Saturday, February 4, 2017

Mencari Johan

Teks penuh Prof Dr Solehah Ishak, Penyandang Kerusi P. Ramlee, ASWARA memperkatakan buku Jejak Seni: Dari Pentas Bangsawan Ke Media Prima Berhad oleh Johan Jaaffar sewaktu majlis di DBP pada 20 Januari 2017. Buku terbitan DBP ini dilancarkan oleh Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr Rais Yatim, Penasihat Sosiobudaya Kerajaan Malaysia.



Jejak Seni: Dari Pentas Bangsawan ke Media Prima Bhd (2017: terbitan DBP). Inilah tajuk buku hasil tulisan Tan Sri Johan Jaaffar—penulis (yang menulis rencana, esei, kritikan), penulis kreatif (yang menulis novel, cerpen, drama (sama ada drama TV, radio, pentas, adaptasi, terjemahan), pelakon, pengarah, tokoh budayan, tokoh korporat. Melalui kaca mata anaknya, Syahida, dalam bukunya Mimpi-Mimpi Ida “...many people know you as many things: journalist, writer, stage actor, Chairman, CEO, businessman, farmer, “ tapi pada Ida, Tan Sri Johan Jaaffar “ialah ayah, si penglipur lara, pengumpul cerita.”

Jejak Seni adalah kumpulan cerita peribadi seorang penglipur lars glokal yang tersohor. Saya mula melihat Johan Jaaffar melalui lakonan beliau dengan watak Mahatahu dalam Angin Kering, di Universiti Malaya, walaupun pada masa itu beliau tidak mengenali saya. Saya mula berkenalan dengan beliau dan isterinya Puan Sri Sarah, sejak dari zaman Dewan Bahasa dan Pustaka mereka lagi. Pada saya, mereka ialah Jo dan Sarah. Sesungguhnya, Jo, sangat luar biasa orangnya.

Pada Dec. 29, 2016,  pukul 6:30 pagi,Jo menghantar mesej kepada saya, yang berbunyi “Hi Sol. Good morning. Would you be available on Friday, the 20th of January 2017, 3:00pm” diikuti dengan gambar kulit buku Jejak Seni [Johan Jaaffar] dengan nota “for this.” Diikuti lagi dengan mesej “I need you to talk about the book, please. Wherever you are going, tangguh le dulu....”

Sebenarnya, apabila saya diminta memperkatakan dan memperkenalkan buku Jejak Seni, oleh Jo sendiri, saya menerimanya dengan serta merta, kerana saya tidak berani menolak permintaan atau “arahan” itu.

Saya telah lama meneliti dan akan sentiasa mengikuti perkembangan Johan sebagai seorang dramatis yang berwibawa yang berwacana tentang dimensi sosio-budaya-politik-ekonomi negara dan masyarakat dalam pelbagai strata sosial dengan beraneka liku dan ranjau kehidupan melalui nada beliau yang begitu tajam, sinis dan kritis.

Pada 2014 saya menterjemahkan bukunya, Drama Pentas Johan Jaaffar (2012: terbitan Balang Rimbun Sdn. Bhd.) dengan tajuknya dalam bahasa Inggeris, Johan Jaaffar: These Are My Plays (2014: diterbitkan oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia). Dengan demikian saya boleh mengaku bahawa saya telah tahu dengan mendalam bukan saja tentang tujuh skrip drama karya Johan Jaaffar, tetapi juga tentang minda kepengarangannya.

Dengan hakikat bahawa saya sememangnya tidak boleh menolak permintaan Johan untuk memperkenalkan buku ini, yang diperkuatkan lagi dengan kajian saya tentang drama beliau yang saya terjemahkan, dan dengan persahabatan kami dan keluarga kami yang merentasi zaman, lautan dan pelbagai sempadan, saya dengan rendah hati,menerima pelawaan/penghormatan ini.

Saya pun menunggu untuk membaca buku, yang apabila dihantar kepada saya, disertakan dengan nota tulisan tangan Johan “Hot from the oven/press.” Buat sekian lama saya mengenali Johan, dan dalam proses menterjemahkan drama-drama beliau, sedikit sebanyak saya sudah tahu apa yang akan diperkatakan tentang pengalaman kehidupan beliau dari kecil sehingga dewasa, dari pelakon kanak-kanak ke pelakon dewasa sehingga lah ke masa terkini.

Saya pun membaca buku setebal 340 halaman ini dalam masa dua hari, siang dan malam. Saya ketepikan kerja saya yang lain untuk menghabiskan buku ini, kerana selepas saya baca, suami saya, Kamaruddin juga, perlu/mesti membacanya.


Kamaruddin mesti membaca sebab saya memerlukan feedback dari pembaca “outsider” yang walaupun sudah lama kenal dengan Johan, tidak mengkaji dan meneliti karyanya sedalam yang saya lakukan. Pada Kamaruddin,  semua yang dibaca semasa Johan tergila-gila dengan dunia bangsawan amat mengelikan hatinya. Beliau mengata bahawa “Johan ni lucu dan gila-gila la. Pecah perut baca buku dia.”

Saya pula membaca buku ini sebagai seorang pengkaji yang “dibebankan” dengan tugas saya untuk memperkenalkan kepada khalayak pembaca. Justeru itu minda saya tidak terlepas bebas untuk membaca dan menikmatinya sebagai sebuah buku secara santai!

Pembacaan buku ini sangat bermakna kepada saya.Sebahagian dari cerita lisan yang sudah diceritakan kepada saya mempunyai dimensi yang baru apabila diterbitkan sebagai buku. Saya melihat melalui kacamata yang berbeza tentang keperitan sejarah seni persembahan di tanah air, daripada seorang tokohyang amat luar biasa, yang sudah mula terlibat dalam dunia seni persembahan sejak semasa beliau di zaman persekolahan lagi, pada umur yang masih amat muda.

Membaca buku ini membuka pintu minda saya seluas mungkin. Minda akademik dengan teori seni persembahan saja tidak memadai untuk benar-benar menangkap pelbagai pengertian dan beraneka sub-teks yang disajikan oleh Johan.

Jejak Seni bukan hanya membincang tentang evolusi seni persembahan di Semenanjung Malaysia, tetapi juga, malah lebih penting lagi, membincang tentang transformasi sosial dan budaya, pendidikan dan teknologi, kemiskinan dan perubahan sosio-ekonomi, dan makna kehidupanyang terjadi selama 50 tahun, yang mempunyai dampak terhadap seni persembahan, berdasarkan pengalaman peribadi Johan Jaaffar sendiri.

Johan bukanlah sekadar seorang “orang seni”, tetapi sesungguhnya beliau adalah seorang pejuang yang tergila-gila berenang dalam ombak badai dunia seni persembahan, tanpa menyerah kalah. Oleh itu, memahami kisah perjalanan seorang seniman yang tergila-gila dalam dunia seni persembahan di tanah air kita ini, membangkitkan dimensi baru dalam pandang dunia (weltanschauung) saya terhadap evolusi dunia seni persembahan di Semenanjung Malaysia.

Buku ini mengandungi 76 bab. Sebahagian besar (48 bab) daripada keseluruhan buku ini ditulis oleh Johan sebagai rencana yang diterbitkan dalam majalah Dewan Budaya selama 48 bulan (Julai 2007 hingga Jun 2011). Bab-bab ini membincangkan pengalaman pahit-manis, suka-duka beliau dalam dunia seni. Bab yang lain membicarakan tentang pengalaman beliau mengarah drama adaptasi, drama tv dan juga tentang tokoh-tokoh seni dan seniman yang melintasi atau singgah dalam kehidupan beliau.

Buku ini merangkumi perjalanan seni Johan Jaaffar dari kampungnya, Kampung Sungai Balang Besar, “pekan koboi” di Muar, Johor. Dekad 1960an ialah era hiburan funfair dan juga era seni persembahan bangsawan masuk ke kampung, sebagai satu produk yang diperniagakan. Pada tahun 1965 itu, kumpulan Bintang Timur Opera masuk dan memperniagakan persembahannya kepada penduduk Kampung Sungai Balang Besar, tempat Johan Jaaffar dilahirkan dan membesar.

Ketika kumpulan Bintang Timur Opera mula mengadakan persembahan bangsawan di pekan koboi tersebut, Johan sudah berusia 11 tahun, iaitu di darjah enam di Peserian Primary English School, di pekan Semerah.  Kumpulan ini diketuai oleh Bakar M., dan dibantu oleh anak-anaknya iaitu Rahman B, Rahim B, dan Rohani B. Johan merapatkan dirinya dengan kumpulan bangsawan ini.

Pada mulanya dia bekerja sebagai pembekal barang tertentu yang diperlukan (buluh) dan tukang beli barang keperluan dapur, minuman dan rokok untuk mereka. Kemudian dia diupah sebagai penarik tirai panggung bangsawan tersebut.

Johan melihat seni persembahan bangsawan pada pertengahan dekad 1960an itu dengan ingatan yang tajam. Dia melihat pelakon bangsawan terpaksa mengepam lampu gas yang menerangi panggung, kerana ketika itu Kampung Sungai Balang Besar belum mempunyai bekalan letrik. Oleh itu, persembahan bangsawan tersebut tidak dapat menggunakan teknik pencahayaan tertentu. Pada masa itu juga, panggung bangsawan penuh dengan serangga yang datang kerana tertarik dengan cahaya lampu gas tersebut. Dia juga melihat bagaimana Bakar M menjaga disiplin kelurga kumpulan operanya itu.

Pada usia sebelas tahun tersebut Johan sudah tergila-gilakan kecantikan dan bakat Rohani B, primadona atau seri panggung kumpulan bangsawan itu. Oleh kerana Rohani B tidak boleh membaca, Johan menjadi tukang baca surat-surat yang diterima oleh Rohani B daripada para peminatnya, termasuklah surat cinta daripada tokoh penyair yang sudah pun terkenal ketika itu.

Amat lucu cara Johan menukilkan kisah membaca surat cinta tersebut, menapis isi surat tersebut (di mana perlu) sebelum diceritakan kepada Rohani B, dan memakan kuih-kuih yang diberikan oleh para peminat primadona tersebut (kerana Rohani B takut memakannya. Subteksnya ialah kerana beliau mungkin takut dikenakan ilmu pengasih terhadapnya).

Bangsawan mengisi kalbu Johan Jaaffar. Dia mengkagumi dan hidup bersama bangsawan hinggalah kumpulan Bintang Timur Opera berkubur tanpa nesan di pekan koboinya itu. Keluarga Bakar M menghilangkan diri. Rohani B, seri panggungnya, juga menghilangkan diri. Tiada lagi surat peminat yang akan dibaca. Tiada lagi tirai panggung akan  ditarik. Kalbu Johan kehilangan panggungnya.

Tetapi kematian bangsawan digantikan oleh seni persembahan “baru”: sandiwara. Walaupun sandiwara di Kampung Sungai Balang Besar itu lahir tidak dirancang dan tidak mempunyai primadona seanggun Rohani B, Johan tetap melibatkan dirinya. Sandiwara ini adalah produk seni orang kampung Johan Jaaffar.  Mereka menggunakan peralatan panggung yang kesemuanya ditinggalkan begitu saja oleh kumpulan Bintang Timur Opera yang terpaksa gulung tikar itu.

Sandiwara ialah genre transisi dalam evolusi teater moden Melayu. Sejak diperkenalkan oleh cikgu Shaharom Hussein di Batu Pahat pada 1930, sandiwara menjadi genre drama yang menggunakan skrip. Oleh itu, pada 1969, Johan mula menjadi seorang penulis skrip drama. Skrip pertamanya ialah “Uda dan Dara” yang merupakan penyesuaian cerita Romeo dan Juliet yang dibacanya di sekolah Inggerisnya.

Sejak itu, pementasan oleh kumpulan sandiwara Badan Bestari Sungai Balang banyak bergantung kepada skrip yang ditulis oleh Johan Jaaffar. Dalam masa yang sama Johan mula terlibat sebagai pelakon drama, bermula dengan peranan sebagai seorang pak pacak dan badut. Dalam era sandiwara ini Johan aktif sebagai penulis skrip dan pelakon drama di kampung. Dalam masa yang sama, Johan juga aktif menonton filem di panggung Kandar, di Semerah.

Johan bukan hanya gila dengan bangsawan atau sandiwara tetapi juga dengan filem dan bintang filem. Kegilaan Johan terhadap bintang filem bermula  ketika bintang filem terkenal seperti P. Ramlee, Saloma, Saleh Kamil, Wahid Satey, Aziz Satar dan ramai lagi pernah membuat persembahan di funfair di Kampung Sungai Balang Besar. Johan begitu tergila-gilakan kecantikan dan bakat bintang filem Latifah Omar.

Johan “bekerja” sebagai pembekal air minuman kepada para bintang filem tersebut dengan upah 10 atau 20 sen semalam. Tugas beliau yang lain pula adalah sebagai “pembaca surat” dan “penyimpan rahsia” yang amat dipercayai. Minda Johan mula diisi oleh kegilaan yang mendalam terhadap seni persembahan. Kegilaan ini berterusan selama setengah abad.

Kerana aktif dalam dunia sandiwara ini, dan mungkin kerana asyek dengan dunia filem, pelajarannya terabai. Akibat drama dan panggung wayang, Johan gagal dalam peperiksaan MCE pada tahun 1970. Johan mengambil peperiksaan MCE pada tahun berikutnya dan berjaya mendapat kelulusan yang baik. Setahun dia tidak terlibat dengan drama.  Ini salah satu sebab kumpulan sandiwara Badan Bestari Sungai Balang juga berkubur tanpa nesan.

Johan melanjutkan pelajaran di tingkatan enam di High School Muar. Setelah itu dia melanjutkan pelajarannya di Jabatan Pengajian Melayu di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Anak penoreh getah yang miskin ini pergi ke Universiti Malaya dengan menumpang sebuah lori milik orang Cina yang membawa sayur ke Kuala Lumpur. Kemiskinan memaksanya bekerja sambilan. Biasiswa yang diterimanya hanya cukup untuk membayar yuran pengajian. Oleh itu Johan terpaksa bekerja sebagai budak jaga kereta, tukang bersih di kedai menjual motorsikal, pembersih tandas di bangunan NST di Jalan Bangsar, sebagai “tukang nangis” di upacara pengebumian orang Cina dan sebagainya. Johan terpaksa mengharungi ranjau di sepanjang jalan kehidupannya, terutamanya ketiadaan wang. 

Universiti Malaya menjadi tempat Johan Jaaffar kembali aktif dalam kegiatan teater.   Dunia teater di Universiti Malaya tentulah amat berbeza dari dunia bangsawan dan sandiwara kampungnya. Kumpulan Kesenian Universiti Malaya (KESUMA)  dan Panggung Eksperimen Universiti Malaya adalah entiti yang menjadi pusat kegiatan teaternya yang baru. Di sinilah bakat dan komitmen Johan terhadap dunia seni persembahan semakin mantap, terutamanya dalam penulisan skrip drama.

Suasana kampus banyak memberikan inspirasi untuk berkarya: politik kampus, pengalaman menjadi dan bergaul dengan warga miskin, menonton teater karya dan produksi orang lain, bergaul dengan dramatis yang sudah berpengalaman, kehadiran infrastruktur yang mencukupi untuk berteater dan sebagainya. Di kampus juga Johan berhadapan dengan konsep teater eksperimen yang boleh dilahirkan di Panggung Eksperimen Universiti Malaya.

Pada 1975 Johan memainkan peranannya sebagai penulis skrip. Dia menghasilkan skrip “Kotaku Oh Kotaku.” Inilah skrip drama yang dihasilkan oleh seorang anak kampung yang baru berkenalan dengan masyarakat kota Kuala Lumpur. Oleh itu skrip ini menampilkan 19 watak  yang terdiri daripada Pelacur, Tukang Sapu, Pengangkut Najis, Jebat, Penyair Agung, Pengarang Agung, Perancang Bandar, Doktor, Peon, dan pasangan Teruna dan Dara.

Kejayaan pementasan teater  “Kotaku Oh Kotaku” adalah mercu tanda kelahiran Johan Jaaffar sebagai seorang tokoh penulis skrip teater yang disegani. Selepas itu Johan menghasilkan skrip “Angin Kering” dan beberapa skrip lagi (lihat Johan Jaaffar:These are My Plays, 2014).  Dia mendapat gelaran “orang teater absurd,” “orang teater moden,” dan “orang teater generasi ketiga,” dan sebagainya.  Jejak seninya semakin ketara sewaktu menjadi mahasiswa di Universiti Malaya.

Setelah bergraduat, Johan Jaaffar bekerja di Dewan Bahasa dan Pustaka mulai Julai 1977 hingga Oktober 1992. Antara tahun 1977 hingga 1989, Johan aktif dalam kegiatan teater di DBP. Dia menulis skrip, berlakon dan mengarahkan teater. Selepas 1989 Johan tidak aktif lagi dalam dunia teater. Ketika bertugas sebagai Ketua Pengarang Kumpulan Akhbar Utusan Melayu (1992-1998) beliau masih menulis tentang dunia filem. Antara tahun 1998 hingga 2009, setelah tidak lagi bekerja dengan Kumpulan Akhbar Utusan Melayu,  Johan bekerja sendiri dalam bidang penternakan dan pertanian, dan masih menyumbangkan tulisannya tentang dunia seni persembahan untuk majalah Dewan Budaya mulai Julai 2007. Johan meneruskan  kegiatannya menulis tentang seni persembahan Melayu sehingga Jun 2011. Beliau dilantik memegang jawatan Pengerusi Media Prima Berhad antara April 2009  hingga Ogos 2015. 

Jejak seni dan kehidupan Johan Jaaffar adalah sebuah drama panjang yang mempunyai ratusan babak dan adegan yang kompleks,tetapi diikatke dalam satu jaringan lebar oleh rangkaian tali kegilaannya yang jujur terhadap dunia seni persembahan yang mengisi kalbunya.

Dalam Jejak Seni, Johan juga bercerita tentang tokoh-tokoh dalam dunia seni persembahan tanah air seperti Usman Awang, Anuar Nor Arai, Krishen Jit, Zakaria Arifin, Yassin Salleh, Mustapha Noor, Wan Hanafi Su, Hatta Azad Khan, Sabri Yunus, Othman Haji Zainuddin, A. Jalil Hamid, Fauziah Nawi, A. Rahim Muda, Dinsman, Pak Samad Said, Pak Samad Ismail, Anwar Ridhwan, Sutung Umar RS, Zaharah Nawawi, Tiara Jacquelina, Baharuddin Zainal, Atondra dan ramai lagi. 


Peranan setiap orang yang namanya disebut dalam bukunya ini diceritakan seadanya. Jejak seni Johan Jaaffar sesungguhnya bercampur baur dengan jejak tokoh-tokoh tersebut.

Antara ratusan seniman, bintang dan kawan yang menjelma dalam kehidupan Tan Sri Johan Jaaffar, saya ingin menarik perhatian kita semua kepada rakan beliau bernama Yassin Salleh, dia ‘halimunan yang baik yang menjelma sebagai sahabat setia semasa susah,” (ms.206). Seperti dinyatakan didalam buku ini “Selama banyak tahun saya berada ‘di luar lingkaran’... Yassin...bersama-sama saya, menemani saya, meladeni saya, memujuk saya, menenangkan saya,” (ms.206).  Zaman berada “di luar lingkaran”ini dinyatakan kepada saya sendiri dengan lebih kesat lagi, “I became a pariah, Sol....”

Memang wajar dan tepat, dalam buku yang membincangkan tentang jejak seni, Johan hanya menyatakan secara sepintas lalu (dalam beberapa ayat, semasa membincangkan tentang sahabatnya, Yassin Salleh) zaman “di luar lingkaran ini.” Saya memberinya fokas sebagai satu lagi ranjau dalam kehidupan Johan. Tetapi kesemua ranjau ini sebenarnya menjadikan beliau seperti besi yang disepuh, semakin kuat dan tajam.

Saya tidak akan membicarakan jejak jejak yang diambil oleh Johan dengan terperinci, sila beli dan bacalah buku ini sendiri. Tetapi, sebagai pengkaji drama dan seni persembahan teater, saya mesti mengimbau khalayak untuk melihat Johan Jaaffar sebagai seorang tokoh penulis skrip teater yang disegani dan dikagumi, sama ada beliau dilihat sebagai “orang teater absurd,” “orang teater moden,” atau “orang teater generasi ketiga.”

Pada saya, buat masa ini, kalau saya terpaksa memilih sebuah drama beliau sahaja, saya akan memilih “Asiah Samiah”, sebagai drama beliau yang terbaik, buat masa kini. Sayangnya, drama ini  masih belum lagi dipentaskan. (Ini satu harapan dan cabaran saya kepada penggiat teater untuk mementaskannya; dan cabaran saya juga kepada Tan Sri Johan Jaaffar untuk menulis drama baru yang akan menandingi dan mengatasi “Asiah Samiah”.

Pada saya secara peribadi,  membaca buku ini, adalah satu tour de force bukan semata-mata tentang kehidupan, tetapi tentang manusia yang bernama Johan Jaaffar. Dulu, pertama kali saya pergi ke pejabat Tan Sri di bangunan New Straits Times, di Bangsar, beliau berkata, “Sol, I used to collect old newspapers here and clean the building;” dan sambil kami berjalan  ke tingkap pejabatnya, beliau  menambah “and I used to work at one of the motorcycle shops down there.”

Sememangnyalah, “life is a spinning wheel” -- kita tidak akan sentiasa berada di bawah atau di atas buat selama-lamanya.Jejak jejak kehidupan Johan membuat kita kagum dengan kegigihan beliau dan menghormati beliau  dengan lebih lagi.

Dan pada saya, Tan Sri Johan Jaaffar, adalah manusia yang mempunyai “moral compass” yang tidak boleh dirundingi, dan untuk itu saya tabik dan menghormati beliau.Lebih daripada itu, Jejak Seni membuat kita memikir tentang hati dan jiwa Johan, terutamanya tentang nilai kemanusiaannya, kegigihannya, tentang ketulusan dan semangat juangnya yang sentiasa membara, yang menyebabkan tanggapan saya terhadap insan yang bernama Johan Jaaffar ini mengalami pemantapan dan enforcement yang cukup besar.

Buku Jejak Seni ini sangat penting dibaca oleh para pelajar dan aktivis teater, para budayawan, seniman dan ilmuwan yang ingin mengenali dunia seni persembahan Melayu. Buku ini adalah satu dokumentasi yang mantap dan jitu tentang sejarah seni persembahan tanah air. Jejak Seni juga penting untuk mereka yang ingin menyelami makna kehidupan, persahabatan, kuasa, kekuasaan, pemimpin dan kepimpinan.




ends

No comments:

Post a Comment