Majlis
Pelancaran Buku Oleh
Tan
Sri Dato’ Sri Utama Dr Rais Yatim
“Sumbangan Keturunan Tionghua Malaysia
dan Singapura
Terhadap Bahasa dan Sastera Melayu”
Karya
Dato’ Goh Hin San
Dewan Bahasa dan Pustaka
8 Disember 2014
Diperkatakan Oleh JOHAN
JAAFFAR
INILAH masa yang paling
sesuai untuk menerbitkan buku seperti ini. Dalam suasana tidak menentu di mana
isu perkauman menampakkan belang dan suara sumbang dan lantang mahu mendesak bahawa
perbezaan dan kelainan adalah liabiliti atau bebanan, buku yang dilancarkan
oleh Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr Rais Yatim ini punya makna
yang tersendiri.
Petikan akhbar Berita Harian, 9 Disember 2014
Ini waktu yang sukar
bagi negara pelbagai kaum seperti Malaysia. Isu perbezaan semakin ketara.
Tuntutan untuk pemaparan identiti atau identity
contestation begitu membingitkan. Akhir-akhir ini nada perkauman begitu
jelas terdengar, mengeruhkan lagi keadaan, mengerhanakan harapan masa depan
malah dikhuatiri boleh menjejaskan keharmonian sesama kita.
Demikianlah sukarnya
membina sebuah negara bangsa bernama Malaysia. Persetiaan dan kontrak sosial
mulai ditanyakan. Teras Perlembagaan yang membenarkan kelainan dan
keanekaragaman dan hak mengamalkan kepercayaan mulai dipersoalkan. Perbezaan
yang menjadi kekuatan kini mulai menampakkan retaknya. Kita sudah mulai menjurus
untuk melihat “Kita” dan “Mereka” atau “Us”
and “Them”. Masing-masing mahu menjuarai puak dan bangsa, untuk mengambil
jalan sempit mengenepikan kehadiran “Yang Lain” (The Other).
Mungkin di tengah keriuhan politik dan politik
kepentingan, para sasterawan, seniman dan karyawan boleh membuat perbezaan.
Mungkin harapan untuk melihat jambatan persefahaman terlalu sukar dibina dalam
suasana perbezaan politik. Mungkin sastera, budaya dan kesenian mampu menjadi
tali penghubung di antara kita.
Kita memerlukan “Interlok”
sebenarnya, judul novel Sasterawan Negara Abdullah Hussein yang sering disalah
mengertikan itu. Kita mahukan pemahaman di antara tiga keluarga besar yang
diwakili oleh tiga kaum terbesar seperti yang dirakamkan dalam novel itu. Kita
perlukan interaksi yang diwakili oleh keluarga Seman, Chin Huat dan Maniam.
Lebih penting lagi kita
perlukan satu bahasa yang menjadi pengantara di antara semua kaum-kaum di
negara ini – bahasa kebangsaan yang menjadi lingua
franca bukan sahaja di dalam negara tetapi di rantau ini. Kita perlukan
wahana yang menjadi penghubung antara bangsa – bahasa perpaduan, bahasa
integrasi, bahasa yang menyatukan anak bangsa daripada pelbagai keturunan dan asal
usul. Bahasa yang menjadi jiwa bangsa kita.
Demikianlah sukarnya
menangani masalah pelbagai kaum di negara ini. Maka itu saya amat percaya
bahawa peranan karyawan sastera dan seni amat penting dalam soal ini. Dan buku
karya Dato’ Goh Hin San ini pasti menyumbang ke arah pemahaman yang lebih
besar.
Tan Sri Johan Jaaffar bersama-sama Tan Sri Pheng (Hua Jong), isteri Dato' Goh dan Tan Sri Koh Tsu Koon di majlis pelancaran buku di DBP
Saya secara peribadi mengharapkan
lebih banyak karya yang dapat mewakili kepelbagaian itu, yang mencerminkan
keunikan dan keanekaragaman kaum, yang memancarkan nilai dan semangat dan sama
sekali jujur dan terbuka, tanpa ragu dan tanpa was-was. Kita menggunakan
kekuatan karya sastera untuk menyindir dengan wit dan humour, sebagai sebuah
keluarga besar yang tidak pernah dibayangi oleh prasangka, keraguan dan
bayang-bayang kebencian.
Saya membesar di kampung
– Kampung Sungai Balang, Besar, Muar, dengan teman-teman Cina. Selain sama-sama
berkubang dan bernakal, kami menunggu datangnya pekji atau potehi ke kampung.
Wayang Cina menjadi sebahagian daripada seni budaya setempat ketika itu,
seperti juga teman-teman Cina saya menunggu datangnya Bangsawan dan Sendiwara. Rombongan
Wayang Cina akan datang pada bulan-bulan tertentu sebagai sebahagian daripada
perayaan penting dalam kalendar Cina. Bagi orang kampung, menonton pekji tidak membawa kekangan keagamaan
langsung. Mereka menonton sebuah persembahan dengan pakaian dan dekor yang
hebat, mewah dan klasik, dalam bahasa yang tidak difahami.
Salah satu persembahan potehi yang pernah diadakan
Saya mengenai Tupai,
pemain wayang Cina yang terkenal ketika itu, wayang Cina versi Hokien dan
Teochew. Tupai, tiada siapa yang tahu namanya yang sebenar, berusia 40 tahun,
dia memainkan watak perempuan selalunya, keistimewaannya membawakan watak Yang
Kui Fei, gundik Maharaja Shih Huang Ti, maharaja China yang pertama. Watak
wanita yang baik dikatakan qingyi dan
yang jahat huadan. Beliau juga boleh
menyanyi dan memainkan yangqin (alat
bertali Cina) serta erhu (atau fiddle). Saya juga mengenal Ah Lok, yang
selalu menjadi wusyeng atau perwira
yang memastikan saya menyimpan pedang besinya sewaktu beliau memainkan watak
lain.
Bukan mudah memakaikan
Tupai pakaian wanita atau memekapkannya. Tugas saya ialah mengipasnya dan
upahnya 30 sen. Rakan saya Cheng Hock melakukan hal yang sama apabila Kumpulan
Bangsawan Bintang Timur Opera yang dipimpin oleh Bakar M datang ke kampung kami.
Beliau juga mengambil upah mengutip tiket atau membelikan rokok bagi para pemain
Bangsawan.
Saya juga tahu apabila
Wak Ular datang ke kampung dengan anak gadisnya Sidah, yang menarik perhatian
Cheng Hock bukan ular sawa besar yang membelit Sidah di mana penonton akan
membayar 30 sen tetapi Sidah sendiri, seperti juga saya menaruh hati pada amoi
yang membancuh air dalam wayang pekji.
Demikianlah pandangan
dunia kami dibentuk oleh seni dan budaya yang melampaui ras dan perbezaan kaum.
Saya percaya kegilaan orang Melayu menonton filem Hindustan atau cerita kungfu
Cina hari ini dicorakkan oleh nilai universal hiburan, bukan kelainan atau ras.
Sama juga dengan kegilaan saya terhadap Wayang Cina atau Chinese Opera pada
tahun-tahun 50-an dan 60-an.
Wayang Cina atau Chinese Opera yang popular pada era 50-an dan 60-an
Saya beruntung kerana
terdedah pada sastera Tamil sewaktu di Universiti Malaya. Saya mengagumi
terjemahan Tirukkural yang dibuat
oleh Allahyarham Tan Sri Ismail Hussein pada tahun 1967. Tirukkural dipercayai ditulis oleh pujangga Thiruvalluvar di antara
abad kedua atau kelima Masehi. Ia mengandungi 133 bab dengan 1,330 couplets atau pancapada dan dianggap sastera
Tamil yang amat penting. Saya juga diperkenalkan pada sastera Sangam yang mendedahkan saya pada
peranan lanskap (tinai) yang ada
kaitannya dengan emosi atau perasaan, yang terbahagi pada kurinji (pergunungan), mullai
(hutan), murutham (tanah bendang), neithal (pantai) dan paalai (padang pasir).
Apakah maknanya semua
ini bagi kita? Saya percaya, pemahaman antara kaum bermula dengan pengertian
pada seni sastera dan budaya. Seni dan sastera tanpa senpadan. Tanpa batas.
Tanpa perbezaan politik. Tanpa retorika perkauman. Tanpa grandstanding. Tanpa contestation.
Yang ada cuma seni, estetika, nilai bersama, pemahaman, pengertian dan jambatan
budaya.
Maka itu saya ingin
merakamkan penghargaan setinggi-tingginya pada Dato’ Goh kerana berjaya
melahirkan buku ini. Biarpun kecil, tapi bererti. Saya menganggapnya work in progress yang perlu diperluaskan
lagi. Malah perlu disambut dengan penyelidikan atau kajian yang lebih mendalam.
Petikan akhbar bahasa Mandarin mengenai pelancaran buku “Sumbangan Keturunan Tionghua Malaysia dan SingapuraTerhadap Bahasa dan Sastera Melayu”
Sekurang-kurangnya buku ini dapat merobek prasangka bahawa kaum Cina atau kaum Tionghua tidak peduli pada sastera setempat – sastera Melayu atau sastera nasional.
Saya mengagumi usaha
Dato Goh kerana sudah pasti akan membuka cakrawala minda kita tentang apakah
sebenarnya sumbangan kaum Cina baik di Malaysia dan Singapura dalam soal itu. Dan
lebih menarik lagi bahawa peranan yang dimainkan oleh Universiti Nanyang yang
selama ini dilabelkan sebagai institusi “cauvinistik”
oleh pemerintah Singapura sendiri.
Ternyata, sewaktu Dewan
Bahasa dan Pustaka (DBP) bermula dan bertatih di Bukit Timbalan pada tahun
1956, di Universiti Nanyang sudah ada desakan oleh tiga orang siswazah Cina
ketika itu - Lim Huan Boon, Yang Kui Yee
dan Goh Choo Keng untuk mengadakan pelajaran Bahasa Melayu dan sastera Melayu di
situ.
Malah bagi mengisi
tenaga pengajar dalam bidang bahasa dan sastera Melayu, siswazah universiti itu
telah dihantar ke Indonesia, antara mereka Tan Ta Seng dan Liaw Yock Fang, yang
kemudiannya menjadi sarjana yang berwibawa dalam bidang pengajian sastera
Melayu.
Saya ingin memetik
kenyataan Drs Li Chuan Siu dalam buku Dato’ Goh:
Sumbangan
segolongan mahasiswa dan beberapa guru Universiti Nanyang dalam hal membantu
mempopularkan dan memajukan pelajaran bahasa dan sastera Melayu kepada
masyarakat Cina, baik di Persekutuan mahupun di Singapura, tidak seharusnya
dianggap sepi saja. Di samping itu, usaha mereka untuk mengadakan pertukaran
antara kesusasteraan Melayu dan Cina melalui Bahasa Melayu pada satu pihak, dan
melalui Bahasa Cina pada pihak yang lain, patutlah dianggap sebagai
perintis-perintis.”
Dato' Goh bersama koleksi buku-buku penterjemahan beliau
Dalam buku terbitan
Pusat Kebudayaan Han Malaysia ini Dato’ Goh menitipkan enam bab buku ini,
masing-masing memperagakan sumbangan khusus masyarakat Tionghua dalam
menyemarakkan pertumbuhan bahasa dan sastera Melayu.
Bab kedua mengenai
usaha terjemahan. Usaha ini rupanya telah berjalan sejak lama, kerana karyawan
Cina juga adalah berminat untuk menyelami hati budi sasterawan Melayu demikian
juga mereka mahu orang Melayu memahami nilai hidup masyarakat Cina. Salah satu
nama yang tertera ialah Chan Kim Boon. Lama sebelum DBP menerbitkan terjemahan San Gua Yan Yi (Romance of the Three Kingdoms), Kim Boon sudah menterjemahkannya
pada tahun-tahun 50an.
Tidak banyak orang tahu
bahawa kitab Sejarah Melayu (karya Tun
Sri Lanang), novel Nyawa Di Hujung Pedang
(Murad Nasaruddin), pusi-puisi Khairil Anwar dan banyak lagi telah
diterjemahkan ke bahasa Tionghua.
Dalam bab ketiga, Dato’
Goh menggalurkan sumbangan para penyusun kamus daripada kaum Cina. Malah kamus
pertama Tionghua -Melayu dipercayai diusahakan oleh Pao Si Kin pada tahun 1952.
Seorang penyusun kamus yang prolifik tentunya ialah Lee Yu Kai yang menerbitkan
lima buah kamus Tionghua-Melayu di antara tahun 1958 dan 1960. Menurut kajian
Dato’ Goh, tidak kurang 28 buah kamus Bahasa Tionghua-Melayu telah diterbikan
dalam konteks ini.
Bab keempat menyentuh
tentang sumbangan persuratkhabaran Cina dalam menyediakan ruangan Bahasa Melayu
atau ruangan sastera terjemahan dari Bahasa Melayu. Peranan yang dimainkan oleh
akhbar vernakular Cina ini termasuk Sin
Chew Jit Poh dan Nanyang Siang Pau
tidak boleh dikesampingkan.
Bab kelima pula
menyentuh tentang peranan yang dimainkan oleh pada pendidik dan ilmuan Cina
dalam pengajaran bahasa dan sastera Melayu. Nama-nama seperti Dr Liaw Yock
Fang, Lee Yu Kai, Tan Eng Teik, Ding
Choo Ming, Goh Thyne Chye dan lain-lain jelas tertera.
Kita juga diperingatkan
oleh Dato Goh bahawa penulis Cina yang pertama menghasilkan novel Melayu ialah
anak kelahiran Muar yang bernama Chong Chee Seong yang menghasilkan Hidup Antara Duri yang berkisar tentang
isu keharmonian dan saling hormat-menghormati di antara kaum di negara ini. Akhbar Goh pula merupakan penulis Cina yang
pertama menerbitkan antologi cerpen dalam Bahasa Melayu pada tahun 1976 (Cerpen-Cerpen Pilihan Akhbar Goh).
Dato' Goh di satu majlis yang telah diadakan baru-baru ini di Kuala Lumpur
Dato’ Goh telah
menyenaraikan nama-nama dan sumbangan ilmuan, penterjemah, karyawan dan
sasterawan Cina dalam membantu merentasi jambatan pemahaman antara kaum di
negara ini. Saya harap empat lampiran yang beliau sediakan dalam buku ini akan
diteliti bagi memberikan gambaran sebenar sumbangan kaum Cina dalam bahasa dan
sastera Melayu.
Saya percaya bahawa
buku ini akan menjadi penggerak pada usaha yang lebih mendalam untuk mengkaji
sumbangan kaum Cina dalam sastera kebangsaan, juga peranan yang dimainkan oleh
pelbagai institusi Cina bagi menyemarakkan sastera Melayu.
Kita jangan lupa juga
pada sumbangan kaum Baba dalam konteks ini. Sebuah esei yang penting yang
terbit dalam Journal of Educational Media
& Library Sciences pada 2 Disember 2004 mengetengahkan sumbangan Cina
Selat (Straits Chinese) dalam warisan sastera Malaysia. Esei tulisan S.K. Yoong
dan A.N. Zainab itu memberikan tumpuan pada cerita-cerita Cina yang
diterjemahkan ke dalam bahasa Baba Melayu. Malah usaha itu telah bermula sejak
tahun-tahun 1889 lagi oleh antaranya Gong Kiah Sie, Heng Guan Seo Chia dan
penulis yang menggunakan nama Kasatu Bjiak Laksana. Mereka juga menterjemahkan Romance of the Three Kingdoms, Sam Kok
dan Song Kang, karya-karya yang
didasarkan dari Romance of the Three
Kingdoms dan juga buku Shi Nai An, Water Margin.
Walaupun terjemahan ini
disasarkan pada kaum Baba Selat, tetapi serpihannya dapat dirasakan oleh kaum
Cina yang lain dan juga orang Melayu yang membacanya. Menurut kajian itu terdapat
tidak kurang 20 buah penerbit yang memberi perhatian pada genre terjemahan
sedemikian, khususnya di Singapura dan Pulau Pinang. Saya percaya, Dato’ Goh
akan memberikan tumpuan juga pada sumbangan kaum Baba dalam kajiannya yang akan
datang.
Saya berharap buku ini
tidak hanya menjadi bahan dokumentasi tetapi titik tolak penting untuk
menyemarakkan minat dan hasrat kedua-dua kaum untuk saling mengenal satu sama
lain melalui sastera dan bahasa.
Sayogia diingat DBP
diamanahkan untuk membina dan mengembangkan bahasa dan sastera kebangsaan,
selain sastera lain-lain juga. Saya percaya DBP akan memperkukuh bahagian
sastera pelbagai kaum bagi tujuan ini. Saya menghargai usaha DBP terbabit dalam
terjemahan karya-karya terbaik dalam bahasa Cina dan karya dari Bahasa Melayu
ke bahasa-bahasa lain. Saya ingin mengajak DBP untuk memperbanyakkan wacana
ilmu antara kaum bagi merapatkan hubungan sesama kita.
Malah saya juga
mengharapkan Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM) mengambil peranan yang
lebih proaktif untuk mengeluarkan penerbitan terjemahan dari pelbagai bahasa,
khususnya bahasa Mandarin dan Tamil.
Saya juga menggesa agar
semua akhbar dalam bahasa Melayu, Cina, Tamil dan lain-lain mengadakan juga
ruangan berkala untuk nukilan atau sanggar kreatif dan perbincangan mengenai
sastera kaum-kaum lain.
Majalah Dewan Sastera terbitan DBP memang
menyediakan ruang untuk terjemahan karya dunia. Saya berharap dijadikan ruang
tetap terjemahan dari karya cerpen, puisi atau drama pendek dalam bahasa Cina,
Tamil dan lain-lain.
Saya ingin memetik
kenyataan Dato’ Goh mengapa beliau menghasilkan buku ini:
“Dengan bahan-bahan yang dikumpulkan itu telah membuktikan satu
kenyataan yang tidak dapat dinafikan, ia itu dalam usaha-usaha menyatu-padukan
kaum Melayu dengan kaum Tionghua melalui terjemahan bahasa dan ciptaan karya
sastera, pengarang Tionghua telah menyumbangkan jasa yang tak terhingga baik
dalam bidang penterjemahan, penyusunan kamus, persuratkhabaran, pendidikan,
kesusasteraan dan sebagainya.”
Buku kecil ini
buktinya. Tak kenal maka tak cinta. Semoga buku ini akan menjadi pemangkin satu
usaha yang lebih terancang bagi merapatkan rakyat negara kita yang berbilang
kaum. Semoga pemahaman sastera dan bahasa akan merapatkan yang renggang,
mencantumkan yang terpisah, mengarusperdanakan yang terpinggir dan menjalin persefahaman
sebenar.
Perbincangan tentang pemahaman,
perpaduan dan toleransi tidak mungkin lengkap tanpa menyebut nama Allahyarham
Sasterawan Negara Usman Awang, ikon perpaduan seni dan sastera kita. Tokoh yang
sentiasa mengilhamkan seniman dan sasterawan pelbagai kaum untuk berfikir
sebagai satu kesatuan, untuk mendakap kelainan dan menghargai perbezaan.
Izinkan saya memetik
baris-baris puisi beliau bagi mengingatkan kita tentang makna sebuah negara
bangsa:
TANAHAIR
Engkau Tanah
Air
pemilik perut
yang berbudi
penampung
hujan penyedut sinar mentari
lahirlah
anakmu dari semaian petani
Engkau Ibu
Murni
dengan jasa abadi
berdetik di denyut nafas kami
kerana kita satu sama dipunyai
Telah kau rasa
segala seperti kami
dalam ngeri perang dadamu dibongkar besi
di mana-mana wajahmu tak pernah mati
Tapi begitu
sejarah hidup zaman berzaman
pernah merangkul pahlawan kemerdekaan
mereka sujud dalam kaku
mohon perlindungan
Bukankah dengan
kasih dan harapan
kau tenggelamkan mereka dalam dakapan
di mana bunga ganti nisan bertaburan
Negara baru
di atas rongga jantungmu
akan tertegak bertapak dalam kebebasan
cinta antara kita wahyu dari Tuhan.
Puisi itu
ditulis pada tahun 1956. Terasa amat relevan hingga ke saat ini.
Sekian, terima
kasih.
No comments:
Post a Comment