas). Dan beliau telah memenangi sekian banyak hadiah sastera dalam pelbagai bentuk di dalam dan luar negara.

Kita juga tahu Shahnon juga tokoh akademik yang dihormati yang memulakan kariernya sebagai tutor dengan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia (USM) hingga akhirnya menjadi Professor Emeritus mulai tahun 1993.

Apa yang lebih pentingnya adalah legasinya dalam dunia persuratan.  Jasa beliau sama sekali tidak boleh dinafikan. Beliau raksaksa di dalam dunia persuratan negara – tokoh besar yang turut mewarnakan sastera Malaysia.

Di dalam autobiografinya, pada Bab ke-12 yang diberi nama “Kata Penutup Jalan”, beliau menulis, “Dan dengan ketenangan yang dikecapi itulah degupan jantung hati Endar tiba-tiba terhenti buat selama-lamanya.”

Itu berlaku pada jam 7.30 pagi hari Selasa 26 Disember 2107.

Maka berakhirlah perjalanan hidup seorang wira sastera luar biasa selama 84 tahun. Beliau manusia penuh warna warni dengan catatan kehidupan yang sangat istimewa. Juga pencipta karya sastera yang akan menjadi perbendaharaan kesusasteraan negara.

Beliau sasterawan juga ideolognya yang lantang, beliau seniman dan budayawan, beliau pencatat zaman, juga ahli politik, beliau penelaah ilmu sebagai sarjana dan seorang bapa, mentor dan idola bagi ratusan  sasterawan muda.

Beliau sememangnya bintang gemilang di dada zamannya.

Al Fatihah untuk Shahnon Ahmad. 



No comments:

Post a Comment