Monday, July 18, 2016

ZIARAH KARYA MENGENANG USMAN AWANG


Ucap Utama
Oleh JOHAN JAAFFAR

ZIARAH KARYA MENGENANG USMAN AWANG

Chalet Pak Ya, Teluk Senangin, Segari, Lumut, Perak
16 Julai 2016.



Pada 29 November tahun ini, genaplah 15 tahun Sasterawan Negara Datuk Dr Usman Awang kembali ke Rahmatullah.

Bagi banyak orang beliau seorang sasterawan besar, ikon, imej kesenimanan tulen, tokoh terbilang, suara bicara kemanusiaan dan conscience rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Bagi saya dan banyak teman-teman yang pernah mendampingi dan bekerja dengannya, Allahyarham yang juga kami panggil “Tongkat” (mengambil sempena nama samara beliau “Tongkat Warrant”) adalah seorang bapa, mentor dan sahabat.

Lebih daripada itu, beliau seorang pendengar, pelindung, penenang, pembelai, penyayang. Tanyalah teman-teman di Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Sastera (BPPS) Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun-tahun 70-an dan 80-an yang berkesempatan bersamanya, Usman adalah manusia istimewa – dalam ramah, lembut dan bersantun, penuh karisma, dikagumi dan bersarat enigma.  

Demikianlah saya, anak kampung yang dihantar ke sekolah Inggeris pada tahun 1960 yang mengenal nursery rhyme, gospel songs, drama Shakespeare dan puisi-puisi Bryron, Keats dan TS Eliot, juga novel James Joyce dan TS Lawrence, tiba-tiba terdedah dengan baris-baris puisi Usman Awang yang indah, luar biasa dan mengagumkan.

Siapakah yang dapat melupakan baris-baris ini:

Uda dan Dara
Bersumpah keramat cinta
Kering lautan runtuh langit
Terbelah gunung gugur matahari
Berdua bersama
Berdua sehidup semati   - Uda dan Dara

Tubuh kecil itu mengingatkan daku
Sebatang pinang di desa sepi
Kurus dan tinggi
Ketika ribut besar
Pohon sekitarnya rebah terkapar
Dan pohon pinang tegak menanti
Sinar matahari pag   - Gadis Kecil

Akan kupintal buih-buih menjadi tali mengikatmu
Akan kuanyam gelombang-gelombang
Menjadi hamparan
Ranjang tidurmu  - Kekasih

Kami mengunjung pusara bonda
Sunyi sepi di sinari suria
Wangi berseri puspa kemboja
Menyambut kami mewakili bonda  - Ke Makam Bonda

Punya satu isteri mahu dakap sampai mati
Lima anak mahu makan setiap hari
Teratak tua digayuti cerita pusaka
Sebidang tanah tandus untuk huma
Kulit tangan tegang berbelulang
Biasa mengeluar peluh berapa saja   - Pak Utih


Saya mengenal sastera Melayu selain Indonesia sewaktu dalam tingkatan enam – lalu mulalah saya dioleng oleh karya besar Syed Sheikh Ahmad Al Hadi, Harun Aminurashid, Marah Rusli,  Hamka, dan kemudiannya A. Samad Said, A. Samad Ismail dan Abdullah Hussein dan puisi-puisi Baharuddin Zainal, T Alias Taib, Muhammad Haji Salleh dan Yassin Salleh selain Amir Hamzah, Chairil Anwar dan Sitor Sitomurang.

Ini dunia baharu yang istimewa bagi saya.


Tetapi Usman Awang sudah menjadi sebahagian daripada psyche saya sejak saya mendampingi kumpulan Bangsawan Bintang Timur Opera yang bermain di kampung saya pada awal tahun 60-an. Ada surat-surat istimewa yang dikirimnya pada seorang primadona Bangsawan tersohor yang diminta oleh primadona itu bacakan padanya. Nama Usman Awang mula terpahat dalam ingatan saya. Walaupun saya hanya mengenalnya dari dekat hampir dua dekad kemudian.

Perihal beliau jatuh hati pada primadona ini bukan rahsia lagi. Malah dalam salah sebuah tulisan beliau, Usman Awang mempertahankan “anak wayang” yang ketika itu mendapat kecaman masyarakat elitis yang tidak menghormati budaya sendiri dan masyarakat umum yang berprasangka.

Malah saya bernasib baik kerana sahabat karibnya sewaktu beliau menjadi polis di Melaka adalah orang kampung saya. Kisah mereka bertiga terakam dalam novel Tulang-Tulang Berserakan, satunya novel Usman.

Saya mengenal Usman Awang juga melalui drama-dramanya. Saya aktif dengan kumpulan Sandiwara, yang menggunakan bahan-bahan tinggalan Kumpulan Bintang Timur Opera yang jatuh bankrap di kampung saya. Pada tahun 1970  Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ketika itu mengadalan pertandingan drama peringat nasional. Drama wajib adalah pilihan di antara   “Menyerahnya Seorang Perempuan”  dan “Denyut Jantung”, kedua-duanya karya Usman Awang. Badan Bistari, nama kumpuan Sandiwara kampung saya,  telah memilih “Menyerahnya Seorang Perempuan”.

Dua hari sebelum kami ke Muar untuk pertandingan peringkat daerah, pelakon yang membawa watak Tun Ali dihinggapi campak. Kumpulan jadi panik. Tidak ada orang lain yang menghafal dialog Tun Ali melainkan saya. Saya berusia 17 tahun ketika itu. Tun Ali ialah Bendahara Melaka yang dicabar oleh Tun Perak. Sultan Melaka harus membuat pilihan sama ada mengekalkan Tun Ali sebagai Bendahara dan berdepan dengan krisis terburuk dalam sejarah kerajaan itu atau mengambil Tun Perak tetapi akan menghadapi resiko perang saudara. Sultan telah menghantar Sri Amerta, seorang pembesar Melaka untuk bertanya apakah yang dimahukan oleh Tun Ali.

Tun Ali meletakkan syarat untuk mengahwini Tun Kudu, kakak Tun Perak, yang juga Permaisuri Melaka sebagai ganjaran untuk beliau mengundurkan diri.

Apa yang ditulis oleh Usman Awang tentang keinginan Tun  Ali akan terakam sebagai salah sebuah dialog terbaik dalam sejarah drama negara ini:

TUN ALI: Dapatkah kau menyatakan padaku, perempuan manakah di bumi Melaka ini yang cantiknya separas bulan, yang lembutnya mengutus angin, suaranya buluh perindu gunung Ledang, rambutnya mayang mengurai ketika petang….ditambah dengan bidang dadanya tekukur diagah, lembut lengannya baldu Cina, harum tubuhnya cempaka digunung, bersama sifat lembut menyerah, merelakan tiap gerak dan laku seorang lelaki, lelaki yang tahu menumpahkan berahi.

Saya dituakan, dimake-up tebal dan dijadikan si biang keladi dan ulat bulu. Saya menang Pelakon Pembantu Terbaik kerana lakonan itu. Sewaktu saya mengambil hadiah, Pegawai Daerah bertanya saya, “Mana pelakon tadi?” Dia terperanjat apabila saya memberitahu beliau, sayalah yang memainkan watak Tun Ali.

Malangnya apabila drama itu mewakili daerah ke Johor Bahru, kumpulan kami tidak menang apa-apa hadiah, termasuk pelakon Pembantu Terbaik Lelaki yang saya menangi di Muar. Watak itu dibawakan oleh pelakon asal.

Sewaktu saya di Universiti Malaya saya mula berjinak-jinak dengan kumpulan Anak Alam, yang mendapat belaian dan naungan Usman Awang. Anak Alam banyak terhutang budi pada beliau kerana banyak bakat-bakat dari kalangan Anak Alam – yang mendapat ruang untuk berkarya di DBP, khususnya dalam majalah yang beliau pimpin, Dewan Sastera yang mula terbit pada tahun 1971.

Saya harus mengakui bahawa saya “ditemui” oleh Usman Awang. Pada tahun 1975, saya mengarahkan “Kotaku Oh Kotaku” sewaktu Malam Berbunga Sajak II di Panggung Eksperimen UM. Itu percubaan saya yang pertama mengarahkan drama di UM. UM menggelegak dengan kegiatan seni ketika itu dan dalam bidang teater, Dinsman sudah mencipta nama sebagai dramatis eksperimental.

Pementasan “Kotaku Oh Kotaku” menarik perhatian Usman Awang. Banyak orang memberi pujian pada saya malam itu. Tetapi saya tidak dapat melupakan Usman yang bersalam memberi tahniah pada saya selepas pementasan itu. Dia memuji-muji persembahan itu. Dia juga menyatakan kegembiraannya kerana tema yang saya bawakan. “Johan pejuang rakyat melalui drama ini,” kata beliau.

Dua bulan kemudian, Dewan Sastera keluaran bulan November 1975 membuat laporan mengenai Malam Berbunga Sajak II. Tulisan “Sri Semantan” dalam majalah itu menyebutkan, “Paling menarik ialah Kotaku Oh Kotaku drama karya Johan Jaaffar, bukan semata kerana Johan Jaaffar memusatkan dan menggabungkan tukang sapu, pengangkat najis dan pelacur, tetapi juga mempertentangkannya dengan golongan seniman dan establishment. Ada semilu ejekan terhadap golongan seniman dan birokrat….”

Menurut tulisan itu lagi, “Bagaimanapun Johan Jaaffar ternyata seorang penulis dan mahasiswa yang menjanjikan, kesedaran dan sikapnya sudah terserlah.”

Saya percaya Sri Semantan adalah Usman Awang sendiri.

Pada satu hari dalam bulan Mac 1976, penulis Dharmawijaya atau nama sebenarnya Kamaruzaman Abdul Kadir yang pada  masa itu senior saya dalam tahun ketiga Jabatan Pengajian Melayu (JPM) bertanya apakah saya sudah melihat Dewan Sastera yang terbaru.

Maksud beliau Dewan Sastera keluaran bulan Mac 1976. “Pergi cari, drama kau kat kulit depan,” dia memberitahu saya.

Dewan Sastera belum dijual di kampus. Saya betul-betul ketiadaan wang masa itu. Minyak motorsikal pun tak ada. Saya meminjam duit seorang teman dan mengisi minyak RM2 dan keluar ke Kuala Lumpur mencari Dewan Sastera yang terbaru. Di sebuah kedai di Bangsar saya melihat Dewan Sastera tergantung. Saya melihat memang benar drama “Kotaku Oh Kotaku” dijadikan hiasan kulit. Nama saya tertera dalam tulisan merah bersama masthead majalah itu. Enam keping gambar dijadikan montaj hiasan. Hassan Majid membuat ilustrasi kulit majalah itu.

Sekali lagi saya tergamam dan terharu. Saya tidak pernah mengimpikan bahawa satu hari nanti nama saya akan tercatat di kulit depan sebuah majalah sehebat Dewan Sastera. Apa lagi untuk membayangkan bahawa drama saya menjadi hiasan kulitnya. Saya telah melalui jalan yang panjang dan berliku untuk sampai ke situ. Saya bermula dengan menjadi budak suruhan keluarga Bakar M dan Rahman B di kampung saya sewaktu mereka datang dengan Bintang Timur Opera. Saya terbabit dalam kegiatan Sandiwara bersama Cikgu Misdi Abu Bakar dan kumpulan Badan Bestari Sungai Balang. Saya pernah berada di pentas Wayang Cina dan menjadi ku xiao zi  atau “tukang nangis” dalam  upcara kematian orang Cina.

Apabila saya berkhidmat di DBP pada 1 Julai 1977, saya sepertikan berasa berada dalam sebuah dunia yang luar biasa. Disitulah tempat berhimpunnya karyawan terbaik seperti Kamaluddin Muhammad (Keris Mas), Abu Yazid Abdidin (Wijaya Mala), Abdul Wahab Muhammad (Awam-il-Sarkam), Abdullah Hussain, Baharuddin Zainal, (Baha Zain), Ahmad Kamal Abdullah (Kemala), Anwar Rithwan, Dinsman, Syed Jaafar Husin, Shamsuddin Jaafar, A.M. Thanim, Wan Umar Ahmad (Sutung Umar RS), A. Ghani Abdullah dan ramai lagi.

Demikian hebatnya BPPS, dari 13 penerima Anugerah Sasterawan Negara sehingga ini, enam orang datangnya dari DBP, dan kesemua enam orang itu dari BPPS – Keris Mas, Usman Awang, Abdullah Hussain, Anwar Rithwan, Ahmad Kamal Abdullah dan Baharuddin Zainal.

Selama 15 tahun saya di DBP sebelum saya menjadi Ketua Pengarang Kumpulan Akhbar Utusan Melayu.

Pada 14 Julai 1998 saya  meninggalkan Utusan Melayu. Saya terapung-apung di luar, tidak dianggap kosher (halal) lagi kerana saya dianggap kroni Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI). Apabila DSAI disingkirkan pada 2 September 1998, banyak kawan-kawan yang rapat dengan beliau dipinggirkan. Stigma pada saya amat hebat.

Pada saat-saat sukar itulah saya kembali pada Usman Awang, meminta pandangan atau sekadar berbual-bual dengannya. “Sabar,” katanya. “Kita harus lalui semua itu dengan tabah. Johan akan kembali ke arus perdana,” kata beliau.

Saya tahu Usman memahami dilema saya. Beliau pernah menjadi wartawan. Beliau berkhidmat di Utusan Melayu semasa akhbar itu di Cecil Street, Singapura lagi. Terlalu banyak peristiwa pahit yang telah beliau lalui. Pada tahun 1961 apabila ada usaha untuk mengambil alih Utusan Melayu oleh UMNO, warga Utusan Melayu memprotes. Mereka mahukan Utusan Melayu  bebas dari kekangan politik. Mereka mahu Utusan Melayu terus menjadi suara keramat yang mempertahankan kepentingan orang Melayu.

Wartawan Utusan Melayu melancarkan mogok yang bertahan selama 90 hari. Pengarang Utusan Melayu, Said Zahari ditahan di bawah Operasi Cold Storage di Singapura. Beliau mencipta rekod sebagai salah seorang tahanan ISA paling lama di negara ini – 17 tahun.

Dalam keadaan tegang dan cemas itulah, Usman Awang menghasilkan sajak “Duri dan Api”. Di antara bait yang paling diingat ialah:

“Kawan-kawanku yang dikasehi,
Di belakang duri di depan api
Kita tidak bisa undur lagi
Duri dan api, tajam panasnya kita hadapi.”

Apabila beliau meninggal dunia, saya telah dihubungi oleh akhbar Utusan Malaysia agar menulis belasungkawa untuk beliau. Rencana yang tersiar pada 30 November 2001 itu berjudul “Usman Awang Yang Saya Kenal.” Apa yang menarik ialah, itulah rencana saya yang pertama disiarkan oleh akhbar yang pernah saya pimpin sejak saya tinggalkan pada 14 Julai 1998! Syarikat itu mengambil masa 40  bulan atau tiga tahun empat bulan untuk memberi luang pada mantan Ketua Pengarangnya menulis untuk akhbar yang pernah dipimpinnya. 

Benar ramalan Usman Awang bahawa saya “kembali ke arus perdana” – 11 tahun setelah meninggalkan Utusan Melayu saya menjadi Pengerusi Media Prma Berhad. 

Saya juga banyak “berhutang” pada Usman Awang. Salah satunya adalah janji untuk menulis sesuatu bersama beliau. Pada kira-kira tahun 1980, sewaktu beliau masih menjadi Timbalan Ketua Bahagian BPPS, saya menceritakan pada beliau saya baru pulang dari kampung kelahiran beliau yakni Tanjung Lembu, Kuala Sedili, Kota Tinggi Johor. Saya juga telah melawat makam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang di pinggir Sungai Johor di Kota Tinggi.

“Saya sentiasa terfikir untuk menulis kisah itu,” kata Usman Awang. Kisah Panglima Bentan yang berkorban untuk rajanya tetapi isterinya dibunuh semata-mata kerana makan seulas nangka memang tragis.

Saya mencadangkan beliau menulis kisah itu. Beliau memandang saya dan berkata, “Kenapa Johan tak tulis?”

Saya memberitahunya kisah itu akan menjadi lebih hebat daripada “Uda dan Dara” yang beliau hasilkan. Saya percaya buah tangannya diperlukan untuk menghasilkan sebuah tragedy sehebat itu.

“Apa kata kita tulis bersama?” Dia menyarankan. Saya menganggapnya gurauan.

Usman bersara dari DBP pada 12 Julai 1983. Saya sudah berada di DBP selama enam tahun waktu itu. Pada tahun 1987, Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad (Tun sekarang) melancarkan dua buah buku beliau, Puisi-Puisi Pilihan Sasterawan Negara Usman Awang dan Drama-Drama Pilihan Sasterawan Negara Usman Awang. Saya diberikan amanah untuk merencanakan produksi khas malam itu. Saya membawakan petikan daripada drama “Menyerahnya Seorang Pahlawan” dan “Matinya Seorang Pahlawan”. Saya juga meminta kerjasama pelajar-pelajar Maktab Perguruan Ilmu Khas (MPIK) untuk mementaskan sebahagian daripada “Uda dan Dara”.

Beliau amat berpuas hati dengan arahan saya. Sebelum pulang dia berbisik, “Bila Johan nak tulis drama kita tu?”

Saya hampir-hampir lupa bahawa beliau pernah menyarankan kami menulisnya bersama tujuh tahun sebelum itu.

Beberapa kali saya menemuinya di rumah selepas itu. Beliau semakin uzur. Tentulah beliau bertanya tentang kawan-kawan di BPPS. Kami bercakap tentang karya dan setiap kali beliau akan menanyakan tentang “drama kita.” Secara jujur saya sudah menulis beberapa adegan drama itu yang saya tulis dalam bentuk muzikal tetapi saya malu untuk menunjukkan pada beliau.

Dia memberikan gambaran watak-watak utama dalam drama itu – Sultan Mahmud dan Panglima Bentan. Prinsipnya ialah “raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah” sesuai dengan persetiaan atau kontrak sosial Sang Sapurba dengan Demang Lebar Daun dalam kitab Sejarah Melayu.

 
Sehingga beliau meninggal pada tahun 2001, skrip itu tidak bertulis.

Tidak ada siapa yang dapat menafikan bahawa Usman Awang berjasa besar pada dunia sastera tanahair. Beliau dinobatkan sebagai Sasterawan Negara pada tahun 1983, orang yang kedua menerima penghormatan itu. Bagi saya Usman Awang telah membuktikan keupayaan Bahasa Melayu sebagai wahana sastera paling tinggi.

Dalam belasungkawa saya dalam Utusan Malaysia saya menyebutkan bahawa beliau “seorang tukang terbaik memahatkan kreativitinya menggunakan ungkapan, untaian, frasa dan kata-kata yang tepat dan indah.”

Beliau telah membuktikan bahawa pengucapan yang indah dapat digarap dalam Bahasa Melayu. Beliau telah “menyempurnakan penggunaan kreatif” bahasa itu. Beliau sebenarnya Shakespeare kita!

Bagi saya sendiri, Usman Awang sentiasa di hati saya. Saya telah melalui perjalanan seni yang jauh dan panjang dari pembabitan saya sebagai penarik tiri Bangsawan kumpulan Bangsawan Bintang Timur Opera yang bermain di kampung saya, Kampung Sungai Balang pada tahun 1960 hinggalah akhirnya saya menjadi Pengerusi Media Prima Berhad dari 2009 hingga 2015. Semuanya saya rakamkan dalam buku yang bakal diterbitkan oleh DBP yang berjudul Jejak Seni Johan Jaaffar: dari Pentas Bangsawan Hingga Media Prima Bhd. Dalam seluruh jejak seni itu, saya sentiasa menyedari “kehadiran” Usman Awang sebagai sumber inspirasi dan kekuatan saya.

Negara terhutang budi pada beliau kerana beliau memaparkan nilai kemanusiaan yang tinggi. Humanisme universal yang dipegangnya melampuai ras dan agama, darjat dan keturunan. Beliau menjadi suara bicara setiap warga di negara tercinta ini. Seperti yang beliau nukilkan dalam novel karyanya satu-satunya Tulang-Tulang Berserakan yang merosakkan manusia ialah kebencian, prasangka, dendam dan kecurigaan.

Bagi Usman Awang kejahatan tidak mengenal bangsa begitu juga kebaikan. Tidak banyak karyawan Melayu yang diterima oleh orang bukan Melayu. Usman Awang adalah pengecualian. Usman Awang melihat “merpati putih” sebagai simbol keamanan.

Usman terlalu istimewa bagi sastera tanahair. Beliau adalah bintang cemerlang yang menyinari jejak-jejak di pantai  zaman. Beliau menjadikan sastera medan juang membangkitkan keinsafahan – tanpa perlu menjadi ganas, menjadi biadab, menjadi kurang ajar. Beliau membentuk keMelayuannya tanpa perlu mengenepikan orang lain. Beliau mendakap kemanusiaan sejagat bukan sebagai satu doktrin tetapi satu keyakinan, iltizam malah penanda aras perjuangan.

Kita tahu sumbangan beliau sebagai sasterawan, sebagai ideolog Angkatan Sasterawan 50 (Asas 50), sebagai pengurus budaya di DBP dan lebih penting sebagai abang, bapa dan mentor pada entah ratusan sasterawan serta menjadi sumber inspirasi bagi mungkin jutaan yang lain.

Pada petang ini, di sini, saya mewaili teman-teman, kalangan sasterawan dan budayawan, dan rakyat negara seluruhnya serta mereka yang sehaluan dengan citra kemanusiaannya untuk menyatakan penghormatan kita pada beliau.

Moga-moga Ziarah Karya Memperingati Usman Awang ini seadil-adilnya menjadi  petanda penghormatan kita buat manusia yang sedemikian besar dan perkasa.

Izinkan saya memetik ungkapan beliau yang terpampang di pintu masuk lama Perpustakaan Universiti Malaya:

Kota kebenaran penaung kebebasan ucapsuara
Dari ruang ini bersinar-sinar keagungan pemikiran
Menghayati teluk-teluk zaman demi zaman
Tanpa prasangka tanpa batas benua.


Itu persepsi beliau tentang sebuah gapura ilmu.

Tetapi baris-baris indah itu juga memancarkan sikap, pendirian dan pandang dunianya tebagai sasterawan dan humanis!


Terima Kasih. 

Monday, June 20, 2016

Me, Rugby and Super Mokh

Foreword to

Me, Rugby and Super Mokh

By AHMAD MAHMUD




An Incredible Journey Down Memory Lane

Nostalgia excites. Bringing back stories from the past is always pleasant. Going down memory lane is a good pastime for those who have nothing much to do. As one grows older, reflections of days long gone will come rushing back like images from old movies, replete with lots of drama, laughter, and even tears.

Ahmad Mahmud could be just another pensioner at Kawasan Melayu, an enclave in the vicinity of Old Town, Petaling Jaya, in Selangor. He is one of the orang lama (veteran) of the area. He frequents Warung Enaland the stall belonging to Chef Fawzey, the creator of the PJ-famous Nasi Lemak Kukus Goreng. Ahmad is always at two of the most popular mamak outlets at Old Town:Fairoz or Kedai 18 Jam. On Saturdays and Sundays, he will be at Warung Hamdan by the Taman Jaya lake, enjoying nasi lemak with no less than a minister, an ex-IGP, former chairman of a media company, a few senior government officials, bankers, accountants or just folks making their rounds at the scenic lake.

Cikgu Mad, as he is fondly referred to by his friends, is no ordinary bloke. He was a sportsman extraordinaire. He was one of the few athletes who represented Malaysia in two different sports – rugby and decathlon. Back in the 1970s, he was a force to be reckoned with in sports. Even today sportsmen and women of his generation speak highly of him.

He represented Malaysia in the 1965 and 1967 SEA Games and the 1966 Asian Games in triple jump and, later, decathlon. He held the Malaysian record in decathlon for at least two years. He represented the country in rugby, playing against the best and famous in the rugby world. 

Imagine a man of his calibre, who lives and breathes sports, having a near fatal accident – not on the field or the road – but in the porch of his own home, knocked by his own car.

In the freak accident, his car had lurched forward and pinned him against the wall. It smashed his knees. He was never the same again. But many years of training on the field had taught Cikgu Mad a valuable lesson – never say die. He knew he could not move without a walking stick,let alone play rugby again. But Cikgu Mad soldiered on. He was not going to wallow in self-pity. He had lost his legs but not his spirit. He exercised his upper torso to superb fitness.

To me, he is a walking sports encyclopedia. His knowledge of results, highlights and oddments in sports is incredible. Ask him about accomplishments by world-class sportsmen and women, Olympians who made their marks, record-breakers, you name it. Talk to him about football. He knows everyone that matters. Rugby? He’s everyone’s reference book. Rugby, after all,was his domain.

I have lived in PJ since 1982. I have come across almost every Who-Is-Who there. Then I met Cikgu Mad. We clicked immediately because I am a great follower of track and field events. I am also an avid fan of rugby. He awed me with his knowledge of the best rugby players during his time and before, some of whom I have met in my capacity as chairman or board member of companies today. We exchanged news about current rugby greats. We occupied ourselves with news regarding the Rugby World Cups (the last one was in 2015) and every conceivable rugby tournament – from 6-Nation to Sevens. He has lots of rugby stories to tell and many rugby songs to remind me of the good old days.

When he left the teaching profession, he joined the newly established Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) in 1974 as a sports officer at its first campus near Universiti Malaya (UM). That was the year I joined UM. That year too was the height of student activism in the campus. In 1979 he joined UM. Our paths didn’t cross back then.

There is another incredible sportsman who used to live in the area – Adnan Osman, the Ironman of PJ. He cycled his way to the Beijing and London Olympics; ran in what is labelled“the world’s toughest footrace”, the Marathon des Sable (Marathon of the Sand); participated in 15 marathons; climbed all 12 mountains above 2,000 metres in the country; reached the summit of Gunung Tahan 15 times and Gunung Kinabalu thrice. He did all that after his 50th birthday! He is about Cikgu Mad’s age, in his 70's, but still going strong.

Cikgu Mad with his adopted father
And there is also Conrad Hector Thalala, the cyclist who should have represented Malaysia at the Tokyo Olympics in 1964. He did not, sadly. Politics took away his right to bring glory to the nation. He was one of the country’s best cyclists back then, winning gold at the Asian Cycling Championships in 1963. Like Cikgu Mad and Adnan, he is still passionate about sports. And, like Adnan, he still brisk-walks in PJ.

I am blessed to know them. And happier still to learn from them the secrets of their health.

Cikgu Mad is almost like a brother to me.In fact, among friends, he is my anak angkat (adopted son). It should be vice versa! When Adnan moved to Shah Alam and Conrad succumbed to occasional bouts of asthma, Cikgu Mad was the person I would call late at night for teh tarik together with other friends around PJ. I would take him to my farm in Pagoh, Muar, to enjoy the cool air of Banjaran Muakil or meet friends, mostly of Javanese descent with names like Wak Muji, Wak Mus, Wak Katimin, Wak Selamat, Wak Asan, to name a few.

I always enjoy his company. Dusun Damai, where my farm stands, is far from the madding crowd, almost 12 kilometres from the nearest town. We would talk through the night into the wee hours of the morning. He is a good story-teller. He certainly has a lot to tell. He would regale the waks with his stories on and off the field, and of his association with the legendary Mokhtar Dahari (better known as Super Mokh).

To younger listeners, he would narrate to them about how he grew up in a small village in Sungai Petani, Kedah. And the games he played.  That was long before companies like 

Mattel came out with toys. Children’s games were rough and meant for the tough ones. Toys were made, not bought. Anything can be made into toys – old tires, sticks, pieces of papers, cigarette boxes, rubber bands, whatever. Many of the games he played are strange to modern ears. He even sketched them to illustrate certain points. Many of the illustrations are found in this book.


some of the games Cikgu Mad played-
Cheery Seed Pistol


Some of the other games Cikgu Mad Played-Cigarette Pack Rolled




When he aspired to be a pole vaulter, he had to find the right “equipment” and “tools”. That translated into bamboo poles, nipah palms and lots of lalang straws. Nothing came easy for aspiring sportsmen and women back then. He made his mark in school meets and later at state and national level in pole vault. His love affair with sports had begun. It was to be a commitment of a lifetime.

I encouraged him to write. He had been putting his thoughts on pieces of paper. He still belongs to the old school – no computer and no hand phone, let alone a smart one. I teased him about being a remnant of the dinosaur era – a “fossilised” one!  I hardly know anyone who lives in the suburbs who doesn’t own at least a mobile phone! He doesn’t seem to mind at all. I would call him using the fixed line. When he is on the move, there is no way to contact him. Yes, he is that “fossilised”!

He has been showing me his “book” for many years already. I told him to get it published. 

This is the result.

Cikgu Mad is a contrarian in many ways. He is determined to achieve something in life and he did, proudly representing his country in rugby and decathlon and, in doing so,winning medals too. He is also known for another reason – he famously married one of the daughters of the late Datuk Harun Idris, former Menteri Besar of Selangor. They separated after his accident, but amicably.

Santokh Singh and Soh Chin Aun
More importantly, he has been inspiring young athletes – many of them made their mark later in local sports. They are the ones who looked upon Cikgu Mad as their mentor and father figure. Super Mokh was one of them. Without doubt, Super Mokh was one of the best footballers the country has ever known. He was brilliant on the field, a master in his own right, a scorer that helped change Malaysian football in the 1980s. Those were the glory days of football. Names like Super Mokh, Soh Chin Aun, Santokh Singh, R. Arumugam and Riduan Abdullah are still fondly remembered by football fans. Those were the days! 

His relationship with Super Mokh was special. Super Mokh was diagnosed with Motor Neuron Disease (MND), a rare but debilitating disease that sometimes afflicts sportsmen and women. When things were going downhill health wise for Super Mokh, he wished to do the umrah. It was Cikgu Mad who accompanied him, his wife and daughter to Mecca. It was an experience unlike any other. Cikgu Mad has an incredible story to share about his experience at the Ka’aba with Super Mokh.

People sporadically come to him when they need information, particularly about Super Mokh. He is, after all, part of the great narrative that made Super Mokh so special. He was featured on the History Channel when they ran a documentary on Super Mokh. When a musical was performed at Istana Budaya based on Super Mokh’s story, there was a bit part for a character called Cikgu Mad.
The Legendary Super Mokh

But this book is basically about Cikgu Mad. It is about a simple man with a dream to excel in life. He is a “nobody” to most people. Not many people today have heard of his sports exploits. He writes eloquently about his experiences growing up in the village, things that he knew, people he encountered and his achievements in sports.

This is not one of those “misery memoirs” in the tradition of Frank McCourt’s Angela’s Ashes.

Me, Rugby and Super Mokh is a feel-good memoir that hopes to inspire. It is about the determination of a kampung boy to make a name in the big city. It is also about the manifestation of goodness in ordinary people – how kindness changes people, how good deeds move humans and how sincerity brings the best out of them.

(Seated, from second left) Hung Nung, R. Arumugam, Mokhtar Dahari and Santokh Singh (sixth from left) with Selangor teammates and officials
No one gets killed in this memoir, no gangsters lurk in the dark, no politicians with sinister motives make their entrance. It is a story of friendship and comradeship. It is also a story of how a bloke with a simple life overcame adversity with fortitude.

I have enjoyed this memoir as much as I have been enjoying Cikgu Mad’s friendship over the years!

I hope you will enjoy this book too!





TAN SRI JOHAN JAAFFAR
Bukit Gasing, Petaling Jaya
12 February 2016




Wednesday, May 18, 2016

Pelancaran Buku Geruh dan Mencari Cerah Di Hujung Tanjung

Ucapan Johan Jaaffar

Sewaktu Pelancaran Buku Geruh dan Mencari Cerah Di Hujung Tanjung 

Terbitan BYG Publisher

Dewan Besar Utusan Melayu

Kompleks Utusan Melayu (M) Berhad


14 Mei 2016



Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih pada Datuk Raja Ahmad Niza Raja Ismail, Pengerusi Eksekutif Kumpulan BYG Worldwide Bhd yang mengundang saya untuk menyempurnakan pelancaran dua buah buku terbitan BYG Publisher.

Saya juga mengucapkan terima kasih pada Kelab Veteran Utusan Melayu (KVUM) yang memungkinkan majlis ini. Saya ingin mengalu-alukan teman-teman mantan Utusan Melayu dan kerabat KVUM yang berkumpul pada hari ini di sini.

Kalau tidak kerana bulan
Tidak bintang terbit pagi
Kalau tidam kerana kenkawan
Tidak kita berkumpul di sini

Saya menganggap undangan ini satu penghormatan.

Ini bukan sebarang penerbitan. Dua buah buku ini  punya maknanya yang tersendiri bukan sahaja bagi penerbit dan penulisnya tetapi bagi tempat istimewa ini  – Utusan Melayu Malaysia Berhad.

Saya percaya kehadiran begitu ramai teman-taman mantan karyawan Utusan Melayu membuktikan makna tempat ini bagi mereka semua.

Anak itik terenang-renang
Anak belibis pulangnya senja
Tempat jatuh lagi dikenang
Inikan pula tempat bekerja

Agaknya sesuailah dengan bait terakhir sajak Tan Sri Zainuddin Maidin (Zam) yang dirakamkan dalam buku Saya Bukan Menteri yang saya percaya memancarkan sikap dan pendirian kami semua, mantan Utusan Melayu, siapapun kami, pada kedudukan apapun kami, dalam hirarki manapun kedudukan kami sewaktu bekerja, di satukan oleh sejarah, nostalgia, semangat, syarikat yang diberi label “Suara Keramat.”

Di manapun singgahku
Utusan Melayu tugus emas
Di hatiku

Hari ini kita menyaksikan pelancaran dua buah buku karya mantan karyawan mantan syarikat ini  – Raja Ahmad Niza dan Zahari Affandi – yang masing-masing berjudul Geruh dan Mencari Cerah Di Hujung Tanjung.


Lebih istimewa lagi, kedua-dua orang penulis buku ini bermula di sini – sebagai wartawan – kemudiannya melalui perjalanan hidup sendiri setelah meningggalkan tempat bersejarah ini.
Premis Utusan Melayu tentulah tidak semewah ini sewaktu mereka berdua menjadi karyawannya. Malah dalam keadaan serba kekurangan itulah, Utusan Melayu mencipta nama dan sejarah, dan karyawannya mencorakkan kerjaya, melakar nama dan membuktikan kemampuan.

Tetapi di sinilah mereka memula langkah melalui suka duka karier yang luar biasa dan menjadi sebahagian daripada sejarah kegemilangan syarikat yang bermula 77 tahun yang lalu hari ini – penerbitan akhbar yang dianggap “Suara Keramat” orang Melayu.



Suara yang lantang menyuarakan kepentingan bangsa, menjadi wadah malah cerminan sebuah bangsa yang mencari citra dan kekuatan.

Kedua-dua penulis buku ini menjadikan Utusan Melayu titik tolak penting kehidupan mereka – Raja Ahmad Niza berada di sini selama 23 tahun, Zahari Affandi selama 11 tahun – menjadikan tempat ini sekaligus “universiti” sebenar mereka.

Hari ini mereka kembali ke sini – kali ini memperagakan satu lagi kemampuan mereka – sebagai sasterawan. Malah sebenarnya mereka telah mencipta nama sebagai penulis novel, cerpen dan puisi lama sebelum ini. Kedua-dua buah buku ini hanyalah satu lagi pencapaian mereka serta mercu tanda baharu kejayaan mereka dalam bidang sastera.

Sayogia diingat, inilah tradisi gemilang Utusan Melayu. Karyawan Utusan Melayu bukan sahaja menjadi pelapor berita, penganalisis peristwa dan perakam zaman, malah sebahagian daripada mereka juga merupakan sasterawan terbilang – yang mencipta nama di persada sastera tanahair.

Malah, ada kalanya sukar dibezakan di antara wartawan dan sasterawan, maka itu oleh seorang pengkaji sejarah kebangkitan kesedaran dan nasionalisme Melayu, W.R. Roff di dalam bukunya Malay Nationalism diberikan label istimewa pada kelompok ini – “sasterawan-wartawan”. Ini merupakan kelompok besar sasterawan Melayu ketika itu – seperti juga kelompok yang tidak kurang berpengaruhnya ketika itu, “sasterawan-guru”.

Malah apabila akhbar Utusan Melayu muncul pada 29 Mei 1939, pengarang pertamanya adalah juga seorang sasterawan – A. Rahim Kajai yang digelar Bapa Kewartawanan Melayu. Beliau juga dianggap Bapa Cerpen Melayu. Ketajaman tulisannya sebagai wartawan sama hebatnya dengan ketajaman penanya menulis cerpen.

Menurut buku Wajah: Biografi Penulis Malaysia yang pertama terbitan DBP, Kajai menulis 48 buah cerpen sahaja sepanjang hayatnya – tidak banyak sebenarnya berbanding penulis lain – tetapi beliau membantu mendefininasikan genre sastera yang bernama cerpen itu. Karyanya terkumpul dalam anotlogi Pustaka Kajai, Banyak Udang Banyak Garam dan Lain Padang Lain Belakang.

Demikianlah Kajai yang bukan sahaja menerajui akhbar yang sepenuhnya “dikendali dan diterbitkan dengan modal orang Melayu Semenanjung” tetapi memulakan tradisi fikir dalam genre sastera yang sangat popular di kalangan orang Melayu. Akhbar Utusan Melayu hanyalah salah satu daripada penerbitan dalam tradisi panjang dan penuh bersejarah persuratkhabaran Melayu yang bermula dengan Jawi Peranakan, akhbar yang terbit di Pulau Pinang pada tahun 1876.

Bagaikan seorang pelopor, Kajai telah menyediakan landas yang diikut oleh yang lain. Ishak Haji Muhammad atau Pak Sako yang menjadi salah seorang pengasas akhbar  itu, juga menjadi sasterawan terbilang. Siapakah yang dapat melupakan karya-karya besar beliau dalam bentuk novel, antaranya Anak Mat Lela Gila dan Putera Gunung Tahan yang amat tebal sinisismenya, kental satiranya, yang digunakannya secara berkesan untuk menginsafkan anak bangsanya dan memperlekeh penjajah.

Berdasarkan buku Wajah, daripada 100 orang penulis dalam senarai awal penulis Malaysia, 33 orang datangnya dari Utusan Melayu atau 33 peratus. Nama-nama mereka bagaikan “Who-Is-Who” dalam dunia sastera tanahair: Kamaluddin Muhamad (Keris Mas), Usman Awang (Tongkat Warrant), A. Samad Said, A Samad Ismail, Jaafar Hj Ahmad (Jymy Asmara), Salmah Mohsin, Zaharah Nawawi, AS Amin, Abu Zaki Fadhil, Abdul Rashid Muhammad (Adi Mas), Alias Ali, Mohamad Dahlan Hj Masud (Hamdam), Harun Hassan, Ilias Zaidi,  Ahmad Lufti, Mohktar Petah, Khatijah Hashim, A. Shukor Harun, A.R. Kamaluddin, Mohd Nordin Andul Rahman (Atondra), Abdul Wahab Muhammad (Awam Il Sarkam), Hamzah Hussein, Ibrahim Omar, Amir Hamzah Shamsuddin (Malungun), Baharuddin CD, Ali Hj Ahmad (Nora) dan Zahari Affandi.

Apabila kerajaan Malaysia merencanakan penghargaan paling tinggi untuk sasterawan yakni Anugerah Sasterawan Negara, penerima pertamanya ialah Kamaluddin Muhammad atau Keris Mas, mantan Utusan Melayu, pada tahun 1981. Sehingga ini, anugerah itu telah diberikan pada 13 orang sasterawan termasuk seorang wanita. Dua orang lagi mantan Utusan Melayu penerima anugerah itu adalah Usman Awang (1983) dan A. Samad Said (1985).

Bukan itu sahaja, gerakan sasterawan yang paling penting dan berpengaruh di negara ini – Angkatan Sasterawan 50 atau Asas 50 – digerakkan antara lain oleh karyawan Utusan Melayu di Singapura pada tahun 1950. Keris Mas, Usman Awang dan Awam-il-Sarkamadalah “orang Utusan Melayu” di belakang penubuhannya.

Ibarat irama dan lagu, sastera tidak dapat dipisahkan dari Utusan Melayu. Malah tradisi ini berpanjangan setelah mereka yang tersenarai dalam buku Wajah yang pertama.

Saya sendiri menulis cerpen, novel dan drama. Malah saya mencipta nama sebagai penulis melalui penerbitan Utusan Melayu – sejak Utusan Pelajar lagi. Cerpen-cerpen  saya banyak tersiar di Mingguan Malaysia dan Utusan Zaman sejak di bangku sekolah lagi. Dan novel saya yang pertama, Warna Tinta diterbitkan oleh sebuah anak syarikat Utusan Melayu pada tahun 1976. Saya terhutang budi pada Utusan Melayu, pada ramai pengarang akhbar dan majalah Utusan Melayu yang melayan penerbitan saya sejak saya menulis pada tahun 1968 lagi.

Ramai lagi karyawan yang lebih muda yang mencipta nama dalam dunia sastera, antaranya Zainal Rashid Ahmad yang terasa benar kekuatannya dalam genre novel dan cerpen. Entah ribuan lagi penulis muda yang mencambah bakat di Utusan Melayu melalui ruang sastera di dalam penerbitannya.

Maka itu saya menganggap peristiwa hari ini penting oleh sebab kita bukan sahaja menghargai sumbangan dua buah karya mantan Utusan Melayu tetapi kerana kita juga menghargai sejarah gemilang sumbangan Utusan Melayu dalam dunia sastera.

Saya berharap bahawa ada usaha untuk merakamkan sumbangan Utusan Melayu dan karyawannya juga mereka yang mencipta nama dalam dunia sastera melalui penerbitan Utusan Melayu. Tan Sri Zainuddin Maidin telah merakamkan sejarah rasmi Utusan Melayu di dalam Di Depan Api Di Belakang Api. Sudah sampainya sumbangan sastera Utusan Melayu dirakamkan juga secara rasmi.

Anak sembilang makanan puan
Ikan baung si ikan duri
Bukan wartawan sebarang wartawan
Dunia sastera mereka ceburi

Saya melihat potensi luar biasa pada mantan karyawan Utusan Melayu dalam dunia sastera. Tan Sri Zam sendiri mencuba bakatnya dalam bidang puisi. Bakat sastera tidak kurang di kalangan mantan Utusan Melayu, selain nama-nama dalam Wajah, banyak yang lain yang berkarya malah menerbitkan buku sendiri, antaranya Muhammad Jusoh, Webah Salleh, Kamaluddin Mat Lela sekadar menyebut beberapa contoh.

Apabila group whatsapp mantan petugas Jabatan Pengarang Utusan Melayu yang diberikan label “Buletin Suara Keramat” atau BSK bermula pada bulan Februari 2016, ruang itu menjadi wahana pantun oleh karyawan yang selama ini tidak pernah berpantun. 

Bayangkan Datuk Rosnah Majid, Azim Aras, Nasir Ahmad, Norila Daud, Hanafiah Man, Hamid Yahya,Sunarti Kibat, dan ramai lagi berselangseli dengan “pemantun tegar” sedia ada seperti Puan Seri Ashidah Minin, Webah Salleh, Raja Ahmad Niza, Wahi Bakhtiar, Wan Dayang, Kamaluddin Mat Lela, Zahari Affandi dan lain-lain. Malah ada cadangan pantun BSK dibukukan. Ribuan pantun telah terhasil dalam BSK sejak lima bulan kemunculan group whatsapp itu.

Raja Ahmad Niza mungkin diingat sebagai editor sastera Mingguan Malaysia tetapi beliau merupakan novelis yang pernah memenangi hadiah dalam Sayembara Novel Gapena – Yayasan Sabah. Selain Kaul, beliau menulis Politik Hantu, Sejernih Air Mata, Sumpah dan Dia Gadis Kelantan. Beliau juga menulis cerpen dan puisi.

Lebih istimewa lagi, oleh teman-teman dalam BSK melabelkan  beliau “penyair dinihari”. Beliau melayangkan puisi – selalunya tentang cinta dan nostalgia – apabila malam bertambah malam. Dalam dingin malam, Raja Ahmad Niza meladeni teman-teman yang dek lanjutnya usia, semakin sukar untuk melelapkan mata.

Mari ke sawah menanam padi
Pohon meranti di tepi seraya
Semakin tuan semakin menjadi
Itulah Tuk Raja dalam berkarya

Novel Geruh ini menuntut perhatian pembaca. “Geruh” menurut Kamus Dewan membawa dua makna: Malang, celaka, nasib buruk atau sial dan makna yang kedua, berdengkur, meraung.

Saya tidak akan menggariskan sinopsis novel ini bagi memastikan suspens berpanjangan. Memadailah kalau saya mengatakan novel ini sarat dengan drama dan intrig berlatarbelakangkan suasana dan senario politik yang gawat dengan kisah persahabatan, pengkhianatan dan tragedi.

Raja Ahmad Niza memulakan novelnya dengan sebuah sajak berjudul Quran Buruk tentang nasib anak bangsanya. Sajak itu bermula begini:

Melayu kini di persimpangan
Ke hadapan ribut
Ke belakang taufan
Ke kanan guruh bergegaran
Ke kiri petir sabung menyabung
Geruh geruh geruh
Ke mana?

Demikianlah Geruh menggalurkan kisah sebuah bangsa yang diwakili oleh manusia seperti Hashim, Pak Jusuh, Nizam, Pak Ali, Pak Jantan, Pak Larut, Pak Lajis, Haji Kudus, Nik Safiah, Nizam, Tok Din, Wadi, Amran, Roslinda, Datuk Syamsul  dan Datin Anne. Mereka cerminan bangsa Melayu sebenar – yang terbaik, yang terburuk, serta minda, psyche dan pandang dunia keMelayuan sebenar.

Kisah yang berlatar belakangkan Kemaman ini cukup menginsafkan. Ia merupakan refleksi parti-parti Melayu dan keanekaragaman manusia di dalamnya. Raja Ahmad Niza mengambil kesempatan untuk membuat komentar tentang punca kelemahan orang Melayu melalui watak-wataknya.

Bacalah novel ini untuk menyelami dunia politik di sebuah wilayah kecil dengan personaliti yang pelbagai, dicorakkan oleh nawaitu yang berbeza dan kepentingan yang berlainan pula.
Tetapi di sebalik hirok pikok politik dan politik syarikat koperasi di tempat itu muncul juga kebijaksanaan. Haji Kudus menjadi conscience rakyat setempat yang mengingatkan bahawa “Tidak ada tugas yang lebih murni selain dari membela bangsa…seterusnya membela agama dan negara.”

Zahari Affandi tidak perlu diperkenalkan.

Dua tiga kucing berlari
Mana nak sama si kucing belang
Memang nakal tidak terperi
Sebagai sasterawan Zahari terbilang

Beliau telah menghasilkan lebih 30 buah novel dan ratusan cerpen. Beliau dikenal kerana novel Kunang-Kunang dan Bulan Merah Di Tiga Kuala. Baru-baru ini ITBM menerbitkan novel Embargo. Mencari Cerah Di Hujung Tanjung adalah kisah cinta yang terluka – kisah pencarian seorang gadis bernama Asmah yang membesar di tengah kemewahan – yang mencari diri dan akarnya.

Perjalanan Asmah panjang dan berliku melalui suka duka kehidupan seorang yang lepas bebas dan menganggap dunia pentas berbuat apa sahaja, menjadi janda dan beranak dua, sehinggalah bertemu cinta sebenar “di hujung tanjung” dengan Ustaz Khairul.

Novel ini menggetar perasaan, mencabar minda lagi menginsafkan. Zahari Affandi seorang wordsmith luar biasa, menggunakan diksi dan frasa yang memang kekuatannya, membolehkan kita diulit kisah perjalanan Asmah secara bersahaja. Kata-kata menjadi kekuatan Zahari Affandi, kata-katalah yang menjadikan novel ini menarik, ghairah, menyenangkan.

Kisah cinta di dalam novel ini ibarat pantun Melayu ini:

Hijau-hijau bayu si dayang
Untuk di pakai di pagi hari
Hati risau bercampur sayang
Badan mengamuk seorang diri

Zahari memang pandang memilih ayat dan kata-kata:

Bayangkan ayat ini:

“Langit agak cerah, ada pula bulan yang tersipu-sipu malu mengintai sepasang pengantin di malam pertama. Bukit Sutera benar-benar dibungkus sepi…”

Inilah gambaran Zahari Affandi tentang pengantin lelaki pada malam yang istimewa:

“Ombak darah gemuruh yang berpusar di dalam dadanya sejak tadi bertukar menjadi gelombang. Puas menarik nafas dan beristighfar panjang-panjang namun debaran terus juga  merobek dadanya. Dia sendiri tidak tahu kenapakah kali ini dia begitu gementar untuk berhadapan dengan Asmah?”

Itulah Zahari Affandi.

Itu jugalah  di antara alasan mengapa buku ini harus dihayati.

Saya mengalungkan syabas kepada kedua-dua novelis ini. Semoga mereka terus berkarya dan memperkaya perbendaharaan sastera negara.

Kita mengharapkan mereka akan terus berkarya, tanpa jemu, tanpa henti.

Yang nasi dijerang
Yang kuncup dipotong
Yang bermutu dikenang
Yang istimewa disanjung

Dengan penuh gembira, dengan lafaz Bismillah….saya melancarkan secara rasmi novel Geruh karya Raja Ahmad Niza dan Mencari Cerah Di Hujung Tanjung oleh Zahari Affandi terbitan BYG Publisher.






Sekian terima kasih.