Pengenalan Buku Khalid Salleh: Di Mata Kami terbitan ITBM
Buku ini telah dilancarkan pada 23
September 2018 di Wisma ITBM oleh Israr Khalid, anak sulung Khalid Salleh
Oleh JOHAN JAAFFAR
Seperti pengarah filem tersohor, U-Wei
Haji Shaari, saya juga sering ditanyakan, “Wak Khalid itu siapa bagi saya?” Dan
seperti U-Wei juga, jawaban saya lebih kurang, “usah tanya saya siapa Khalid
pada saya.” Khalid adalah Khalid. Dan sehingga perginya beliau ke alam baka,
saya yang mengenalinya selama lebih empat dekad, masih menanyakan soalan yang
ditanyakan oleh U-Wei. Saya sebenarnya
masih mencari Khalid.
Benarlah kata dramatis absurd Samuel
Beckett, “the danger is always in the
neatness of identification”. Mungkin Beckett merujuk pada dirinya sendiri
yang sentiasa dianggap kompleks malah enigmatik. Mungkin juga karyawan besar
begitu sifatnya, sukar ditafsir, diduga apa lagi diidentifikasi dengan mudah.
Mungkin juga Khalid Salleh lebih sesuai dengan frasa itu, oleh sebab itu,
rumusan terbaik tentang Khalid diberikan oleh Sabri Yunus dalam koleksi ini,
“Wak memang Wak lah!”
Saya mula mengenalnya sebagai “Raden
Khalid” si penjual ubat luar biasa di Benteng, Kuala Lumpur. Sejak belajar di
Universiti Malaya (UM) bermula pada tahun 1974, saya sudah mendekati Kumpulan
Anak Alam. Dan dua sahabat karib saya yang selalu bersama-sama saya
berlegar-legar di KL adalah Muhammad Abdullah (Allahyarham) dan Omar Abdullah.
Kami sering ke Benteng bersama-sama
teman-teman Anak Alam yang lain, untuk melihat “persembahan” seorang penjual
ubat bernama Raden Khalid. Saya tidak pasti dari mana datangnya “Raden” pada
nama itu. Seingat saya ayahnya, yang juga penjual ubat, juga menggunakan nama
“Raden” – Raden Salleh. Mungkin juga itu “nama komersil” yang digunakan sebagai
penjual ubat.
Malah apabila beliau berlakon dalam
drama “Bukan Bunuh Diri” karya Dinsman yang diarahkan oleh Krishen Jit, dalam
ulasan saya yang tersiar dalam majalah Dewan
Sastera, Ogos 1977 (“Bukan Bunuh Diri: Satu Penafsiran Lain”), saya masih
menggunakan nama Raden Khalid.
Ada sesuatu yang menarik perhatian saya
pada Khalid di Benteng. Jual ubat bukan kerja calang-calang orang.
Persaingannya sengit. Di satu tempat pada satu-satu masa, mungkin terdapat
beberapa orang penjual ubat. Masing-masing bersaing untuk mendapat perhatian
orang ramai yang lalu lalang. Maka itu masing-masing menggunakan pelbagai gimik
untuk menarik perhatian.
Khalid seperti yang diceritakan oleh
Yusoff Osman dalam koleksi ini (“Khalid Salleh Penjual Ubat Sastera”) menggunakan
kaedah yang tersendiri. Bagi saya pula, bukan gimik beliau yang menarik
perhatian tetapi cara beliau berjual. Sesungguhnya amat teatrikal. Oleh sebab
saya orang teater, maka saya lebih terpukau pada “persembahan” Khalid – gaya,
gerak, ekspresi, lontaran suara dan intensitinya.
Seingat saya mendiang Krishen Jit pernah
bertanya saya tentang penjual ubat di Benteng pada tahun 1975. Ketika itu saya
sudah mula dikenal apabila mementaskan “Kotaku Oh Kotaku” sewaktu Malam
Berbunga Sajak di UM. Saya memberitahu Krishen memang saya salah seorang
peminat penjual ubat itu.
Mungkin banyak orang lain yang memberitahu
Krishen tentang Khalid. Maka itu tidak hairanlah Krishen mengambil Khalid
berlakon dalam drama “Bukan Bunuh Diri” pada tahun 1977. Dan saya salah seorang
penonton malam itu. Saya juga menulis ulasannya. Malam itu juga saya percaya
bintang baharu telah muncul di pentas teater. Khalid membawa watak Adam dengan keyakinan,
kematangan dan keunikan.
Antara lain saya menulis.
“Watak Adam didukung oleh Raden Khalid,
seorang pendatang baru yang berpotensi
besar dalam bidang teater. Ternyata Krishen Jit begitu mengambil berat setiap
gerak dan dialog pelakon ini. Itu satu keistimewaan Krishen yang tersendiri. Tiap gerak dan laku
dalam penghasilan teater ada kepentingannya yang tersendiri bagi Krishen. Bukan
mudah mahu menjadikan Raden Khalid sebagai Adam yang dikehendakki oleh
Krishen.”
Selebihnya adalah tafsiran Khalid
tentang watak Adam. Saya malah membandingkan tafsiran yang dibuat oleh Khalid
“lebih meyakinkan” daripada yang dilakukan oleh penulisnya sendiri. Saya
mungkin tidak berlaku adil pada Dinsman, tapi saya percaya, Khalid telah
memberikan dinamisme luar biasa pada Adam, lantas memperhebat dan mendalami
kekuatan watak yang amat istimewa itu.
Saya melihat transformasi seorang
penjual ubat menjadi pelakon teater di hadapan saya. Saya melihat lapisan lain
pada Khalid.
Demikianlah saya mengenal Khalid dari
gelanggang jual ubat pada mulanya hingga dia diperkenalkan di pentas teater.
Saya sudah lama bersama Kumpulan Anak
Alam sewaktu Khalid mula berjinak-jinak dengan kumpulan itu. Malah apabila
beliau mulai menetap di Studio Anak Alam pada tahun 1977, saya sudah tidak lagi
tinggal di Anak Alam. Namun saya sering ke sana. Khalid mengambil tempat Mustapha
Haji Ibrahim (Bang Tapa) yang berpindah dari Rumah JKR No 905 itu. Khalidlah
yang menjadi ketua tidak rasmi di rumah itu.
Studio Anak Alam punya cerita yang
tersendiri. Banyak kawan-kawan dalam kumpulan ini punya kisah peribadi bersama
Khalid di situ. Pyanhabib melalui tulisannya dalam koleksi ini, (“Kereta
Langgar Di Udara”) punya banyak peristiwa intim bersama Khalid. Malah menurut
cerita Pyanhbib, beliaulah yang “memperkenalkan” Anak Alam pada Khalid.
Pyanhabib bukan sahaja mengikut Khalid berjual ubat tetapi turut membantu “menguli majun yang siap diramu” untuk jualan.
Pada masa saya mula mengenal Khalid majun buatan bapanya itu dikenal sebagai
“Majun Pak Tani.” Tetapi Khalid menukar namanya pada “Majun Sirna Bayu.”
Teman-teman secara bergurau mengatakan
bahawa Khalid menukar nama itu dek terhuja dengan kejelitaan pelakon kumpulan
Teater Keliling dari Jakarta yang bernama “Deri Sirna.” Kebetulan kumpulan yang
dipimpin oleh Rudolph Puspa itu berkeliling di KL membawa “Kapai-Kapai”. Di
antara pelakon yang ikut serta adalah Buyung Zasdar, Ucok Hashim, Mayawati
Direja, Johan Kalayan dan Yayang C Noor. Salah seorang pelakon Teater Keliling
itu, Buyung Zasdar menetap terus di KL dan terbabit dengan beberapa buah
pementasan teater saya sendiri, antaranya “Angin Kering” dan “Sang Puteri”.
Beliau juga pernah tinggal di Anak Alam.
Sudah tentu cerita pertukaran nama majun
disebabkan oleh Deri Sirna itu tidak betul. Tetapi “Majun Sirna Bayu” ternyata
bunyinya lebih komersil daripada “Majun Pak Tani” walaupun produknya sama!
Meminjam istilah sekarang, itu namanya “branding.”
Khalid dan saya banyak menghabiskan masa
bersama-sama teman-teman lain di Benteng. Dan kami juga terlibat dalam banyak
aktiviti di Anak Alam. Walaupun Khalid tidak pernah berlakon di bawah arahan
saya dan saya juga tidak pernah diajak berlakon di bawah arahannya, tetapi kami
saling hormat menghormati.
Pada tahun 1979 saya mula menulis drama
TV menggunakan nama “Jaafar Khan”. Nama samara itu diberikan oleh Atondra
(Datuk Ahmad Nordin Abdul Rahman). Beliau ketika itu menjadi penyunting drama
TV di RTM. Saya mencuba menulis drama TV berjudul “Menapak Di Paya”. Beliau
menyukai skrip itu dan mencadangkan agar
Rosli Jalil menerbitkannya. Seperti yang saya ceritakan dalam buku Jejak Seni: Dari Pentas Bangsawan Ke Media
Prima Berhad (Bab 64), saya mahu menggunakan nama samaran “Hantu Semerah.”
Tetapi Atondra tidak bersetuju dengan nama yang hodoh untuk seorang penulis
skrip RTM. Saya tidak mahu menggunakan nama saya sendiri oleh sebab “Johan
Jaaffar” itu lebih dikenal sebagai dramatis pentas, saya mahu gunakan nama lain
untuk TV. “Saya bagi awak nama Jaafar Khan, boleh?” cadang beliau. Saya bersetuju.
Selepas “Menapak Di Paya” yang
dilakonkan oleh Rubiah Suparman, saya menulis “Anak Tiong Si Noni Sayang”
terbitan Hasiah Ariffin. Selepas itu kesemua drama TV saya diterbitkan oleh
Abdullah Zainol (Allahyarham), bermula dengan “Asy Syura.” Di antara drama TV
karya saya yang diterbitkan oleh Abdullah adalah “Angin Bila Menderu” “Pak Tua”
“Pendekar Raibah”, “Anjung Batu” dan “Pelari”. “Pelari” ditulis khusus untuk
Khalid.
Saya, Khalid dan Abdullah selalu minum
di belakang bangunan lama ibu pejabat
UMNO di Jalan Tuanku Abdul Rahman
(Jalan TAR). Pada satu malam Abdullah sedang membelok masuk ke ruang letak
kereta yang kosong apabila sebuah kereta memintas masuk hingga hampir melanggar
kereta Abdullah. Saya tahu Abdullah dan Khalid ada kalanya panas baran. Mereka
meluru keluar dan berdiri tercegat menghadapi empat orang pemuda sasa dalam
kereta yang satu lagi. Saya juga menumpang keberanian mereka berdua. Mungkin
mereka tidak mahu mencari gaduh atau takutkan kami bertiga, kesemuanya masuk semula
ke kereta dan keluar dari situ.
Malam itulah idea untuk sebuah drama TV
tentang seorang manusia tabah dibincangkan dengan hangat. Masing-masing punya
idea sendiri untuk drama itu. Akhirnya mereka bersetuju dengan saya bahawa saya
akan menulis drama TV tentang seorang lelaki yang menggunakan lariannya sebagai
manifestasi perasaannya.
Watak utama itu akan akan mencari makna
daripada kegilaannya berlari – baik di sepanjang lebuh raya, di taman, di mana
sahaja. Saya sendiri gila berlari ketika itu.
Ada kalanya saya berlari dari
pejabat saya di DBP hingga ke rumah di PJ. Apa sahaja alasan untuk saya
berlari. Maka menggunakan pengalaman saya menjadi “road runner” terhasillah
drama “Pelari”. Watak itu bukan sekadar “jogger” tetapi “runner” – pelari yang
sebenar! (Malang sekali saya tidak
menyimpan naskhah asal skrip itu dan RTM tidak pula menyimpan salinan tapenya).
Ada sesuatu yang menarik tentang drama
ini. Ia disiarkan oleh RTM pada bulan Januari 1981. Pada bulan Februari tahun
itu, Khalid mengarahkan drama “Si Kebayan” karya Utuy Tatang Sontani
menggunakan label Kumpulan Anak Alam. Ini merupakan drama arahan pertama
Khalid.
Krishen Jit menulis ulasannya mengenai
drama ini dalam Dewan Budaya bulan Mac
1981. Dalam ulasan itu beliau mengaitkan “Si Kebayan” dengan “Pelari.” “Si
Kebayan” dilakonkan juga oleh Omar Abdullah dan Buyung Zasdar. Agak menarik
“bacaan” Krishen tentang “Si Kebayan.”
Beliau melihat “Khalid yang lain” dalam drama itu. Menurut Krishen, Khalid
telah “membawa dirinya sendiri” dalam “Si Kebayan”. Di antara Khalid Si Penjual
Ubat dan Khalid Si Kebayan hampir menjadi satu dan serupa. Malah Khalid sendiri
menjadi tema drama itu dan “pendekatan Khalid tidak dapat dipisahkan dari
keperibadiannya sebagai seorang penganut teater kontemporari dan lebih tegas
lagi, kehidupannya sebagai seorang penjual ubat.”
Secara kebetulan tulis beliau lagi,
“Pelari” baru ditayangkan di TV. Dan bagi Krishen, “drama itu menceritakan
kehidupan Khalid sendiri” walaupn sebahagiannya fiksi. Agak menarik, drama yang
saya tulis sebagai manifestasi keresahan saya sendiri pada usia penghujung 20-an, juga memancarkan
keperibadian pelakon bernama Khalid yang juga dalam proses mencari diri.
Khalid menjadi Adam dalam drama Dinsman
dan menjadi Pelari dalam drama TV saya. Dinsman menulis tentang pencariannya
sendiri dalam “Bukan Bunuh Diri” seperti saya juga untuk drama “Pelari”.
Alangkah ironisnya apabila kedua-duanya dianggap wahana penting memperagakan
kekuatan Khalid sebagai pelakon – satu di pentas, satu lagi di TV.
Oleh Krishen dirumuskannya, “Dengan
munculnya Khalid sebagai penjual ubat di atas pentas dan TV, kita masuk kepada
satu lingkungan baru dalam teater kontemporari tempatan.”
Pada satu malam pada tahun 1979, sewaktu
saya berkunjung ke Anak Alam, saya sedang berbual dengan Khalid apabila kami
mendapat khabar seorang teman yang dikenal sebagai “Uncle” mengalami musibah yang tragik. Saya dan Khalid bergegas
ke studio seni di mana peristiwa itu berlaku. Saya baru sahaja membeli sebuah
kereta jenama “Toyota Hard Top” dua pintu. Saya masih belum biasa memandu.
Mujurlah kenderaan tidak banyak di jalan seperti sekarang. Rasa terperanjat melihat keadaan si
penggesek biola kesukaan kami yang meninggal dunia itu menghilangkan sedikit
rasa kegetaran saya sewaktu memandu
kereta yang baru dua hari di tangan saya.
Terlalu banyak kisah suka duka saya bersama
Khalid. Dan terlalu banyak juga rahsia tersimpan di antara kami. Tidak banyak
orang yang tahu rahsia sebenar kehidupan awalnya, juga perkahwinannya yang
pertama. Tidak banyak yang tahu tentang keupayaannya mengubat penyakit misteri
dan “mengalihkan awan”. Tetapi itu kisah yang lain. Bagi saya Khalid banyak
memendamkan perasaannya. Mungkin semua itu diluahkannya melalui karya-karyanya
baik puisi atau drama.
Khalid tidak politikal dalam erti kata beliau
tidak menyertai gerakan politik secara terang-terangan. Itu bukan bermakna dia
tidak prihatin pada apa yang berlaku di sekelilingnya. Tetapi beliau memilih
untuk menyatakan pendirian politiknya melalui eseinya, antaranya yang
terkandung koleksi Melayu Hilang Di Dunia yang terbit pada tahun 2011. Isu Melayu dan
Islam sentiasa dekat pada hatinya. Khalid yang kaya dengan sindiran menulis
juga puisi yang jelas nada politiknya – sebahagiannya terkandung dalam antologi
Kalau
Aku Jadi PM (2014).
Ironinya “PM” yang disimpulkan sebagai
abreviasi itu adalah “Pemikir Masa”. Antara lain tulis beliau:
“Kalau
aku jadi PM
Tak
akan siapapun mempedulikan aku
Kerana
aku adalah Si Pemikir Masa yang selamanya
Menyukat
dan membaca tanda-tanda di segenap pintu kehadiran yang bertandang menitipkan
salam
Tentang
erti kehidupan dan kematian
Di
sempadan makna ada dan tiada…”
Ada kalanya dia mengadu tentang
kekecewaannya untuk berkarya. “Aku nak buat teater, nak sumbang pada seni,
itupun susah.” Dia akan merungut, setakat merungut. Dia mengatur misalnya
program “Monolog Jual Ubat” ke Indonesia dan Singapura. Beberapa orang kawan termasuk saya
sendiri serta persatuan dan institusi seperti
PENA dan Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM) akan membantu setakat terdaya.
Sambutan terhadap persembahannya selalunya sangat memberangsangkan.
Dia tidak faham mengapa begitu sukar
mendapatkan pembiayaan sedangkan dia bukan tidak punya rekod kejayaan dalam
teater dan filem. Dia pelakon terkenal, pengarah yang dihormati dan syifu
kepada banyak penuntut seni. Malah dalam filem dia pernah menang anugerah
Pelakon Lelaki Terbaik dalam Pesta Filem Asia Pasifik 1998 kerana lakonannya
dalam filem Jogho, arahan U-Wei. Sayogia
iingat anugerah itu pernah dimenangi oleh Allahyarham Tan Sri P. Ramlee untuk
filem Anakku Sazali pada tahun 1957,
41 tahun sebelum itu.
Saya sering mengingatkan Khalid
kesulitan yang aktivis teater pernah lalui pada tahun-tahun 70-an dan 80-an.
Dalam salah sebuah tulisan Dinsman untuk Dewan
Budaya, November 1983, beliau menceritakan bagaimana seorang pegawai
Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan (KKBS) ketika itu berasa pelik mengapa
“orang teater marah-marah.”
Jawaban Dinsman saya anggap klasik, “Kalau
tidak menggunakan pendekatan marah-marah begitu belum tentu kita dapat pecahkan
tembok penghalang komunikasi kita, belum tentu kita dapat menembusi dinding
nilai institusi KKBS yang menjadi tembok penghalang kerjasama antara KKBS
dengan orang-orang teater selama ini.”
“Kemarahan” itu membuahkan gerakan
“Teater Generasi Ketiga” yang membabitkan saya dan aktivis ketika itu antaranya
Dinsman, Hatta Azad Khan, Zakaria Ariffin, Sutung Umar RS, Latiff Arif, M.
Hanafiah A. Samad, Kamaruzzaman Ibrahim dan lain-lain.
Kemarahan orang teater tidak berakhir
rupanya. Pada tahun 2017/18 Khalid masih
perlu marah-marah akibat kesukaran untuk memaju dan mengembangkan teater. Bukan
Khalid sahaja yang kecewa, Seniman Negara Rahman B yang berharap akan
mementaskan Bangsawan terakhirnya juga sehingga rencana ini ditulis, masih menunggu
pembiayaan.
Saya dapat memahami antara lain punca
kekecewaan Khalid. Penelaah, pengarah dan pelakon teater Zakaria Ariffin yang
juga pernah menjadi pensyarah di ASWARA menyumbangkan tulisan yang amat menarik
di sini, “Khalid Salleh: Seniman Alam Yang Rencam.” Menurut Zakaria apabila
beliau memenangi Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik dalam Festival Filem Asia
Pasifik ke-42, “kemenangannya itu seolah-olah dipandang sepi oleh pihak yang
berkenaan.”
Zakaria yang mengikuti perkembangan
Khalid sebagai penjual ubat dan kemudiannya menulis drama TV untuk Khalid
memberikan banyak insight baharu tentang tokoh ini.
Tetapi Khalid tetap Khalid. Khalid tidak
putus asa. Dalam menghadapi kesakitannya, dia masih mahu berteater. Maka dia
menulis dan mengarahkan “Kena Main” yang dipentaskannya di Istana Budaya pada
bulan Mac 2015. Itu merupakan produksi besar yang terakhir untuknya. Sejak pertama kali diperkenalkan oleh Krishen
Jit pada tahun 1977, beliau telah memperkaya teater Malaysia. Sudah 38 tahun
berlalu sejak pertama kali beliau membawakan watak Adam dalam “Bukan Bunuh
Diri” hingga arahan beliau yang terakhir, “Kena Main.”
Salah sebuah tulisan yang sangat
mengharukan dalam koleksi ini ditulis oleh Ibu Ken Zuraida, balu dramatis dan
penyair terbilang Indonesia, W.S. Rendra. Rupanya Ken dan Khalid sepakat
berhasrat untuk mengetengahkan repertoire “Kelambu Maya”. Mereka banyak
bercakap tentangnya setiap kali bertemu.
Malah di dalam rencana berjudul “Kelambu Maya Kita, Bang Khalid”, Ken menulis “Sungguh repertoir ini telah
menjadi hantu dalam kepala saya dan kepala Khalid juga. Ketika saya utarakan
padanya, ia tertawa berderai-derai. Ia bilang hantunya makin hari makin
membesar.”
Ken mengenali Khalid sejak lama tetapi
hanya dua tahun kebelakangan ini menjadi rapat semula. Saya teringat Ken pernah
hadir dalam majlis perkahwinan anak perempuan Khalid beberapa tahun yang lalu
di perkarangan Rumah Pena.
Janji Ken, “Soal Kelambu Maya kita,
takan begitu saja pergi daripada kepalaku. Aku akan terus upayakan agar ia bisa
terlaksana. Jika teksmu itu ada jodohnya dengan orang yang tepat ia akan
kuhadirkan untuk publik serumpun kita. Untuk itu ku mohon izinmu, Bang Khalid.”
Dalam filem, beliau pernah terbabit dengan beberapa buah
filem yang boleh dilupakan sehinggalah U-Wei mengetengahkannya dalam Kaki Bakar sekembalinya dari berkelana
di New York selama lebih 10 tahun.
Selepas itu U-Wei membawanya memainkan watak utama dalam filem Jogho yang didasarkan dari novel S.
Othman Kelantan, Juara. Dan
seterusnya Buai Laju-Laju.
Maka wajarlah U-Wei berasa terhuja
dengan Khalid. Khalid tidak berlakon. Khalid memainkan watak itu secara semula
jadi. Cuma dia tekun, khusuk dan tidak mahu diganggu apabila menghayati watak
yang dibawakannya. Sebagai pelakon, saya melihatnya masih Raden Khalid yang
saya kenal di Benteng – dia sedang berjual ubat, bersahaja, tapi penuh tumpuan
lagi intens. Hal ini juga diakui oleh Krishen Jit. Khalid membawakan nuansa
baru pada filem, dengan meminggirkan
glamour dan lakonan tradisional.
Saya melihat kemuncak keupayaan lakonan
Khalid dalam Hanyut arahan U-Wei. Ini
filem luar biasa yang disesuaikan dengan penuh hati-hati dan cerdik oleh U-Wei
dari novel Almayer’s Folly oleh
novelis Jospeh Conrad. Saya pengagum Conrad sekalipun saya tidak menyenangi
pemaparan stereotaip Conrad tentang orang Timur atau “orang lain yang bukan
Barat” (“the Others). Tetapi saya
menghargai Almayer’s Folly seperti
juga saya menggilai The Heart of Darkness
dan Lord Jim dua novel beliau yang lain.
Maka itu saya berasa cemas apabila U-Wei
menyatakan hasratnya untuk membuat adaptasi novel kesukaan saya ke layar perak.
Banyak kali saya menulis tentang hasrat U-Wei di dalam kolom saya di New Straits Times. Kewaspadaan saya juga
dikesan oleh U-Wei. Tetapi U-Wei tidak menghampakan saya. Saya pernah menonton
adaptasi yang dibuat oleh Chantal Akerman pada tahun 2010 dari novel yang sama.
Saya berasa sedikit kecewa kerana “kesetiaannya” pada novel itu menggangu
keaslian filem itu.
U-Wei memilih jalan lain. Setia yang
derhaka. Dalam derhaka terhadap kesetiaan itulah, Hanyut menjadi lebih istimewa. Saya kagumi arahannya, reka setnya,
lebih-lebih lagi aspek lakonannya. Saya akan menyentuh hanya dua nama – Sofia
Jane yang memberikan digniti pada makna “kegilaan” dalam lakonan filem dan
Khalid yang menjadikan watak Orang Kaya Tinggi bagaikan Si Kitul baru pada era
pendudukan Barat.
Watak yang dibawakan oleh Khalid
mengingatkan saya pada Grima Wormtongue dalam filem The Lord of the Rings dari novel JR Tolkien yang diadabtasi oleh
Peter Jackson. Seperti Orang Kaya Tinggi yang menjadi penasihat pada orang
besar setempat, Grima Wormtongue adalah penasihat kepada Raja Theoden dari
Rohan. Mereka sama-sama-sama licik lagi menjijikan. Dalam tulisan saya dalam Star
Online (“Tribute to Khalid Salleh, the medicine seller who redefined acting),
saya menulis, “it was his character, Orang
Kaya Tinggi, that propelled him to a new high in his acting career.’
Mungkin benar kata Ku Seman Ku Hussain
dalam “Khalid Salleh Pemikir Jalanan” bahawa U-Wei benar-benar dapat menghargai
bakat alam Khalid. Beliau bukan sahaja melonjakkan nama Khalid di filem tetapi
juga membawanya ke pentas dalam drama “Wangi Jadi Saksi.”
Ku Seman merumuskan, “Sebagai Kakang
dalam Kaki Bakar atau Mamat dalam Jogho, Khalid memberikan suatu yang
sangat luar biasa kepada U-Wei Hj Shaari. Pemilihan Khalid untuk kedua-dua
filem ini dan teater Wangi Jadi Saksi adalah kecemerlangan U-Wei Haji Shaari membaca
dan menyusun Khalid.”
Tulis Ku Seman lagi, “Aktor hebat hanya
untuk pengarah yang hebat.”
Khalid pergi meninggalkan kita pada 23
Julai 2018.
Koleksi ini merupakan rakaman
penghormatan teman-teman beliau yang sejak sekian lama menjadi sebahagian
daripada kehidupannya. Saya berbangga dapat menyumbang dalam koleksi yang amat
bermakna ini. Dan saya lebih berbangga kerana banyak teman-temannya di sini
mengambil masa merakamkan penghargaan mereka pada Allahyarham Khalid.
Saya tidak mengenal secara dekat kesemua
yang menulis di sini, tetapi saya dapat merasakan kesan tulisan mereka yang
datang dari lubuk hati. Ada nada kesedihan di dalam tulisan ini – tetapi berisi
banyak insight yang bermakna untuk mengenal siapa sebenarnya Khalid, up, close and personal, dengan izin.
Tulisan di sini penuh keanekaragaman. Pemuzik dan penyanyi jalanan Sani Sudin
menyumbang pemerhatian yang cerdik dan serius dalam “Monolopong Di Dalam Dalam
Wak Khalid”. Komposer dan penyanyi
terkenal Datuk M Nasir menulis kesan ringkas tentang Allahyarham dalam “Khalid Salleh: Rohaninya Yang Indah”.
Novelis, cerpenis dan penerbit TV Zainal
Rashid Ahmad menulis tentang “Khalid Salleh: Perginya Seniman Penjual Ubat”
dengan penuh hemah. Dr Mohammad Puat Bebit seorang “pelajar” yang tekun melihat
Khalid sebagai idola dan gurunya. Pengalaman itu dirakamkan dengan cermat dalam
“Mainan Wak, Bukan Main-Main, Bukan Lawak”.
Tiga orang penulis lain yang turut
menyumbang tulisannya dalam kumpulan ini adalah Saidin Omar, Azalan Hussain dan
Anuar Manshor. Anuar Manshor seorang editor menceritakan secara lucu bagaimana
dia dan Allahyarham Rahimidin Zahari berjaya memujuk Khalid untuk menukar judul
buku dari “Benda Sulit” pada “Pandirnya
Pandir” (“Benda Sulit Khalid Salleh”). Azalan Hussain membawakan anekdot lain
yang mengesankan bersama Khalid dalam “Tiada Lagi Tembangmu”. Saidin Omar
dengan penuh hormat merakamkan hubungannya dengan Khalid melalui “Pelangi Wak.”
Melalui tulisan 37 orang penyumbang untu
koleksi ini (maaf, tidak semua dapat saya sentuh dalam ruang yang terbatas ini) kita cuba membuka lapisan demi
lapisan manusia bernama Khalid. Kita bagaikan watak Peer dalam drama Henrik
Ibsen berjudul “Peer Gynt” yang cuba mencari dan mengenal kompleksiti manusia
bernama Khalid. Peer membuka selapis demi selapis lapisan bawang.
Seperti Peer kita tidak sepenuhnya
berjaya. Khalid masih perlu dicari
dengan studi yang lebih mendalam. Khalid yang kita lihat dalam tulisan, di
pentas teater, di TV dan di filem hanya manifestasi lapisan-lapisan kreativiti
yang masih perlu dihuraikan.
“Jangan tanya saya kenapa dia. Juga tak
perlu. Saya akan buntu memikirkannya.”
Demikian rumusan U-Wei.
“Begitulah Wak!” Rumus Sabri.
Saya bersetuju dengan mereka. Dan saya
berasa amat kehilangan.
Selamat jalan Pemikir Masa!
Al Fatihah untuk Khalid!
- Bukit
Gasing, Petaling Jaya, Selangor.
27 Ogos 2018.
· Tan Sri Johan Jaaffar telah menghasilkan Jejak
Seni: Dari Pentas Bangsawan ke Media Prima Berhad, yang merakamkan pengalaman luar
biasanya selama 50 tahun sebagai penonton, penulis skrip, pengarah, pelakon, penerbit dan penelaah seni dan budaya. Beliau
juga merupakan tokoh wartawan dan tokoh korporat.
No comments:
Post a Comment