Monday, August 8, 2022

Ucapan Tan Sri Johan Jaaffar Sebagai Tetamu Kehormat

 

Tokoh Wartawan Negara Ke-12

Malam Wartawan Malaysia dan Malam Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2022

Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur

24 Jun 2022

 


Saya menganggap satu penghormatan bahawa majlis malam ini, Malam Wartawan  Malaysia 2022 menjadikan saya sebagai Tetamu Kehormat. Saya diberitahu bahawa ini kali pertama dalam sejarah 41 tahun penganjuran program  yang sangat bermakna ini, wartawan diberikan penghormatan sedemikian.

Dalam masa empat dekad, inilah  kali ketiga  orang bukan politik diberikan perhargaan sedemikian, kali pertama adalah apabila MPI mengundang Tan Sri Azizan Zainal Abidin, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas pada tahun 1998 dan kali kedua, Prof Diraja Ungku Aziz diundang pada tahun 2002.

Saya juga berpendapat bahawa ini juga penghormatan  bagi komuniti wartawan seluruhnya, bagi kita semua, pada Saudara dan Saudari semua. Lagipun ini  malam kita, malam para wartawan, malam meraikan  wartawan  yang bekerja keras setahun panjang bagi menghasilkan yang  terbaik. Malam ini kita memulia dan menghargai Saudara dan Saudari semua.

Saya menganggap diri saya mewakili kelompok “senior” dalam profesion ini yang masih berbaki.  Sekadar makluman hanya empat dari 12 wartawan yang pernah dinobatkan Tokoh Wartawan Negara yang masih hidup. Pada waktu yang sama hanya  segelintir wartawan senior  yang masih tinggal. Sebahagian daripada  “senior” ini nampaknya  masih menulis, punya blog dan kolum  untuk terus berkarya. They don’t just fade away, they write on. Saya bercakap tentang Datuk Kadir Jasin, Datuk Seri Azman Ujang, Datuk Yong Soo Heong, Datuk Seri Wong Chun Wai, Datuk Chamil Wariya  dan beberapa orang lain.

Dalam ucapan beliau tadi, Datuk Chamil menyebutkan tentang cabaran dunia media pada hari ini. Sebetulnya kita  juga banyak membincangkan hal hala tuju baharu media sewaktu forum khas anjuran MPI berjudul “Kewartawanan dan Revolusi Industri 4.0: Cabaran dan Peluang” sewaktu Hari Wartawan Nasional Malaysia (HAWANA) di Melaka baru-baru ini.

Malah kita telah sepakat mengeluarkan Resolusi Forum Media Nasional sempena HAWANA 2022 selain “Deklarasi Melaka” yang kita bacakan di hadapan YAB Perdana Menteri dan kepada umum. Kita menyebutkan tentang perlunya kebebasan media dan ruang untuk para wartawan bekerja tanpa ragu dan takut.

Saya pernah diperingatkan oleh seorang wartawan veteran bahawa  everyone hates a free press. Saya pernah menulis di dalam kolum saya dalam The Star tentang ironi dalam dunia media hari ini. We are supposed to live in a freer world. The Internet is democracy at its best. But then, as we are unshackling ourselves from the yoke of media control, more and more leaders around the world are eying the press with scorn and distrust.  

Kita semua maklum masalah yang dihadapi oleh industri media hari ini. Kita faham krisis semasa bagi syarikat media untuk terus bernafas, kita sedar model niaga atau business model yang harus difikirkan semula dan kita maklum perolehan  syarikat gergasi teknologi (tech giants) yang menjejaskan pendapatan  syarikat media.

Lebih penting lagi kita sedar keperluan kita untuk melihat semula pendekatan bekerja  serta pembangunan modal insan yang diperlukan untuk menghadapi keperluan masa ini dan  masa depan.

Kita memang menerima hakikat bahawa kita sedang bersaing dengan media sosial yang sifatnya segera, real-time dan tanpa kawalan. Kita juga mengakui dalam Resolusi Hawana bahawa media arus perdana harus hidup seiring  (co-exist) dengan media sosial. Namun demikian kita juga menyedari tuntutan  ke atas kebenaran atau truth dalam konteks media arus perdana tidak boleh dikompromi.

Malam ini bukan masanya untuk kita mengulangi kegusaran kita tentang hal itu. Malam ini kita mahu melihat ke hadapan, mudah-mudahan dengan dengan penuh keyakinan. Dalam konteks Revolusi Internet orang mulai bercakap tentang “kerajaan masa hadapan” (the government of the future), juga masa depan pentadbiran awam (the future of public service). Mahu tidak mahu kita juga perlu bercakap tentang media masa hadapan (media of the future).

Bagi saya perbincangan tentang media masa hadapan ini sepatutnya menjadi agenda utama kita. Dan saya juga percaya the future is now.  

Orang mulai menggunakan istilah media legasi (media legacy) untuk menggambarkan media arus perdana, atau old media (media lama)  yang wujud sebelum Era Informasi (mass media institutions that predominated prior to the Information Age). Apakah tepat istilah itu? Saya berasa ada unsur sinisme dalam label baharu itu.

Bagi saya yang lebih penting adalah kita sendiri. Kita harus mencipta diri kita semula (reinvent ourselves) dalam senario hari ini untuk kita terus relevan. Label tidak penting. Kita sedar eko-sistem baharu yang mendominasi. Selagi para wartawan berpegang pada prinsip etika dan prinsip kewartawanan yang sebenar, masih ada esok untuk kita, untuk profesion kita dan dunia niaga yang berteraskan media.

Saya ingin mengingatkan  Saudara dan Saudari semua bahawa pada 17 Jun 1972, berlaku peristiwa  pecah masuk (break-in) di Ibu Pejabat Democratic National Committee di Washington DC. Bulan ini genaplah  50 tahun peristiwa itu. Dan kita juga tahu bahawa peristiwa yang dikenal sebagai “Watergate” itu menjadi titik tolak penting dunia kewartawanan. Penyelidikan kewartawanan atau investigative reporting oleh dua orang wartawan akhbar The Washington Post telah menulis semula hukum hakam kewartawanan. Laporan mereka besar sekali impaknya pada bukan sahaja dunia kewartawanan tetapi juga dunia politik.

Untuk kali pertama dalam sejarah Amerika Syarikat, presidennya Richard M Nixon  meletakkan jawatan pada 9 Ogos 1974 apabila terbongkar bahawa pecah masuk  itu mendapat restu  pegawai paling tingginya.

Walaupun itu bukan kali pertama skandal yang dibongkarkan oleh media, tetapi peristiwa itu memacakkan penanda aras baharu dalam dunia kewartawanan. Ada pandangan suka-benci selain kewaspadaan apabila orang politik melihat wartawan.

Watergate penting oleh sebab peristiwa itu menunjukkan peranan sebenar yang boleh dimainkan oleh media. Media yang bebas adalah tunjang demokrasi, demokrasi tidak akan  subur dan matang tanpa media yang bertanggungjawab. Wartawan menjadi mata dan hati rakyat dan memainkan peranan sebagai conscience sebuah negara bangsa.

Kadang-kala para wartawan sendiri lupa peranan yang boleh kita mainkan, beban tanggungjawab yang perlu kita galas dan harapan rakyat kepada kita. Kadang-kala juga kita lupa bahawa kita  boleh  membuat perubahan  dalam menentukan hala tuju negara ini.

Maka itu kita harus memainkan peranan  seperti yang dikehendakki oleh profesion kita, tidak lebih dan tidak kurang daripada itu.

Memang tidak dapat dinafikan  ada  masanya kita turut menjadi complicit atau bersubahat dalam membiarkan salahlaku, skandal dan rasuah berleluasa. Ada kalanya  kita tidak berani atau memilih untuk tidak mahu  menanyakan soalan yang betul dan menafikan “bendera merah” atau red flags yang nyata di hadapan kita. Kita gagal menyatakan kegusaran kita apabila kita melihat sesuatu berpontensi menjadi masalah besar atau skandal. Saya percaya skandal seperti 1MDB tidak akan berskala  sebesar itu sekiranya kita menanyakan soalan yang betul.

Most of us failed to voice our concerns when the 1MDB scandal was unfolding. I reckon it was a slap on the face of the cowering media. It was a wake-up call for us. Docility sucks. When I say “us”, I am talking about all of us, I included.

Marilah sama-sama kita mengingatkan diri kita bahawa orang politik akan datang dan pergi. Kita kekal di sini. Banyak kali saya mengingatkan bahawa kita tidak diukur daripada  “kesetiaan” kita tapi dari profesionalisme kita. Kerajaan boleh berubah, begitu juga slogan dan jingoisme. Tetapi kita akan terus diukur dari peranan yang kita mainkan dalam negara yang semakin  kompleks ini.

Sesetia manakah kita dengan kerajaan yang bertukar banyak kali dalam masa yang pendek? Dan kita tahu kestabilan politik adalah impian dalam situasi politik negara kita hari ini. Kita tahu sekali air bah, sekali pantai berubah.  

Dalam konteks hari ini, pelanggan kita  semakin canggih dan cerdik. Mereka ada banyak pilihan. Dan mereka mudah membuat penilaian mana satu pilihan mereka. Bukanlah pilihan mereka bertolak daripada pertimbangan hanya jauhari yang mengenal manikam. Kebenaran tidak penting lagi dalam dunia yang mengukur kepantasan  sebagai kecemerlangan baharu. Mereka akan menghukum kita sekiranya kita dilihat hanya menjadi corong pemerintah atau paparan kita tidak lebih daripada newsletter elit pemerintah. Era wayang pacak sudah berakhir.

Kata orang, sekali jadi wartawan kita terus jadi wartawan, sekurang-kurangnya daripada segi semangat dan sikap. Disiplin kita menyebabkan kita sepatutnya sentiasa kritikal dan mengambil sikap prihatin. Di manapun kita, kita adalah wartawan. Sedihnya ada di kalangan para wartawan yang bekerja dengan orang politik berubah menjadi orang yang tidak memahami dunia kewartawanan dan peranan akhbar atau platform media yang lain. Mereka marah-marah apabila laporan yang tidak menyebelahi bos mereka muncul. Saya harap mereka menghentikan kerja ini. Mereka sepatutnya faham peranan media.

Saya tahu tidak mudah bekerja sebagai wartawan dalam  negara yang banyak undang-undang dan akta yang mengekang kebebasan bersuara dan kebebasan media. Malah dalam resolusi kita sewaktu di Melaka kita menyatakan pendirian tegas kita untuk  menuntut kerajaan menghapuskan mana-mana akta dan undang-undang yang berkaitan media yang dianggap lapuk atau archaic dan tidak lagi sesuai dengan keperluan semasa.

Kita tahu tidak mudah bagi untuk mana-mana kerajaan berbuat demikian. Reformasi nampaknya hanya di bibir dan hilang dalam proses transisi. Lagipun kita diperingatkan bahawa manifesto tidak terukir di batu. Dalam eko-sistem media yang baharu, dengan tuntutan luar biasa untuk kita menjadi benar-benar free and  fair maka kitalah yang harus memula langkah. Kita juga jangan lupa Kod Etika Wartawan yang kita sepakati pada tahun 1989 lagi.

Oleh sebab itu saya percaya perlunya sebuah Persatuan Wartawan Malaysia, malah itu juga sebagian daripada Resolusi Hawana 2022. Kita berikrar untuk “mendayausahakan persatuan yang dapat menggabungkan semua para wartawan agar menjadi suara padu dan lantang, demi memperkukuh kesetiakawanan dan memadu matlamat yang sama, demi memberikan  digniti dan uniti pada profesion kewartawanan.”   

Kitalah yang boleh menjaga sesama kita. Apsirasi kita. Komitmen kita. Nama baik kita. Kebajikan kita. Kita jaga kita.

Kita tidak boleh mengharapkan  orang lain menjaga kita.  Dunia politik ada kalanya tidak berlaku adil pada wartawan. The Malaysian experience is one with a chequered past.  Kita harus ingat  bahawa salah seorang tahanan ISA paling lama di negara ini adalah seorang wartawan, Said Zahari. Dan banyak wartawan telah ditahan di bawah akta itu. Banyak pula pimpinan wartawan yang hilang pekerjaan. Betullah agaknya kata orang, good soldiers don’t die, they fade away, but good editors don’t fade away, they got fired.

Di mana-manapun wartawan masih menerima tekanan, malah dalam beberapa kes dikejami dan dibunuh. Wartawan terkorban membawa berita dan laporan dari  pentas konflik. Tahun lalu sahaja 46  orang wartawan telah terbunuh di seluruh dunia. Pada tahun 2018 jumlahnya 87 orang. Apakah wartawan berasa serik? Tidak! Malah krisis menyemarakkan  kita, memberikan nyawa baharu bagi kita.

Maka itu kita harus sepakat dalam coalition persefahaman yang sebenar. Kita harus bersuara seperti juga teman-teman  kita di seluruh dunia untuk menyatakan pendirian dan membuat teguran walaupun  sepahit mana. Kita harus sama-sama prihatin dengan tindakan ke atas wartawan di mana-mana sahaja.

Oleh sebab itu saya menganggap penting persefahaman  yang terbentuk di dalam Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) dan saya juga percaya kita perlu meluaskannya pada negara serantau seperti yang dicadangkan oleh YAB Perdana Menteri. Pada waktu yang sama kita harus menyokong teman-teman dalam persaudaraan wartawan tanpa sempadan. 

Saya ingin mengucapkan syabas pada semua pemenang. Bagi yang lain, esok masih ada. Apa yang penting adalah untuk meneruskan kerja Saudara dan Saudari dengan baik, kita harus meletakkan penanda aras pencapaian  baharu sesuai dengan tuntutan semasa.

Sekali lagi tahniah pada Datuk Chamil dan team MPI yang memungkinkan malam yang istimewa ini dan pada Petronas yang sentiasa menghargai sumbangan para wartawan negara.

Saya ucapkan selamat mahu jaya pada Saudara dan Saudari semua.

Sekian terima kasih.



Ucapan Balas Tan Sri Johan Jaaffar - “Tokoh Wartawan Negara” 2019

 

Malam Wartawan Malaysia 2019

Manhattan Ballroom

Berjaya Times Square Hotel

Jumaat 26 April 2019


Saya menganggap penganugerahan ini sebagai satu penghormatan bagi saya.

Rasanya saya sebahagian daripada generasi  “:orang surat khabar lama” yang semakin berkurang. Generasi saya tidak lagi aktif memimpin akhbar atau organisasi media. Kami merupakan  the last of the Mohicans.

Editor dan wartawan yang lebih kurang sezaman dengan saya, Datuk CC Liew, Tan Sri Zainuddin Maidin, Datuk Kadir Jasin, Tan Sri Rahman Sulaiman, Mendiang Datuk V.K. Chin, Datuk Ng Poh Tip, Datuk Mohd Nazri Abdullah, Datuk  Ahmad Talib, Datuk Rejal Arbee,  Datuk Hardev Kaur, Datuk Khalid Mohd, Datuk Seri Azman Ujang, Datuk Seri Wong Chun Wai sekadar menyebut beberapa nama, bekerja dalam suasana dan era yang sama sekali berbeza dengan sekarang.

Saya sendiri bolehlah dianggap accidental journalist, yang terhumban ke dalam dunia kewartawan tanpa dirancang. Banyak yang mengatakan bahawa saya “outsider” apabila saya diberikan amanah memimpin kumpulan akhbar Utusan Melayu pada tahun 1992. Namun demikian apabila saya mula berkhidnat di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 1977, saya berketuakan tokoh sasterawan-wartawan seperti Datuk Usman Awang dan duduk sebilik dengan Datuk Abdullah Hussain. 

Usman Awang atau Tongkat Warrant memang terkenal sebagai sasterawan  malah menjadi penerima Amugerah Sastera yang ketiga pada tahun 1983. Namun demikian beliau pernah menjadi wartawan di syarikat Utusan Melayu di Singapura mulai tahun 1952. Abdullab Hussein pula adalah penerima anugerah Sasterawan Negara yang kelapan, pernah berkhidmat dengan majalah Gelanggang Filem yang dimiliki oleh Seniman Agung P Ramlee pada zaman gemilang filem Melayu tahun-tahun 50-an dan 60-an. 

Tradisi kewartawanan DBP selalu dilupakan oleh pengkaji. Perliu juga diingat bahawa wartawan yang pernah berkhidmnat di Utusan Melayu dan Majlis banyak yang menyambung karier mereka  di DBP pada zaman awalnya. Di antara mereka ialah Abdul Wahab Muhammad atau Awal Il-Sarkam, Abu Yazid Abidin atau Wijaya Mala dan A. Samad Ahmad selain Keris Mas dan Usman Awang. Keris Mad dan Usman Awang juga adalah  dua orang pengasas Angkatan Sasterawan 50 atau Asas 50 kemudiannya menjadi orang kuat DBP. 

Tradisi kewartawanan inilah yang dilanjutkan oleh Baharuddin Zainal, Mohd Noor Azam, A.F. Yassin, Sulaiman Masri, Nik Zainal Abdidin Hassan, Fatini Yaakub dan ramai lagi di DBP.

Malah, dari 13 orang penerima anugerah Sasterawan Negara setakat ini, tujuh orang dari DBP. Dari 13 orang Sasterawan Negara,  6 orang pernah terlibat dalam kewartawanan  majalah atau akhbar. Bagi saya hubungan di antara dunia kewartawanan dan kesusasteraan di negara ini amat sukar dipisahkan.

Saya lebih beruntung kerana saya pernah berkhidmat di Utusan Melayu, yang dinggap syarikat yang menjadi suara keramat orang Melayu. Tradisi gemilang ini bermula dengan A. Rahim Kajai yang dianggap Bapa Kewartawanan Melayu dan pengasas syarikat itu,  Yusof  Ishak yang kemudiannya menjadi Presiden Republik Singapura yang pertama.

Dalam tradisi panjang itulah muncul nama-nama seperti Said Zahari (salah seorang tahanan ISA paling lama di negara ini, 17 tahun), Tan Sri Melan Abdullah, Tan Sri Mazlan Abdullah dan Tan Sri Zainuddin Maidin. Utusan mempunyai cerita yang tersendiri dalam mencordakkan dunia kewartawanan tanahir. Bagi saya, Mogok Utusan Melayu tahun 1961 yang berlangsung selama 90 hari merupakan satu sejarah pahit para wartawan ketika itu. Usaha mereka untuk  menolak campur tangan politik dalam menjalankan tugas mereka gagal.

Wartawan berdepan dengan banyak cabaran. Wartawan terbunuh membuat liputan di wilayah berkonflik. Wartawan ditahan, dipenjara malah disiksa dalam menjalan tugas mereka. Dan wartawan dibuang kerja apabila tidak mengikut skrip penguasa.

Benarlah agaknya kata orang, good soldiers don’t die, they just fade away, good journalists don’t fade away, they got fired. Ramai di kalangan generasi saya yang telah melalui proses itu. Para wartawan yang terpinggir melalui zaman  getir untuk menyesuaikan diri, terpalit dengan stigma dan prejudis. Saya mempunyai pengalaman peribadi dalam soal itu – saya tidak punya tempat untuk menulis, sesuatu yang menjadi sebahagian darah daging saya.

Saya teringat dalam keadaan yang sukar itu, Tan Sri Samad Ismail menenangkan saya dengan mengingatkan nasibnya lebih buruk lagi mengalami tahanan bertahun-tahun. Beliaulah yang memberikan saya ruang untuk menulkis di New Straits Times setiap minggu mulai 2002. Saya menulis sebagai kolumnis di akhbar itu selama 14 tahun.

Kita tentu sedar cabaran baru bagi wartawan dan organisasi media hari ini. Dalam masa setahun dua kebelakangan ini kita dapat melihat bagaimana Internet dan media sosial menjadi disruptor utama media tradisional. Syarikat media terhimpit oleh pulangan pendapatan iklan yang merosot dan jualan yang mengecil. Malah lebih 2000 petugas media telah kerhilangan pekerjaan dalam setahun dua ini.

Syarikat media harus membuat penyesuaian, begitu juga pimpinan media dan para wartawan sendiri – change or be changed. Mungkin model perniagaan harus berubah atau pendekatan cara kerja juga harus difikirkan semula.

Namum sebagai wartawan, tugas kita tidak berubah. Tuntutan untuk menjadi lebih credible semakin kedengaran. Sekalipun lanskap media telah melalui proses transformasi  namun tanggungjawab kita tidak boleh berubah – etika, komitmen dan niat kita. Kata orang news is the first draft of history. Kita pelapor, pencatat dan penganalisis. Kita harus memberikan teguran dan pandangan without fear and favour. Kita dikatakan Kuasa Estet Keempat. Maka itu kita harus memainkan peranan yang sepatutnya kita mainkan.

Ahli politik boleh datang dan pergi. Tapi kita tetap berada di sini. Kita tidak akan dinilai kerana kesetiaan kita kepada mereka tetapi kerena kredibiliti, wibawa dan profesionalisme kita. Itu sahajalah nasihat saya pada pengamal media masa ini.

Saya gembira kerana ada angin segar kebebasan baharu media di negara ini akibat kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihanraya umum tahun lalu. Bagi saya kekebasan baharu itu harus dipertahankan. Manfaatkanlah keterbukaan baharfu itu sebaik-baiknya. Bagi kerajaan pula, ini bukan percubaan. Kita tidak mahu keadaan lama berleluasa di mana,  the control over the press was inversely proportional to the strength of the ruling party. Bila kerajaan lemah, maka kawalan ke atas media diperketat. Zaman itu mudah-mudahan sudah berakhir.

Namun demikian kebebasan tanpa tanggungjawab pasti membawa kerosakan. Harapan saya hanyalah kerajaan PH akan menunaikan janjinya dala memastikan undang-undang, akta dan peraturan yang tidak relevan dengan zaman, yang bersifat pukat tunda dan yang membataskan kebebasan bersuara dan media harus dikaji atau dimansuhkan.

Harapan saya juga bahawa ura-ura mewujudkan Majlis Media Malaysia harus dijadikan reality. Ini bagi memastikan integriti kewartawanan kita akan sentiasa dipertahankan. Salah saru elemen penting di dalammya membabitkan press complains bureau. Majlis ini harus merupakan inisiatif industri dan bukan dijadikan sebahagian outfit penguasa.

Akhir kata, saya ingin mengucapkan terima kasih kerana penghargaan yang diberikan oleh panel pemilih yang dilantik oleh MPI. Saya juga ingin mengucapkan penghargaan kepada keluarga saya – isteri dan anak-analk saya yang harus hidup bersuami dan berbapakan seorang wartawan. Terlalu ramai guru dan pembimbing saya selama juga teman-teman wartawan yang bersama--sama saya dalam susah dan senang.

Juga pada semua teman-teman saya baik di DBP, Utusan Melayu, Media Prima Berhad, juga yang telah memberi saya peluang untuk menulis, menjadi hos program TV, baik di RTM, Media Prima, Sinar Harian atau banyak akhbar dan majalah yang telah hilang dari sejarah yang pernah menyiarkan tulisan saya.

Pada semua, terima kasih.

Saya menerima penghormataman ini bagi pihak para wartawan seluruhnya.